Thursday, 29 April 2010

Welcome to Lagos

Di bawah ini adalah satu dokumentari terbitan BBC yang saya dapati amatlah menarik dari segi kandungan ilmiahnya dan begitu wajar dikongsi bagi tatapan para pembaca sekalian.




Sumber semua foto (sini)

Bagi mereka yang belajar tentang pembangunan komuniti, jururancang bandar atau pembaca umum yang berminat tentang manusia, bandar dan sistem yang menghubungkannya, inilah sumber rujukan tambahan bagi membantu anda (secara visual) bagi memahami tabiat manusia dan bagaimana manusia yang berbagai keperluan menggunakan ruang bandar.

Ironinya, kehidupan komuniti di tempat pembuangan sampah ini sekali imbas hanyalah kewujudan satu lagi tempat yang kotor, sarang jenayah dan tempat orang yang terbuang dan orang yang tiada harapan.

Tetapi yang indahnya, di dalam dokumentari ini dihuraikan bagaimana setiap orang yang hidup dan menggunakan sumber serta ruang bandar/petempatan (tidak kira sekecil manapun peranannya) adalah saling melengkapi umpama 'bakteria pengurai' yang bersama-sama mengambil peluang untuk menjana kehidupan dan untung.

Pemungut sampah bergantung hidup dengan hasil jualan barangan kitar semula seperti tembaga, plastik, kaca, etc.

Manakala, di petempatan sampah itu ada para peniaga yang membuka gerai makan, kedai mengunting rambut, hatta perkhidmatan memotong dan mencuci jari tukang kutip sampah.

Semua orang ambil peluang untuk cari wang dan wang itu bergerak/berpindah bagi meneruskan hidup setiap orang di situ.

Hal yang sama semasa di pasar menjual lembu. Penternak ingin menjual lembu. Ada 'broker' yang akan mendapatkan pembeli dengan harga terbaik. Tukang sembelih turut dapat untung, ada yang ambil kepala lembu.

Perut dan najis menjana rezeki kepada pembuat baja. Hatta darah lembu turut diproses sebagai makanan ayam - pendapatan kepada orang lain.

Ringkasnya, perniagaan di pasar bukan hanya melibatkan lembu, tetapi lihatlah bagaimana kompleksnya dan peranan 'bakteria pengurai' ini yang hidup secara simbiotik dan saling melengkapi.

Saya telah kesemua episod - ada 3 episod sahaja. Semalam ditayangkan episod yang terakhir - setinggan tepi pantai. Episod pertama berkisar kehidupan komuniti tempat pembuangan sampah dan kedua, berkisar setinggan di atas air.

Semua episod saya suka dan memang saya tertunggu-tunggu. Selain menambah pengetahuan terhadap ilmu perancangan komuniti, perancangan bandar, ianya sedikit sebanyak membuatkan saya bersyukur dengan apa yang 'masih' dikekalkan di Malaysia.

Memang ada banyak yang belum sempurna, tapi kita juga haruslah mainkan peranan, biarpun kecil bak kata pepatah, jika tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua.

Jika kita tidak mampu menyumbang kepada penyelesaian sesuatu masalah, sekurang-kurangnya janganlah pula kita menambahkan lagi kerumitan pada masalah yang ada.

Akhirnya, saya amat-amat cadangkan anda melihat videonya di sini (klik). Setiap episod juga boleh dimuat-turun (download). Ianya bagus untuk digunakan sebagai 'alat bantu mengajar' buat rakan pensyarah yang berminat.

Moga beroleh ilmu, manfaat dan pengajaran. Wassalam.

No comments:

Post a Comment