Sunday, 16 May 2010

Kemas kini: Umrah Mei 2010

Alhamdulillah, petang semalam kami sekeluarga selamat kembali ke rumah, setelah 10 hari mengisi hari-hari penuh bermakna di tanah suci Mekah dan Madinah.

Banyak benda baru yang membuka mata telah kami alami sepanjang kunjungan ke sana. Apapun, tidaklah ingin saya coretkan di sini. Jika bertanya apa yang saya rasa, jawabnya mudah: setiap detik adalah tidak ternilai.

Posting kali ini saya sekadar ingin 'update'/kemas kini perubahan dan perkembangan dari tanah suci, agar para pembaca semua mendapat gambaran serba-sedikit tentang apa yang sedang berlaku di sana.

Perjalanan kami 10 hari bermula dengan penerbangan dari Heathrow ke Jeddah dan terus menunggu penerbangan domestik ke Madinah (4 hari di sana).

Dari Madinah, kami berihram dan kembali ke Jeddah. Dari Jeddah, perjalanan mengambil masa selama 1 jam ke kota suci Mekah (6 hari di Mekah).

Jeddah Airport: Menunggu penerbangan ke Madinah

King Abdulaziz International Airport, Jeddah

Mentari pagi di Masjid Nabawi

Di bawah kubah hijau inilah letaknya rumah Aisyah, makam Rasulullah SAW, makam Saidina Abu Bakar r.a., makam Saidina Umar r.a dan tiang Jibril.

Di dalam kawasan di antara rumah/makam dan mimbar Rasulullah SAW pula terdapat tiang-tiang dan kawasan ini dinamakan Raudah. Jika berkesempatan (dengan berebut-rebutan) bersolat sunat-lah dan berdoalah/bermohon hajatlah di situ kerana ianya antara tempat terbaik untuk bermohon hajat kepada Allah Taala.

Perubahan ketara di Masjid Nabawi

Suasana sebelum magrib

Dengan adanya payung ini, mudahlah kami suami-isteri berteduh di luar masjid

Lihatlah jumlah jemaah - ini di luar musim puncak

Alhamdulillah, pengalaman saya sendiri menunjukkan sebagai orang lelaki sebenarnya tidak banyak masalah untuk menziarah makam rasulullah setiap kali selepas waktu solat.

Manakala bagi wanita, memang tiada ziarah makam, cuma ada waktu-waktu tertentu (Pagi: 6.30 - 9.00 pagi: Petang: 2.00 - 4.00 petang dan Malam: 9.30 - 12.00 malam) akan dikhususkan bagi wanita masuk bersolat dan berdoa di Raudah (kena beratur mengikut negara).

Bagi yang membawa anak kecil seperti kami, perlu difahami bahawa wanita dan lelaki akan memasuki pintu berasingan dan kaum ibu lazimnya memikul tugas lebih berat menjaga dan mengawal anak.

Dari segi makan pula (jika datang dengan pakej umrah dari Malaysia, tiada masalah kerana makan disediakan). Bagi yang datang sendiri seperti kami, berhadapan Masjid ini ada Souk Al-Haram (pasar/bazar) yang menjual pelbagai makanan, pakaian, minyak attar, kayu sugi dan bermacam lagi.

Alhamdulillah, sedar tak sedar 4 hari terasa begitu singkat dan akhirnya berlalu buat kami. Perjalanan bagaimanapun perlu diteruskan untuk memulakan ibadah Umrah.

Di sebalik beberapa kesulitan, Alhamdulillah kami tiba jua ke tanah suci Mekah.

Kami tiba agak lewat (selepas Isya'). Apapun, Allah bantu memudahkan proses Umrah - tawaf, Saei dan cukur. Segala yang sebagaimana dituntut dalam syarat mengerjakan Umrah selamat dilaksanakan kira-kira jam 12.00 tengah malam.

Siang esoknya, kami ke Al Haram. Kali ini gambaran lebih jelas dengan tersergamnya bangunan yang begitu 'memesongkan fokus' ibadah ramai orang semasa tawaf - hotel dan pusat membeli-belah ini.


Belum siap sepenuhnya. Tengoklah pabila siap nanti.

Begitu juga kawasan lain di sekitar Al-Haram. Banyak bangunan hotel lama diroboh dan bukit-bukit mula diratakan. Jentera dan kren terpacak di sana-sini.

Entah bagaimanalah keadaan di luar Al-Haram setelah segalanya terbina kelak. Apabila difikir-fikirkan, syukur juga kami diberi peluang untuk buat Umrah sekarang sebelum 'kemodenan' mengubah persekitaran di luar Al-Haram.

Tingkat 2 Al-Haram, jika anda masuk melalui Pintu Malik Abd Aziz.

Suhu waktu malam masih 34 degree - Pakcik yang dah gondol

nota: bagi yang membawa anak kecil, digalakkan membawa buggy (kereta sorong bayi), bagi keselamatan bayi, melindungi dari panas mentari (boleh mencapai hingga 42 degree, basahkan tuala kecil dan letak atas kepala baby), membantu mengurangkan lenguh lengan ibu-ayah.

