Monday, 11 January 2010

Guna cacing untuk menipu

"akan ku cari kau biar ke lubang cacing sekalipun!"

Mungkin itu ungkapan yang sesuai untuk saya gambarkan perasaan hiba, terkilan, geram dan marah para pelabur skim penternakan cacing, yang ditipu di siang hari oleh syarikat pengelola pelaburan mereka, baru-baru ini.

Berita penuh dapat dibaca di sini (klik).

Dianggarkan sebanyak RM30 juta (GBP5 juta) wang pelaburan ahli yang berjumlah kira-kira 3000 orang itu telah dilarikan si 'penyacing' ke lubang cacing - hingga kini masih gagal dikesan.

Macam-macam taktik yang digunakan orang sekarang untuk menipu. Teringat saya akan istilah TOTO - Tolong Orang Tipu Orang.

Insentif pelaburan seperti ingin menolong orang untuk menjadi kaya (senang dari sebelumnya), tapi berakhir juga dengan menipu orang.

Ingatkan syarikat pemaju perumahan sahaja yang menipu para pembeli rumah dengan menyediakan rumah tanpa atap dan CF, atau syarikat MLM yang memerah keringat orang dibawah, kini si cacing pula dijadikan 'umpan' bagi memancing mangsanya.

Yang menyedihkan adalah ada sebilangan pelabur tersebut telah menggunakan wang simpanan hari tua (life savings) mereka seperti golongan pesara dan orang kampung, semata-mata inginkan pendapatan yang bakal menyenangkan sedikit kehidupan hari tua kelak.

Tidak kurang juga ada pelabur yang masuk ke dalam skim berkenaan melalui pinjaman wang dengan saudara -mara, setelah berbuih-buih untuk meyakinkan mereka membenarkan wang mereka (mungkin simpanan mereka) diberi pinjam buat si polan tersebut melabur.

Lebih 'nazak' lagi jika ada di kalangan peserta skim tersebut yang telah terlanjur membuat pinjaman ah long Bukit Tak Beruntung (loan shark), yang semestinya mereka pula akan diburu hingga ke lubang cacing selepas ini!

Rompakan di siang hari seperti ini wajar ditangani segera oleh pihak yang berwajib seperti SSM, unit jenayah perdagangan, kementerian pengguna dan sebagainya untuk mengheret individu utama ke muka pengadilan, dan seterusnya mengembalikan semula kesemua wang yang dilaburkan.

Mungkin dengan komitmen pelbagai pihak akan mewujudkan tekanan buat di pencuri ini bak kata pepatah, seperti cacing yang kepanasan - panas sebab buat banyak dosa.

Tentunya nilai RM10,000 atau RM100,000 masih kecil di mata orang-orang kaya, tetapi kepada orang kampung, golongan pesara, ibu tunggal dan kakitangan kerajaan yang sebelum ini cermat menabung, ianya suatu jumlah yang cukup besar. Ianya simpanan sepanjang hayat.

Bayangkan jika wang pelaburan mereka dilarikan, bagaimana dengan masa depan mereka, anak-anak, perbelanjaan dan hutang mereka? Mampukah mereka berhadapan dengan kecaman dari saudara-mara sendiri yang setiap hari datang menagih hutang?

Kepada anda di luar saya yang banyak wang tetapi tidak tahu ke mana hendak dilaburkan, pesan saya, siasat dulu potensi sesuatu syarikat pelaburan itu, kekuatan kewangan dan jaminan pelaburan yang ditawarkan.

Ini kerana kadang-kala musang boleh berbulu ayam.

No comments:

Post a Comment