Tuesday, 3 November 2009

Perancangan Kampus Mapan: Idea awal

Minggu lepas sewaktu menemani John di UTMJB, beliau ada berbincang dengan saya, rentetan pertemuannya dengan Dato' NC UTM, yang inginkan pandangan beliau - "bagaimana untuk merancang ke arah persekitaran kampus yang mapan" (planning for sustainable campus).

John nampaknya tertarik dengan aspirasi NC yang berfikiran jauh dan terkehadapan dalam hal sebegini.

Namun, tidak kurang juga John melihat 'banyak bakal-bakal' cabaran yang perlu didepani pelbagai lapisan warga kampus jika UTM bersungguh untuk bergerak ke arah persekitaran kampus yang mapan di masa hadapan.

1) Cabaran persekitaran fizikal

Tidak dinafikan kampus UTMJB begitu luas, dan kawasan-kawasan Desa Siswa didirikan agak jauh dan berselerak dari zon pentadbiran (centre area) dan fakulti-fakulti.

Kesannya, pelajar memerlukan suatu mod pengangkutan yang 'terbaik' buat mereka berulang-alik dengan bebas dari Desa Siswa ke fakulti.

Makanya, dengan membayar RM2, para pelajar akan memperoleh satu pelekat kenderaan untuk 'mengesahkan' penggunaan kenderaan (motosikal atau kereta) di dalam kawasan kampus.

Bilangan kenderaan dalam kampus saban tahun makin bertambah, hinggakan setiap TLK (tempat letak kenderaan) yang disediakan, masih tidak mencukupi bagi menampung jumlah kenderaan yang masuk ke kampus ini.

Akhirnya, kampus sesak dengan kenderaan, jalan raya sudah tidak selamat buat pejalan kaki dan penunggang basikal. Malah, selain kawasan kilang, kampus UTM sendiri kini menjadi menyumbang utama pencemaran udara di sekitar Skudai!

Malah, jika diperhatikan keadaan topografi kampus sendiri begitu berbukit sehingga menyukarkan pembinaan laluan berbumbung yang menyeluruh. Malah, banyak kawasan dan fakulti terputus laluan pejalan kaki (fakulti kejuruteraan kimia dan gas asli, kejuruteraan elektrik, pusat sukan, etc) yang mengurangkan minat warga kampus untuk berjalan kaki.

Selain itu, faktor cuaca juga tidak dapat tidak perlu diambilkira. Ini kerana apabila hujan, bukan sahaja 'air hujan' yang perlu kita berhati-hati, malah kilauan 'petir' juga perlu diawasi.

2) Cabaran perubahan minda dan sikap

Aspek ini sebenarnya yang wajar diubah jika mahu memastikan prinsip kemapanan dapat diaplikasikan di dalam idea perancangan kampus yang mapan.

Kata orang, jika sedari awal lagi telah diwujudkan 'mental-block', maka berbuih mulut berceramah pun tidak akan mampu menyelesaikan sebarang permasalahan.

Contoh, apabila ditanya staf dan pelajar, akan sebab mereka gemar berkenderaan ke fakulti (berbanding menggunakan perkhidmatan bas awam yang disediakan), antara jawapan mereka:

- inginkan waktu yang lebih fleksible (naik bas kena ikut jadual) dan kurang menunggu.
- tidak suka berebut.
- kena buat banyak kerja di lapangan (luar kampus).
- ingin keluar malam (atau ada keperluan kerja hingga waktu malam).
- tiada perkhidmatan bas ke bandar (Skudai dan JB).
- mampu untuk berkenderaan (wang PTPTN ada) dan menjimatkan (masa).
- kelemahan kemudahan bas (sering penuh - terlewat tiba di kuliah, bas tidak selesa, hari hujan selalu basah kerana pondok bas kecil, etc.).
- laluan berbumbung tidak menghubungkan kuliah dengan Desa Siswa.
- tidak mahu berpenat semata-mata ingin ke kafeteria (tempat makan).

Idea ke arah kampus mapan

"Tidak kenal, maka tidak cinta".

Namun, bagaimana untuk ada rasa cinta jika awal-awal lagi perhubungan itu meletakkan perbezaan (pendapat) di depan, sedangkan sepatutnya meletakkan persamaan (dan keterbukaan) sebagai permulaan mencari titik tolak.

Makanya, carilah potensi dahulu. Dari potensi itu barulah difikirkan bagaimana untuk mengembangkannya demi kebaikan. Kemudian masukkan cabaran dan lihatlah bagaimana ianya wajar diatasi sejajar dengan pelan pembangunan potensi yang sebelumnya.

John gemar mencari dan melihat potensi kampus semasa. Menurutnya, potensi besar yang akan mendorong ke arah perubahan sikap yang positif bagi idea kampus mapan adalah:

"kesemua pelajar UTMJB kini menetap di semua Desa Siswa di dalam kawasan kampus".

1) Jadikan perkhidmatan bas lebih menarik

Justeru, perkhidmatan bas dalam kampus wajar dinaiktaraf supaya lebih menarik dan beroperasi secara lebih berkesan (mengikut jadual dengan kekerapan lebih tinggi).

UTM juga untuk jangka panjang tidak boleh bergantung kepada 'bas sewa'. UTM harus melabur dengan membuka GLC/anak syarikat milik UTM yang berperanan menyediakan bas UTM sendiri dalam kampus.

Inilah yang dibuat di Oxford Brookes University, tempat John berkhidmat.

