Wednesday, 27 January 2010

Dilema Menjadi Doktor

Akhbar hari ini melaporkan saranan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, a.k.a Presiden PPP yang 'disangsikan' statusnya, Senator Datuk T. Murugiah agar kerajaan mengkaji tempoh perkhidmatan para doktor dengan kerajaan (ikatan kontrak wajib) dari amalan semasa, 3 tahun, dipanjang kepada 5 hingga 10 tahun.

Ianya memandangkan ketika ini negara secara kasarnya masih menghadapi masalah kekurangan doktor iaitu sekitar 5,000 orang (tahun 2009).

Menurut beliau lagi, rekod lampau menunjukkan ramai para doktor hanya berminat untuk memenuhi syarat perkhidmatan mereka dengan kerajaan, iaitu 2 tahun untuk housemanship (latihan) dan baki 3 tahun lagi untuk khidmat wajib.

Selepas itu, mereka akan meninggalkan sektor perkidmatan awam untuk sama ada menyertai sektor swasta atau membuka klinik mereka sendiri.

Gaji = beban tugas = tidak setimpal?

Seringkali kita dengar antara alasan utama para doktor hanya merelakan diri mereka bekerja di hospital kerajaan adalah kerana syarat wajib terbabit.

Sejurus memenuhi tempoh yang disyaratkan, mereka akan angkat kaki, untuk mendapatkan bayaran/gaji yang lebih besar yang ditawarkan sektor swasta.

Langkah mereka untuk mencari kehidupan yang lebih selesa ini bagaimanapun tidak sepenuhnya difahami masyarakat.

Di sebelah pihak, mereka (doktor yang angkat kaki) sering dipersalahkan oleh masyarakat kerana hanya mementingkan diri sendiri, melebihi tuntutan terhadap masyarakat dan negara.

Ini kerana untuk jangka panjang, negara akan rugi kerana sentiasa hilang modal insan dalam sektor kritikal seperti kesihatan ini.

Dari sudut mikro, kualiti perkhidmatan di hospital kerajaan kelak akan semakin dipersoal memandangkan ramai 'doktor pakar' iaitu mereka yang berpengalaman luas, telah angkat kaki ke sektor swasta atau persendirian.

Justeru, adakah jurusan kedoktoran kini telah semakin hilang nilai-nilai murninya, dan lebih mementingkan aspek material dan individualistik?

Rintihan

Namun, pernahkah kita cuba meluangkan sedikit masa untuk bersembang dan mendengar luahan hati dan perasaan seorang doktor?

Adakah mereka-mereka ini 'dengan sengaja' atau 'suka-suka' untuk meninggalkan tugasan mereka dengan hospital kerajaan?

Daripada perbualan saya dengan seorang rakan yang juga doktor tidak lama dahulu, beliau turut menghadapi dilema sebegini.

Katanya, kadang-kala kita perlu buat sesuatu yang masyarakat mungkin tidak suka. Tetapi kita terpaksa.

Kita juga ada tanggungan dan hutang (rumah, kereta, etc) yang perlu dibayar. Dengan gaji semasa, ianya tidak banyak membantu. Jika peluang itu ada (ke sektor swasta) dan ianya bukan dianggap salah dari segi undang-undang, mengapa tidak mencuba?

Sebagaimana ramai lagi kakitangan awam, kami juga perlukan pembelaan dalam usaha kami memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Tambah baik suasana kerja

Tidaklah saya tahu akan situasi kerja para doktor kerajaan. Namun, daripada sembang dengan rakan-rakan di sini (UK), saya dapat tahu seba-sedikit cara kerja para doktor di sini.

Bagi mengekalkan fokus terhadap masalah pesakit, setiap doktor hanya dibenarkan untuk memberikan konsultansi kepada pesakit dalam jumlah tertentu. Contohnya 60 orang seminggu (atau 10 orang sehari).

Dengan cara ini, para doktor tidak perlu terkejar-kejar dan akhirnya mereka mengalami masalah 'mental fatigue' - keletihan minda, hingga boleh memberikan rawatan/ubat yang salah kepada pesakit.

Justeru, selain bercadang untuk memanjangkan lagi tempoh perkhidmatan doktor muda dengan hospital kerajaan, kerajaan sendiri perlu melihat semula pelbagai tuntutan doktor agar mutu perkhidmatan dapat ditambahbaik, dan doktor sendiri merasa seronok untuk kekal di sektor awam.

Ayam @ telur?

Kini ada dua perkara perlu dipertimbangkan.

Mendahulukan khidmat kepada negara dengan kekal di sektor awam, atau mencari pendapatan lebih lebat di sektor swasta.

Adakah faktor materialistik (gaji) menjadi faktor utama untuk meninggalkan hospital kerajaan, atau kepuasan kerja yang dicari?

Persoalan-persoalan ini saya rasa akan terus diperdebat dan diperbincang selagi tiada makenisma yang berkesan dapat dibentuk dan dipersetujui kementerian dan para doktor terlibat.

Apapun permintaan terhadap bidang perubatan sentiasa tinggi. Janganlah disebabkan hal-hal dan 'hajat' Murugiah ini akan membantutkan minat adik-beradik kita dan anak-anak kita untuk bangga menyatakan cita-cita mereka:

"Saya nak jadi doktor bila saya besar nanti!"

Sekian.

No comments:

Post a Comment