Thursday, 27 May 2010

Berita gembira

Idris Jala: M'sia must cut subsidies, debt by 2019 or risk bankruptcy (klik tajuk)

Ringkas - cadangan mengurangkan subsidi yang diutarakan oleh 'SRL - the subsidy retionalisation lab' adalah seperti berikut:

1) subsidi gas akan DIKURANGKAN, menyebabkan peningkatan terhadap tariff elektrik. Bagaimanapun, kebanyakan isirumah tidak akan menerima kesan (kenaikan ini) memandangkan peningkatan hanya akan memberi kesan kepada pihak yang menggunakan tenaga elektrik melebihi 200kWjam.

2) Kadar tol akan DINAIKKAN pada pertengahan tahun 2010 bagi setiap perjanjian konsesi, kecuali bagi lebuhraya yang tidak mempunyai laluan alternatif tidak bertol.

3) Rawatan pesakit luar di hospital kerajaan akan DINAIKKAN daripada (semasa) RM1 kepada RM3. Rawatan 'in-patient' juga akan DINAIKKAN, bergantung kepada wad yang ditempatkan (wad kelas satu, dua atau tiga), daripada antara RM3 dan RM80, kepada antara RM6 hingga RM160.

4) Skim Pinjaman Buku Teks dan Subsidi Tution akan DIHAPUSKAN. Pelajar juga dimestikan MEMBAYAR yuran bagi peperiksaan umum.

5) Pelajar asing (luar negara) dimestikan MEMBAYAR PENUH yuran pengajian mereka di universiti tempatan.

6) Pelajar Ijazah dan lepasan Ijazah tempatan juga akan perlu MEMBAYAR LEBIH yuran pengajian mereka, dengan kadar di antara RM300 hingga RM800.

(sumber asal - Bahasa Inggeris - Klik)

Berita gembira?

Ini merupakan khabar gembira (?) buat sektor pendidikan dan kesihatan. Nampaknya usaha ke arah 'memerdekakan' minda dan poket rakyat Malaysia daripada 'tongkat' dan subsidi bakal dijelmakan tidak lama lagi.

Apa tidaknya? Setelah lebih 50 tahun merdeka, rupa-rupanya subsidi* terhadap pembangunan pendidikan dan kesihatan rakyatlah punca dan yang telah menambah bebanan hutang kepada kerajaan dan negara.

(* Bacaan lanjut: Kenapa subsidi jadi alasan - Tim. Presiden PAS)

Apa tidaknya, 4 daripada 6 cadangan yang dikemukakan oleh SRL adalah menjurus kepada 2 sektor utama ini.

Bukanlah saya membantah 100% pemansuhan atau pengurangan subsidi kepada rakyat oleh kerajaan, tetapi (seperti kata Din) tanpa subsidi kita sebenarnya tidak akan mampu untuk memiliki apa-apa.

Contoh:

GBP100 dengan RM100 - dari segi kuasa membeli adalah amat jauh bezanya. Tanpa subsidi barang makanan (dan barang kawalan), apakah yang mampu kita beli dengan wang RM100? Hal ini agak berbeza jika di UK, dengan GBP100 anda masih dapat berbelanja dengan selesa terhadap barangan keperluan dapur.

Ringkasnya, menamatkan subsidi, akhirnya hanya akan menyempitkan lagi kuasa beli kita. Dan apabila kuasa beli bertambah rendah, tiada orang akan membeli kereta, Proton dan Perodua akan rugi, bungkus dan tutup kilang (maknanya buang semua pekerjanya - menganggur - tiada wang nak sara keluarga, etc).

OK, berbalik kepada tujuan asal posting ini.

Adakah universiti kita telah bersedia?

Saya tidak ingin komen kesemua elemen yang tersenarai untuk dikurang - dihapus subsidi seperti cadangan SRL, cuma yang menariknya elemen no.5 dan no.6 - yuran pengajian pelajar asing dan pelajar tempatan.

Di kala hampir semua universiti di Malaysia sedang bekerja keras bagi meningkatkan rating untuk bersaing di kalangan universiti 'bertaraf dunia' - bersediakah kita untuk mengambil risiko meningkatkan kadar yuran ini?

Apakah pakej pengajian di universiti tempatan telah menjadi terlalu menarik sehingga pelajar asing tidak lagi kisah untuk membayar lebih wang bagi menyambung pengajian mereka di sini?

Apakah pilihan yang terbaik hanyalah universiti di Malaysia sahaja?

Jika universiti kita sudah bersedia dan memang memiliki reputasi yang tinggi di dalam kursus-kursus yang mempunyai permintaan yang tinggi di kalangan penuntut tempatan dan asing, selamat maju jaya saya ucapkan.

Atau, apakah ini masih belum masanya kerajaan, mahupun agensi di bawah kerajaan seperti SRL mengemukakan cadangan sedemikian.

Saya guna contoh: Orang buat Umrah / Haji. Bayaran atau kos bagi perjalanan Umrah dan Haji meningkat saban tahun, tetapi mahu tidak mahu orang ramai sanggup membayarnya.

Sebabnya? Haji, mahupun Umrah hanya boleh dilaksanakan dengan kita ke tanah suci.

Pilihan untuk melanjutkan pelajaran pula bagaimana? Adakah hanya universiti Malaysia sahajakah? Tentunya selain faktor ranking universiti, kursus yang ditawarkan, kemudahan menjalankan penyelidikan - faktor kewangan, yuran pengajian, kos menyara hidup juga akan mempengaruhi minat, keputusan dan kedatangan pelajar-pelajar ini.

nota:

1- nampaknya pentadbir universiti perlu memikirkan strategi baru bagi menambah jumlah pelajar (lebih banyak wang masuk) jika cadangan SRL ini diterima kerajaan.

2 - sebelum ekonomi negara tumbang akibat bebanan hutang, rakyat jelata pastinya akan 'tumbang' terlebih dulu disebabkan tidak tertahan menanggung beban 'kesan rantaian' daripada kenaikan harga bahan api kelak.

3 - nasib dan bebanan yang ditanggung oleh rakyat jelata ini bagaimanapun tidaklah dikongsi oleh beberapa kerat golongan elit dan jutawan yang saban tahun semakin bertambah kekayaan mereka - sebagaimana laporan majalah Forbes Asia.

No comments:

Post a Comment