Wednesday, 10 March 2010

Kerjaya DAN Rumahtangga

Ini bukan topik Kerjaya VS Rumahtangga. Kerana tidak seharusnya ditimbulkan dilema atau polimek berkenaan mana yang ingin diutamakan.

Bila waktu belajar, belajarlah betul-betul. Bila usia sesuai untuk berkerjaya, carilah pekerjaan yang sesuai. Dan bila rasa bersedia untuk berumahtangga, jangan ditangguhkan. Kedua-dua kerjaya DAN rumahtangga adalah sama penting, sama perlu. Cuma setiap orang mungkin melaluinya pada peringkat hidup yang berbeza/sama.

Wanita boleh

Bukan ingin merendah-rendahkan keupayaan kaum Hawa dalam hal kerjaya. Memang telah terbukti dan diakui bahawa wanita semakin mendominasi alam universiti, bahkan turut cemerlang dalam kursus-kursus yang 'lasak', yang dahulunya hanya dipilih oleh penuntut lelaki.

Pencapaian yang cemerlang ini sekali lagi telah mengatasi peluang kaum Adam untuk mencari tapak di alam kerjaya. Buktinya apabila 3/4 daripada jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) telah diisi kaum Hawa.

'Pelaburan' mak-ayah menyekolah dan membiayai pengajian anak mereka di universiti semestinya perlu dibalas oleh si anak.

Di atas tuntutan membalas jasa ibubapa, di samping tidak mahu mensia-siakan ilmu yang dipelajari dan keputusan cemerlang yang diperolehi semasa belajar, menjadikan wanita lebih berpeluang di alam kerjaya mereka.

Tambahan pula, sistem memasukkan orang dalam sektor pekerjaan di Malaysia masih banyak mengikut apa yang 'di atas kertas' - terutama keputusan peperiksaan. Menyempitkan lagi peluang penuntut lelaki yang sedia lemah dalam peperiksaan (kuat main-main kot).

Dengan pendapatan yang baik, mereka bukan hanya berupaya menyediakan simpanan untuk diri sendiri, malah menjadi lebih berdikari (independent). Tambahan pula, hidup di Malaysia perlukan banyak belanja hari ini.

Bagaimanapun, keghairahan mengejar kerjaya dan pengaruh budaya moden telah mula menampakkan kesan (jangka panjang) yang tidak menyenangkan.

Untuk lebih memahami maksud ayat di atas, para pembaca bolehlah membaca artikel di bawah.

Jalan yang 'menang-menang'

Kini pelbagai pihak telah mengenalpasti permasalahan, iaitu tahap kesuburan kaum wanita Malaysia dijangka merosot (dan telah merosot sebenarnya). Adalah tidak sesuai sekiranya ada yang tidak bersetuju (namun ianya boleh diperdebatkan) kerana kajian ini bukannya dibuat oleh orang sebarangan, tetapi golongan yang diistilahkan sebagai 'pakar bidang'.

Bagus apabila peringkat awal - kenalpasti masalah telah dibuat. Tinggal lagi mencari jalan bagaimana untuk 'merawat' masalah tersebut agar tidak memudaratkan bukan sahaja kaum Hawa, malah populasi negara secara keseluruhannya pada masa hadapan.

Untuk pergi kepada kaum wanita dan berkata "ko tak payah kerjalah! Nanti sibuk dengan kerja sampai lupa nak berumahtangga dan mempunyai zuriat", adalah sesuatu yang dangkal, kerana wanita turut berperanan dalam membangunkan bidang-bidang tertentu di negara kita.

Namun, jika fenomena wanita terlalu mengejar kerjaya, hingga mengecilkan peranan kehidupan berumahtangga ini tidak dibendung, maka akan tiadalah hilai-tawa anak-anak kecil hari esok.

==============

Kadar kesuburan wanita Malaysia dijangka menurun

10/03/2010 6:07pm

KUALA LUMPUR 10 Mac – Kadar kesuburan pada kalangan wanita Malaysia dijangka menurun secara mendadak pada tahun 2015 iaitu 2.05 kanak-kanak bagi seorang wanita berbanding 2.2 kanak-kanak pada 2007.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, hasil kajian kadar kesuburan pada kalangan wanita Malaysia dari 1995 hingga 2007 menunjukkan penurunan setiap tahun yang mengakibatkan penurunan kadar populasi penduduk negara ini.

Hasil kajian itu membuktikan kadar kesuburan pada 1995 yang mencatatkan 3.4 kanak-kanak bagi seorang wanita menurun kepada 2.9 pada tahun 2000 dan akhirnya 2.2 pada 2007, katanya pada sidang media Forum Konsultatif Siri 3, Kajian Pelan Strategik Kependudukan kedua, di sini hari ini.

"Wanita Malaysia mengalami penurunan tahap kesuburan setiap tahun dan tahap kesuburan wanita dalam kumpulan umur antara 15 dan 49 tahun merosot dengan pantas, dan ini boleh menjejaskan tahap populasi di negara kita pada masa depan,” katanya.

Menurut Aminah, punca utama masalah itu adalah sikap mereka yang lebih mengutamakan kerjaya dan terlepas daripada lingkungan umur yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga.

Selain itu, terdapat juga golongan wanita mengamalkan trend tidak mahu berkahwin atau lebih berminat kepada gaya hidup yang bebas tanpa sebarang ikatan, katanya. – Bernama

Sumber berita (sini)

==============

No comments:

Post a Comment