Makan: bagi yang datang dengan travel agents dari Malaysia, lazimnya makanan disediakan di hotel. Namun, bagi yang datang sendiri seperti kami, dan jika sekali-sekala ingin menukar selera, boleh cuba makanan arab, kebab, KFC, Burger King, B&R dan masakan Malaysia yang disediakan oleh restoran Felda D'saji.

D'saji terletak di tingkat 3, Safwah hotal, setentang dengan Al-Haram. Harga mana-mana 1 lauk 5 riyal, roti canai kosong 3 riyal dan roti telur 5 riyal, kuew tiew 10 riyal dan paling sedap, teh ais (3 riyal).

Felda D'saji

Ramai orang membeli-belah setiap kali selesai waktu solat

nota: jika anda beranggapan harga di kaki-kaki lima lebih murah dari kedai tepi jalan, anda silap. Harga yang ditawarkan adalah sama sahaja, jika murah pun dalam 1-2 riyal sahaja. Jika anda seorang yang amat prihatin, sentiasa berawas dengan barangan peribadi (beg yang mengandungi pasport, beg duit, etc).

Kurma: pastinya ramai yang mencari-cari kurma Al-Ajwa. Harga di kedai-kedai sekitar Al-Haram adalah 120 riyal/kg. Kurma Safawi pula 80 riyal/kg.

Nasihat saya, jika anda bermula di Mekah, dan kemudian ziarah ke Madinah, belilah kurma untuk sekadar 'dapat rasa' di Mekah dan belilah untuk bawa pulang di Madinah. Setakat yang saya tanya semasa ziarah Syuhada Bukit Uhud, kurma Al-Ajwa Gred A adalah 50 riyal/kg dan Safawi pula 20 riyal/kg di Souk Al-Haram (berhadapan masjid Nabawi).

OK, kembali kepada kisah di Mekah.

Jemaah berpusu-pusu keluar dari Pintu Malik Abd Aziz selepas solat Maghrib

Suasana selepas Isya'

Kami turut di bawa ziarah semasa di Mekah. Baru saya merasa, melihat sendiri betapa luasnya Arafah, perjalanan para jemaah haji ke Muzdalifah. Kawasan melontar (Jamrah) pula ditutup kerana kerja-kerja pembinaan kompleks melontar sedang berjalan. Begitu juga sistem LRT yang menghubungkan kawasan-kawasan ini.

Allah-hu-Akbar. Selesai tawaf Wida' (tawaf selamat tinggal)

Tawaf: berpandukan pengalaman saya sendiri, jumlah jemaah waktu ini adalah ramai. Setiap selesai solat fardhu orang akan berebut tawaf. Apa yang saya buat adalah melakukan tawaf sunat jam 10 pagi. Lazimnya ada ruang untuk orang berbadan kecil macam saya yang tidak suka berebut dan memarahi orang lain (dan tidak diherdik orang lain) - untuk bertawaf, solat sunat tawaf dan solat sunat 2 rakaat di Hijir Ismail waktu pagi itu.

Lazimnya, saya mula tawaf jam 10 pagi dan selesai solat di Hijir Ismail dalam masa kurang 1 jam. Selepas itu, perut pun terasa pedih, dan sesuailah berkejar makan nasi lemak di D'saji pula!

Individu: suatu pagi sewaktu duduk-duduk makan roti di perkarangan masjid Nabawi, kami disapa oleh saudara Ishmael (saudara baru) dari Brooklyn, New York. Datang seorang diri dari US. Beliau meminta izin untuk merakamkan foto kami sekeluarga dan dari itu bermulalah sembang-sembang. Allah Maha Besar, lihat bagaimana orang yang membesar di 'Brooklyn' diberi hidayah Islam.

Di Mekah pula kami dibantu Ustaz Asnawi dari Umm al Qura University, Mina. Alhamdulillah beberapa persoalan yang bermain di minda saya sebelum ini telah beliau perjelaskan iaitu perbuatan jemaah 'bergayut' dan meratap di sekeliling dinding Kaabah, bersolat sambil melihat Kaabah dan bukan tempat sujud dan sebagainya.

Ramai lagi yang kami temui, bagi orang rumah pula, kami bertemu keluarga dari Surrey, UK membawa anak lelaki sebaya Mawaddah, nama M juga (Muhammad), nama ibu pun bunyi sama (Houda & Huda), kebetulan betul.

Enam hari berlalu begitu cepat sekali buat kami di Mekah. Alhamdulillah dengan usia, wang dan masa, kami telah cuba yang termampu menyempurnakan ibadah Umrah ini.

Kini tibalah masa untuk kami pulang ke kampung kami, pulang membawa perubahan (spiritual, rohani dan minda) dan menjadi insan yang lebih baik, memimpin diri, keluarga, kerjaya dan pelajaran ke arah lebih baik dengan berpandukan tuntutan Al-Quran dan Sunnah rasulNya.

Sekian...harap dapat bertandang lagi untuk menyempurnakan ibadah Haji pula.

No comments:

Post a Comment