Wednesday, 20 January 2010

Iktibar dari pengambilalihan Cadbury

Kembali dijajah selepas 179 tahun!

Salah satu isu hangat yang sedang diperdendangkan di media massa di UK ketika ini ialah berkaitan pengambilalihan syarikat (kini bekas syarikat) pembuat dan pengeluar coklat terkemuka dunia dari Britian, Cadbury oleh gergasi pengeluar produk berasaskan tenusu dari Amerika, Kraft Foods (Sumber -sini).

Isu pengambilalihan ini hangat dibincang dan dibahas sehingga fenomena gelombang ke-2 salji sudah seperti kurang mendapat perhatian masyarakat.

Umum tentu tahu bahawa British a.k.a orang putih amat bangga akan sejarah, tradisi dan pencapaian lampau mereka.

Tempoh 179 tahun 'kemerdekaan' Cadbury adalah bukti kemampuan Britian menguruskan perniagaan mereka dengan baik dan mereka wajar berbangga dengannya.

Apapun, tahun 2010 semua kebanggaan itu telah berlalu pergi dan kini ianya hanya tinggal sebagai sejarah, yang akan kekal dalam lipatan sejarah.

Transaksi berjumlah £11.9bn telah mendapat reaksi bercampur-campur oleh pelbagai pihak. Rakyat British tentunya berang dengan situasi ini. Manakala, orang politik pula dilihat cuba meredakan keadaan dengan menabur 'gula-gula dan coklat' untuk memaniskan rakyat berkaitan perkara ini.

Sumber foto

Mana tidaknya, British telah 'terlepas' (dirampas) banyak tradisi, sejarah dan kebanggaan mereka kepada pihak asing, hasil perlaksanaan dasar langit terbuka.

Jika sesetengah kita di Malaysia begitu taksub dengan Liga Perdana Inggeris (EPL), ramai pemilik kelab-kelab bolasepak ini adalah billionaire dari luar, bukan lagi milik orang British.

Sekadar memberikan beberapa contoh yang saya tahu, pemilik Chelsea (Russia), Portsmouth (Arab), Man. City (Arab), Liverpool (Amerika) dan banyak lagi.

Orang British 'hantu bola' dan semua wang yang mereka belanjakan akhirnya akan menambah kaya-kan lagi orang-orang luar, pemilik kelab bola kesayangan mereka.

Nasib rakyat dan pekerja

Adalah sesuatu yang lazim apabila berlakunya pengambil alihan syarikat, penstrukturan semula organisasi merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Di antara yang distrukturkan adalah menyusun bilangan pekerja, anak syarikat, selain menilai semula bebanan hutang, R&D produk dan sebagainya.

Kesan langsung yang paling dibimbangi ramai adalah kemungkinan beribu-ribu pekerja Cadbury bakal diberhentikan, kesan daripada pengambil alihan ini.

Jika ini terjadi, adalah amat malang di kala masyarakat di sini masih belum sempat bangkit sepenuhnya daripada kemuraman ekonomi pertengahan tahun lepas - saya ada menulis artikel berkenaan krisis pekerjaan di kilang Mini Cooper, Oxford sebelum ini.

Manakala kesan terselindung pula lebih dahsyat di mana orang British tidak lagi mempunyai kuasa dan kekuatan untuk menentukan nasib mereka sendiri kerana segalanya perlu mendapat persetujuan, restu daripada pemilik barunya di Amerika.

Ianya teruk, ianya suatu bentuk penjajahan, ke atas ekonomi dan sosial sesuatu masyarakat dan negara.

Biarpun 'mereka' ini tidak menguasai kerajaan, tidak menjadi pemerintah atau bergelar menteri, keputusan dan tindakan mereka nyata lebih memberi kesan kepada sosio-ekonomi masyarakat dan kerajaan tidak mampu untuk berbuat apa-apa mengenainya.

Jika ianya terjadi (dan akan terjadi), kerajaan UK kelak kemungkinan akan dipaksa untuk bersetuju dengan apa sahaja permintaan yang dibuat oleh pelabur-pelabur kaya dan kesannya rakyatlah perlu menanggungnya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment