Friday, 18 June 2010

Siri 1: Mengapa pembangunan mapan?

Pepatah Cina ada berkata:

"jika anda tidak tahu ke mana anda ingin pergi, mana-mana jalan pun akan membawa anda ke sana".

Tetapi benarkah kita tidak pasti ke mana ingin kita tuju? Atau destinasinya telah kita tahu, cumanya jalan yang boleh kita lalui terlalu banyak?

Inilah dilema yang kita hadapi setiap kali membicarakan hubungan pembangunan dengan alam sekitar.

Terlalu banyak maklumat yang perlu diserap dan diurus, sedangkan hubungan di antara kedua element (alam sekitar dan pembangunan) ini adalah begitu kompleks, dan di masa yang sama sensitif dan apa jua perubahan yang berlaku saling mendatangkan kesan terhadap kedua-duanya.

Pembangunan adalah sesuatu yang amat diperlukan. Ketinggian tamadun sesuatu bangsa lazimnya diukur melalui tahap dan pencapaian pembangunannya.

Begitupun, di dalam keghairahan manusia mengejar pembangunan (pembangunan ekonomi dan fizikal secara khusus), banyak aspek berkaitan dengan alam sekitar telah 'terpaksa' dikorbankan.

Mengapa kita boleh membenarkan alam sekitar dan sumbernya terus-menerus dieksploitasi bagi menggerakkan agenda pembangunan?

Jawapannya mudah: kerana kita tidak sedar. Kemerosotan kualiti alam sekitar berlaku, tetapi tidak dapat dilihat kesan signifikannya dalam tempoh satu malam (not happen overnight).

-------------------------

Contoh mudah: perubahan iklim (climate change). Peningkatan suhu dunia, kadar pencairan ais di kutub utara, kenaikan kadar air laut dan perubahan musim bukanlah kerosakan hasil semalam yang manusia lakukan.

Ianya rentetan daripada tindakan kita berpuluh tahun yang lalu menghilangkan berjuta-juta hektar hutan hujan tropika Amazon, peningkatan kegiatan perindustrian yang masih degil untuk menerapkan langkah pengawalan pembebasan gas rumah hijau dan kelemahan berterusan mengatur proses urbanisasi, terutama di negara-negara dunia ke-3.

-------------------------

Perubahan terhadap persekitaran ini akhirnya telah memacu minat pelbagai pihak untuk berusaha mendapatkan jalan penyelesaian yang membolehkan pembangunan (yang diperlukan manusia) dapat berterusan, tetapi di masa yang sama, alam sekitar dan sumbernya kekal dilindungi dan dipelihara.

Mengapa alam sekitar?

Pelbagai siri pertemuan di antara para cendekiawan dan ilmuan di peringkat antarabangsa, untuk memperdebatkan perlunya manusia menjaga kedua-dua elemen ini saya lihat lebih berpaksikan kepada penekanan penjagaan alam sekitar berbanding keperluan kepada ekonomi dan sosial.

Bukan saya menafikan kepentingan ekonomi dan sosial. Ianya turut dijadikan agenda perbincangan, tetapi mengapa alam sekitar ingin ditonjolkan sebagai komponen penting, sama penting dengan ekonomi*?

nota: *ekonomi - GDP sering dan masih dijadikan kayu pengukur kekuatan ekonomi sesebuah negara, termasuklah Malaysia. Kerana itu kita masih terbaca di dada akhbar seperti "kerajaan menjangkakan GDP berkembang hingga 4.5% bagi tahun 2011, etc." - contoh. Namun, berupayakah GDP untuk mengukur pembangunan yang bukan bersifat objektif dan yang sukar diterjemah ke dalam bentuk $/wang, seperti pembangunan insan dan peningkatan kualiti alam sekitar? - Elemen 'subjektif' ini tidak dimasukkan walhal ia adalah penggerak kepada ekonomi.

-------------------------

Kembali kepada persoalan, mengapa elemen alam sekitar cuba ditolak ke hadapan dalam kita masih lagi memerlukan kepada pembangunan ekonomi yang kukuh?

Alasan saya mudah sahaja (lihat di bawah).

