Thursday, 4 March 2010

Solat Hajat

Pelbagai respon, telahan, andaian (dan juga serkap jarang), analisa dan pemerhatian dibuat pelbagai pihak mengenai tindakan beberapa ADUN + AP dari PKR yang keluar parti baru-baru ini.

Rata-rata para pendokong PR mengecam tindakan yang tidak bermoral sebegini. Yang seolah-olah para pengundi telah dipermainkan oleh pemimpin yang mereka pilih pada pilihanraya yang lepas.

Secara emosinya siapa yang tidak merasa tertipu dan marah. Apapun, secara realitinya, yang keluar telah keluar. Berteriak ke bukit pun belum tentu bukit akan roboh. Rekod menunjukkan belum ada pemimpin yang keluar parti, melepaskan jawatan sebagai ADUN mahupun sebagai AP.

Namun, persoalan sebab mengapa mereka ini keluar parti dan apa jua sebab dan alasan mereka, bukanlah fokus posting saya kali ini.

Ianya berkaitan penggunaan medium 'solat hajat' oleh segelintir penyokong PR bagi tujuan untuk menghancurkan (masa depan/nyawa) AP, ADUN mereka yang telah keluar parti.

Apakah rasionalnya orang Islam memohon hajat kepada Allah agar menurunkan bala (dengan niat menghancurkan) kepada orang yang Islam juga?

Mengapa sampai begitu sekali bencinya segelintir kita terhadap seseorang yang juga Islam, cuma yang silapnya si polan itu telah menipu dalam perjuangan.

Adalah menjadi kekhuatiran pada saya, sekiranya Allah benar-benar menurunkan bala dan ujian, tetapi dalam skala yang lebih besar dengan potensi kemudaratan yang tidak termampu untuk kita tanggung. Iaitu bukan sahaja orang yang dihajati yang kena, tetapi orang yang tidak berdosa seperti anak-anak dan saudara-mara mereka juga, bagaimana ini?

Bagaimana untuk 'anda' menjawabnya? - anda perlu jawab kerana anda turut 'menyumbang'.

Adakah emosi dan rasa benci telah mengatasi kewarasan hingga ada di kalangan kita mula hilang pertimbangan?

Jikapun kita ingin orang yang buat aniaya kepada kita dan masyarakat seperti perasuah, pengkhianat, kaki dadah, pencuri, penzina dan sebagainya dihukum dengan hukuman yang setimpal, tentu sekali masih ada kaedah dan cara yang Islam ajarkan kepada kita.

NOTA: sila baca artikel terbaru nukilan Menteri Besar Kelantan, D. Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini: http://ahmadfadhli.com.my/2010/03/jika-hanya-tidak-puas-hati-kenapa-melompat/

Usahlah difikirkan apa persepsi orang yang bukan Islam terhadap kita (dengan tindakan buat solat hajat berniatkan sebegini), selidiklah juga apa perasaan dan penerimaan umum para saudara sesama agama juga.

Saya sering berpandangan medium solat hajat selalunya digunakan untuk meminta sesuatu yang baik-baik (hajat baik) daripada Allah s.w.t.

Dalam apa jua keadaan, golongan pelajar dan mahasiswa mengadakan solat hajat untuk dipermudahkan urusan peperiksaan dan mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian, suami-isteri bersolat hajat untuk dikurniakan cahaya mata, ada yang bersolat hajat meminta Allah lancarkan urusan mendapatkan PhD, Tuan Guru MB Kelantan turut solat hajat agar dibukakan hati pemimpin negara untuk mengembalikan royalti minyak kepada Kelantan, dan bermacam lagi tujuan dan niat (sama ada umum atau spesifik) dilakukan solat hajat ini.

Jika di zaman Nabi s.a.w juga biasa kita dengar baginda mengadakan Qunut Nazilah bagi memohon pertolongan dari Allah atas penganiayaan (dan pembunuhan) ke atas para sahabat yang keluar menyebarkan Islam kepada golongan kafir.

Mungkin saya belum terdengar/terjumpa hadis yang menyatakan Nabi s.a.w memohon (solat hajat, etc.) agar Allah musnahkan seseorang dari golongan yang Islam juga - biarpun orang itu melakukan maksiat. Jika anda ada terjumpa harap dapat dikongsi dengan saya.

Patutnya, diadakan majlis solat hajat ini (tidak secara berjemaah pun tidak mengapa) bagi memohon agar Allah menetapkan hati setiap anda (mana yang terlibat) dengan perjuangan anda, mendoakan moga Allah timbulkan keinsafan di hati bekas pemimpin anda akan kesilapan mereka membelakangkan perjuangan dan berdoa agar keamanan dan kestabilan terus berkekalan di bumi Malaysia yang kita sayangi ini.

Janganlah terlalu ditonjolkan medium 'solat hajat' ini sebagai senjata untuk memusnahkan (mengugut pun mungkin) sesama Islam dan mereka yang tidak sealiran. Janganlah juga dipromosikan hingga ianya menjadi suatu budaya hingga Islam itu dilihat keras, dan bukan lagi indah.

Islam Itu Indah -

No comments:

Post a Comment