Friday, 4 June 2010

Syarahan Jumaat: Syabas tuan imam!

Berkatalah benar biarpun pahit

Sudah dua kali Jumaat saya mengamati intipati syarahan yang disampaikan oleh Maulana Munir, Imam Oxford Central Mosque, Manzil Way.

Perubahan ketara: pihak masjid tidak lagi membacakan senarai nama penderma yang berjela-jela itu. Hanya jumlah derma sahaja diumumkan pengerusi masjid. Akan ada orang yang marah (kerana itu sudah menjadi adat), tetapi Imam membacakan hadith - orang bersedekah dengan tangan kanan, hingga tangan kirinya sendiri tidak mengetahuinya.

Jumaat lepas beliau memperkatakan isu wanita yang memimpin solat Jumaat. Sebagaimana tahun lepas, tahun ini juga Oxford akan menjadi tuan rumah yang menyambut kedatangan 'Imam Wanita' terbabit.

Isunya, mengapa wanita tidak dibenarkan untuk mengimamkan solat berjemaah (termasuk solat Jumaat) di kala hadirnya lelaki?

Maulana Munir memberikan justifikasi yang cukup cantik. Saidina Aisyah R.U.H, isteri baginda Rasul S.A.W.

Dengan kedudukan yang terpuji, mengapakah Aisyah sendiri tidak pernah memimpin solat Jumaat?

Jika diambil logik akal (ini bagi menjawab soalan pemikir barat), di kala baginda Rasul SAW keluar (bermusafir), berdakwah ke luar Madinah, mengapa Aisyah tidak menggunakan ruang yang ditinggalkan suami (Rasul) untuk menjadi imam solat di Masjid Nabawi?

Sedangkan Aisyahlah yang paling dekat dengan Rasul SAW!

Dan sekarang ini, siapakah kita (terutama anda 'Imam Wanita') untuk meletakkan diri lebih mulia dan tinggi darjatnya berbanding Aisyah R.U.H?

Jumaat hari ini, beliau sekali lagi diminta untuk mengulas perkara yang sama, memandangkan majlis solat jumaat yang bakal diimamkan oleh 'Wanita' tersebut akan berlangsung minggu hadapan.

Apapun, maklumat terperinci tidak dapat saya pastikan.

Yang saya dengar tadi adalah penganjuran tersebut tidak mewakili masjid malah dibantah keras.

Namun, di atas dasar kebebasan mengamalkan hak asasi di UK ini, wajarlah ianya digunakan sesiapa yang berminat. Cumanya, masjid telah melaksanakan peranan mereka memberi penerangan yang terbaik kepada komuniti Islam di Oxford ini. Selebihnya, terpulang kepada mereka sendiri.

Apapun, isu 'Imam Wanita' tidak sempat diulas panjang Imam kerana beliau lebih terganggu dengan isu 'memastikan hanya sumber halal daripada perniagaan'.

Beliau menggunakan waktu cuti Summer di mana ramai orang muda datang bersolat untuk menjelaskan isu ini.

Ini kerana terdapat banyak kedai yang 'off-license' di sini dipunyai oleh orang Pakistan, yang mewarisi kedai-kedai (mini termasuklah rangkaiannya) ini daripada datuk dan ayah mereka.

Pendapatan yang dijana pula adalah baik, dan sebahagian pendapatan mereka banyak disalurkan sebagai derma kepada pihak masjid dan pembangunan komuniti Islam.

Yang perniagaan kedai turut digunakan bagi membeli rumah (kemudian disewa). Daripada sebuah rumah, ada yang menambah menjadi 2 rumah, kemudian berganda 10, 20, malah ada sehingga 40 buah rumah sewa!

Begitupun, sumber asal perniagaan yang dijalankan datuk-ayah mereka (kedai) adalah bercampur. 70% aktiviti menjual yang halal dan 30% yang haram (pecahan besar ialah jualan Arak dan Bingo/Tiket loteri).

Anak-anak yang mewarisi perniagaan ini merasakan ianya (campur yang syubhah) tidak salah kerana datuk dan bapa mereka pun mengamalkannya.

Malang lagi, sebahagian wang perniagaan ini disalurkan pula kepada masjid sebagai derma.

Saya dapat melihat wajah-wajah berkerut setelah mendengar teguran tuan Imam ini. Saya pun nampak wujudnya perubahan dalam pendekatan syarahan Imam akhir-akhir ini berbanding sebelumnya.

Banyak yang ditegurnya adalah demi menegakkan yang benar, biarpun tindakannya itu boleh mengundang keresahan pihak tertentu. Sesungguhnya begitu pahit menyatakan kebenaran.

Diakhir syarahannya, beliau meminta agar kaum muslimim, bukalah mata, bukalah telinga dan carilah kebenaran. Jika datuk-ayah tidak mengubah sumber perniagaan mereka, maka anak-anak muda yang mewarisinya harus memulakan perubahan itu.

Berniaga yang 100% halal itu memanglah kurang untung, tetapi hati dan jiwa kita menjadi lebih tenang. Sekarang jika hidup kaya tetapi makan hasil jualan Arak dan Loteri, jiwapun pun tidak tenang dan tenteram.

Beliau turut menegaskan, jika kita kata kita sayang Rasul SAW, janganlah kita merosakkan ajaran yang ditegakkan oleh banginda Rasul SAW.

nota: harapnya tok Imam akan terus mengulas topik-topik sebegini di masa akan datang. Saya jangka beliau akan membangkitkan rasa marah dan kurang senang ramai orang, tetapi dari sudut yang positif, banyak amalan kita yang secara kita sedar atau tidak, masih bercanggah dengan tuntutan agama.

Agama tidak boleh menurut adat/habit/kebiasaan kita, malah adatlah yang harus diperbetulkan untuk menurut tuntutan agama secara total.

(maaf tadi kerana saya tidak terperasan akan Dr Juanda Jaya di sebelah Pak Salim waktu berjalan pulang dari masjid, bile sampai?)

No comments:

Post a Comment