-------------------------

Jika berlaku kemelesetan ekonomi: seperti sekarang di Greece, tidak lama lagi akan tiba ke Sepanyol (Malaysia pun ada potensi, kata Idris Jala). Seperti situasi Greece sekarang, ekonominya runtuh dan negaranya bangkrap (negara dijual kepada pembiaya hutang).

Walaupun ekonomi runtuh, dapat kita perhatikan ada orang/pihak/badan yang telah segera tampil dengan cadangan model-model ekonomi yang baru bagi menstrukturkan semula segala hutang-piutang dan asas ekonomi Greece.

Dan contoh di Malaysia pula, kerajaan BN hari ini juga tampil dengan apa yang mereka dakwa sebagai Model Ekonomi Baru (MEB), bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang beroperasi beberapa lama sebelum ini.

Maksudnya? Ekonomi jika runtuhpun masih boleh diwujudkan/dicipta/dibangunkan semula melalui tindakan kita merangka model ekonomi yang baru.

Jika wujud penyakit sosial: pun sama juga, sebagaimana ekonomi. Jika kawasan Pasar Seni dan Chow Kit di Kuala Lumpur terbukti berisiko tinggi bagi perlakuan jenayah, makanya pihak Polis boleh tampil dengan cadangan langkah-langkah pencegahan jenayah seperti meningkatkan kekerapan rondaan, menambah anggota Polis, memasang CCTV dan mewujudkan pondok polis bergerak.

Begitu jugalah dengan mana-mana laluan yang gelap, bisa sahaja dipasangkan lampu. Lazimnya, trend dan laporan jenayah akan menurun setelah langkah-langkah pencegahan sebegini diambil.

Seterusnya, keharmonian sosial dapat dikembalikan dalam masyarakat.

Bagaimana jika alam sekitar rosak? Jawapannya, tiada ganti. Alam sekitar dan sumberjayanya jika rosak, rosaklah ia. Jika pupus flora dan faunanya, pupuslah ia.

Ada sesiapa yang anda kenal merupakan penternak Burung Dodo? Rasanya tiada!

Jika hari ini kita ambil 1000 hektar tanah hutan untuk dibina kawasan industri, mahupun bandar baru, dapatkah dalam tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang, tanah yang 1000 hektar tersebut kita 'ambil semua', perbaiki untuk dijadikan kawasan hutan (sebagaimana asal)? Rasanya tidak!

Sedangkan sumber yang kita ambil daripada alam pun tidak mampu kita ganti dan kembalikan sebaik-baiknya. Jika kita ambil air sungai untuk bekalan minuman, dapatkah kita 'pulangkan' semula ia ke sungai dalam keadaan yang bersih sebagaimana mula-mula kita ambil? Besar kemungkinan, tidak!

-------------------------

Justeru, di atas sebab inilah (tiada galang-ganti terhadap alam sekitar), makanya komponen alam sekitar ditolak sebagai satu komponen terpenting apabila merangka agenda pembangunan di masa depan.

Generasi masa hadapan masih boleh menikmati suasana ekonomi dan sosial yang berpanjangan melalui tindakan generasi hari ini memperbaiki model dan struktur ekonomi dan sosialnya.

Tetapi jika musnah alam sekitar dan pupus flora dan faunanya hari ini, ianya hanya menjadi sejarah untuk tatapan generasi kita yang akan datang (samalah seperti kita melihat Burung Dodo di musium hari ini).

Usaha komuniti global di dalam mencari 'model baru' pembangunan mencatatkan sejarah penting di mana di akhir Persidangan Dunia Bagi Alam Sekitar Dan Pembangunan 1987, Suruhanjaya Brundtland tampil dengan gagasan 'Pembangunan Mapan'.

Sebagai mengakhiri siri pertama ini: saya ingin menjawab pepatah Cina di atas:

"kita telah tahu ke mana kita ingin pergi, dengan pembangunan mapan muncul menawarkan jalan bagi kita bergerak ke tempat yang ingin kita tuju"!

---> Penulis merupakan pengarang bersama karya bertajuk 'Pembangunan Mapan Orang Asli', terbitan UTM Press pada tahun 2007 (klik).

Bersambung di Siri 2

No comments:

Post a Comment