Wednesday, 18 August 2010

Pertumbuhan ekonomi

Sebentar tadi saya menonton berita BBC6pm dan BBC South (Oxford). Banyak informasi terkini dilaporkan, baik perkembangan banjir di Pakistan, kejohanan Olimpik Belia di Singapura, hingga kupasan isu domestik, terutama bersempena 100 hari Britian di bawah pemerintahan kerajaan campuran Cameron-Clegg.

Antara topik utama yang dibincang secara mendalam adalah 'cakap-cakap di bawah' mengenai kemungkinan berlaku lagi pemansuhan/pemotongan subsidi (bahasa tempatan adalah 'benefits') oleh kerajaan campuran Konservatif - Liberal Demokrat.

Alasannya masih sama, sekadar mengulangi kewajaran pemotongan yang dibuat sebelum ini, iaitu mengecilkan hutang, menyelamatkan kantung kerajaan dan seterusnya menyuntik pertumbuhan ekonomi kepada Britian.

Adalah tidak mengejutkan banyak pihak bilamana kerajaan baru ini perlu 'merawat' luka dalam yang ditinggalkan oleh kerajaan pimpinan parti Buruh sebelum ini iaitu hutang/defisit belanjawan sebanyak GBP115billion, dengan sokongan nilai pertumbuhan 'nothing.one' (0.1%).

Menerusi siri-siri pemotongan 'benefits' sebelum ini, perbelanjaan dan peruntukan untuk beberapa sektor seperti kesihatan dan pendidikan dapat dikurangkan, seterusnya mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung kerajaan.

Tidak hairanlah setelah 100 hari memerintah, kerajaan campuran mendedahkan keyakinan mereka bahawa langkah pengurusan ekonomi yang mereka bawa telah membantu menyuntik pertumbuhan ekonomi kepada Britian.

Wartawan BBC turut turun padang meninjau pendapat orang awam. Seperti dijangka, pendapat 'orang di bawah' masih bercampur-campur. Yang saya ingat salah seorang responden mengingatkan bahawa adalah lazim bagi sebuah kerajaan yang baru dibentuk ingin menonjolkan imej yang baik di mata rakyat melalui 'tindakan yang berimpak besar, dalam jangka pendek'.

Benarlah, pemotongan 'benefits' dalam jangka pendek akan menampakkan impak yang segera, seperti yang ditunjukkan sekarang. Namun apakah kesan jangka pendek ini dapat dibawa untuk memenuhi cabaran jangka panjang?

Atau, sebetulnya langkah memotong 'benefits' tidak seharusnya didahulukan kerajaan, melainkan meneruskan komitmen dan tindakan memperbaiki ruang-ruang yang rosak hasil polisi yang sebelumnya?

Justeru, kini timbul tanggapan, apakah benar negara ini sedang pengalami pertumbuhan ekonomi? Atau 'pertumbuhan' ini hanyalah bersifat keputusan jangka pendek yang terhasil setelah kerajaan berjaya menjimatkan banyak wang hasil pemotongan 'benefits' kepada rakyatnya?

Bagaimana pula dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia? Terutama setelah kerajaan 'menstrukturkan semula' subsidi baru-baru ini?

Sekadar bertanya.....

No comments:

Post a Comment