Tuesday, 15 December 2009

PERMATApintar @ PERMATAelit?

Sekadar memberikan pandangan sebagai 'lay-man' @ orang kebanyakan.

Konsep yang menarik

Perlu saya akui bahawa komitmen kerajaan bagi menyediakan sistem dan persekitaran bagi pendidikan awal kanak-kanak (pendidikan di awal usia) yang terbaik, memang satu langkah yang terpuji dan wajar disokong.

Justeru, ke arah memantapkan lagi sistem pendidikan dan pengajaran awal, program PermataPintar (PP) telah dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri 1Malaysia iaitu D.S. Rosmah Mansur di kampus UKM baru-baru ini.

Turut dikhabarkan juga, peruntukan sebanyak RM100 juta bakal disalurkan untuk menggerakkan program PermataPintar pada kapasiti penuh.

Turut menumpang tuah adalah kampus UKM yang mana akan dibina kompleks yang menempatkan pusat PermataPintar ini.

Program 'anak emas'

Kepada sesiapa yang membaca artikel dan laporan tentang program PP ini akan melihat ianya merupakan 'brain-child' atau program yang dicetuskan oleh isteri PM, yang seterusnya diperkenal dan dipopularkan secara agresif kebelakangan ini.

Seingat saya, dahulu program dan kajian Permata ini dijalankan di UPSI (yang fokus kepada bidang pendidikan dan perguruan). Kini, bagi peringkat seterusnya telah dikembangkan ke UKM.

Jika kita lihat jauh sedikit lagi, kita akan melihat bahawa program ini akan menjadi 'selling-point' dan sumbangan isteri PM. Sebelum ini, batik. Diperkenal dan dipopularkan sehingga ianya dipakai setiap Khamis hujung bulan oleh penjawat awam. Siapa yang 'menjual' idea ini? Arwah isteri pertama Tun Pak Lah.

Kontroversi PP

Disebalik sokongan dan dokongan pelbagai pihak terhadap program PP ini, muncul suara dari luar arus perdana (Pakatan) yang mahukan penjelasan mengenai keperluan disalurkan wang peruntukan sebegitu besar bagi menggerakkan PP, sedangkan sebelum ini telah diadakan program 'Sekolah Kluster' dengan tujuan dan maksud yang hampir sama?

Juga ditimbulkan kesan dan keupayaan program PP ini untuk mengambilkira mereka yang miskin, dan dari kawasan luar bandar.

Daripada apa yang cuba ditonjolkan media massa, pelancaran, perancangan kompleks, modus operandi PermataPintar ini dilihat dari kacamata orang biasa lebih menjurus kepada Permata Elit (PE). Atau dalam bahasa mudah, program itu ditonjolkan secara ekslusif dan elit sekali, berbeda dengan semangat menyediakan perkhidmatan pendidikan secara yang menyeluruh.

Dengan siapnya kompleks berjuta ringgit di kampus UKM kelak, murid pintar ini akan 'diasingkan' dari mengikuti suasana pembelajaran normal bersama rakan normal di sekolah. Dan dikumpulkan dikalangan yang terbaik, di antara yang terbaik.

Bukankah baik jika program PP@PE ini terus dimasukkan sebagai sebahagian rangka silabus dalam struktur Sekolah Kluster yang telah dikenalpasti dan ianya terus boleh dilaksanakan.

Dengan cara itu juga, pihak yang berkaitan dapat terus menjalankan penilaian dan kajian perbandingan kesan langsung di sekolah-sekolah terlibat. Contoh kajian adalah seperti adakah wujud peningkatan pencapaian murid yang mengikuti silabus PP berbanding murid biasa dalam persekitaran yang sama? etc.

Juga tidak membazir jika digunakan dana RM100 juta itu dengan menjadikan Sekolah-Sekolah Kluster (baik di bandar, mahupun di luar bandar) ini sebagai 'pilot projects' program PP ini. Barangkali dengan prasarana yang telah sedia ada (tidak perlu bina yang baru), ianya tidaklah menelan belanja sehingga RM100 juta.

Dari segi pengurusan pula, tidaklah saya tahu secara terperinci agensi yang bertanggungjawab memantau perlaksanaan dan penilaian program PP ini. Barangkali juga telah dijelaskan hal ini, cuma saya yang terlepas pandang. Apapun, diharapkan janganlah apabila timbul sebarang kecacatan dan kelemahan, masing-masing pihak saling menuding jari.

Ini kerana telah banyak kes, setelah timbul sesuatu isu, masing-masing menuding jadi dan yang ruginya, anak-anak ini juga.

Sudah masuk gear

Untuk berundur sudah terlambat kerana persediaan dan kelengkapan telah siap (dan bakal siap). Saya cuma berharap agar di akhirnya program yang murni seumpama ini akan dapat menonjolkan ciri-ciri kesederhanaan dan bukannya menonjolkan imej elitis dan keterasingan/darjat keistimewaan dengan murid-murid lain yang mungkin pada peringkat awal perkembangan minda mereka, tidak begitu pintar.

Ini kerana ramai juga insan yang lambat berkembang mampu menjadi lebih pintar dan berjaya membawa inovasi ke dalam kehidupan berjuta manusia yang awalnya lebih pintar.

Dan lebih penting bagaimana program yang 'canggih' sebegini dapat menyelamatkan bakat-bakat pintar dari keluarga miskin dan mereka dari kawasan luar bandar dalam negara 1Malaysia ini. Sekian.

No comments:

Post a Comment