Oxford Brookes University Bus - lengkap dengan WIFI
(boleh dibayar secara kad/pas semester, bulanan, mingguan atau tunai untuk setiap trip)

Dengan cara itu, bukan sahaja universiti dalam menjimatkan banyak wang untuk membayar sewa kepada syarikat luar (kroni) dalam jangka panjang, malah boleh menjadi permulaan untuk UTM melebarkan sayap pelaburannya sendiri.

Dengan wang yang dijana bas milik sendiri, UTM, dalam jangka panjang boleh melabur bagi menaiktaraf dan membaikpulih segala kemudahan awam di dalam kampus.

Malah, bas UTM juga boleh didaftarkan untuk perjalanan dari UTM ke bandaraya JB, dan turut mengambil penumpang orang awam bermula dari Skudai-JB.

2) Memperkenalkan pendekatan 'Park n Ride'

Dulu, ramai orang ketawa apabila mendengar idea Park n Ride ini. Alasan mereka adalah sama sebagaimana alasan yang saya berikan di atas (mengapa anda guna kenderaan dalam kampus?)

Namun hari ini di Lembah Klang, banyak TLK di stesen-stesen LRT (komuter) hampir tiada ruang kosong kerana begitu ramai orang yang bekerja di pusat bandar Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan Park n Ride ini.

Setelah agak lama tinggal di luar (terutama di Oxford), saya mendapati jika bandar Oxford yang luasnya berganda lebih besar dari kampus UTMJB ini berjaya mengaplikasikan perlaksanaan sistem P&R, saya tidak nampak mengapa kampus UTMJB tidak mampu untuk menerapkan idea seumpama ini ke dalam perancangan kampus mapan.

Berbanding Oxford yang penduduknya tinggal berselerak, semua pelajar UTM tinggal DI DALAM KAMPUS, di Desa-Desa Siswa yang ada.

Justeru, 3-4 Desa Siswa perlu berkongsi satu kawasan TLK yang dilengkapi 1 pusat transit (transit-point) perkhidmatan bas ke zon utama (pentadbiran dan fakulti).

3) Perkenalkan sistem perundangan baru dalam yuran pelajar & staf

Apa yang boleh dilakukan adalah dengan memperkenalkan sistem caj membawa kenderaan peribadi dalam kadar (%) tertentu di dalam slip yuran pelajar, atau slip gaji staf universiti.

Dalam bahasa mudah, setiap staf yang mendapat pelekat kenderaan secara automatik masuk dalam sistem rekod di mana setiap bulan %tertentu akan dipotong dari gaji mereka untuk sumbangan tidak menyokong polisi kampus mapan (bawa kereta sendiri) dan sebagai sumbangan (pollution-pays) - bayar sebab cemarkan alam.

Bagi pelajar pula, %potongan adalah lebih rendah, tetapi menurut prosedur yang sama - masukkan dalam slip pembayaran yuran sekali dalam 1 semester.

Kadar potongan juga boleh berbeza di antara pengguna (pemegang pelekat) kereta atau motor - kadar ditentukan pihak universiti sendiri.

Semua ini tidak mustahil jika istilah 'kepimpinan melalui teladan' dapat ditunjukkan, bermula dengan Dato' NC sendiri.

4) Kupon untuk pengguna basikal

Apabila 'menyusahkan' penggunaan kenderaan persendirian, universiti hendaklah 'menyenangkan' pengguna perkhidmatan awam, penunggang basikal dan pejalan kaki.

Pengenalan sistem kupon - untuk mendapat diskaun membeli basikal, diskaun membaiki basikal, loker khas untuk menyimpan basikal di fakulti, pas untuk berbasikal di zon pentadbiran, etc., akan menggalakkan lagi minat staf dan pelajar untuk berbasikal.

Dengan insentif ini juga (P&R dari Desa Siswa dan berbasikal di fakuti), alasan cuaca tidak lagi menjadi halangan yang besar (kerana tidak berbasikal jauh, dan tidak perlu berbasikal untuk pulang ke Desa Siswa).

Hanya mencadang

Apa yang ditulis panjang lebar itu hanyalah pengembangan idea hasil sembang-sembang dengan John.

Mungkin ada yang logik, mungkin ada yang 'belum masanya' lagi untuk dilaksanakan.

Apapun, kepala ini harus terus berputar dan berfikir serta menampilkan idea-idea yang harapnya dapat direalisasikan bagi menjayakan perancangan kampus UTM yang mapan di masa hadapan.

Sekian.

6 comments:

  1. cik hisyam, tak lupa
    abang bas yang suka merungut dan kadang2 pelajar yg jadi mangsa tekanan dia membawa bas :)

    oh yeh,jgn lupa kemudahan utk OKU juga.longkang utm skudai dalam2 gitu

    ReplyDelete
  2. besh2 tajuk post en. syam....

    ReplyDelete
  3. hello... hapi blogging... have a nice day! just visiting here....

    ReplyDelete
  4. wa.. panjang nye cerita , but nice to read. hehehe

    ReplyDelete
  5. salam,

    tulisan saudara mengingatkan kembali nostalgia menuntut di utm (1994-2001). sudah lama tak ke jb dan melawat-lawat utm. rindu pulak dengan 'kampung pelajar meranti'.

    aukauk88.

    ReplyDelete
  6. Terima kasih buat semua yang membaca dan memberikan komen berkenaan artikel ini. Mudah-mudahan anda beroleh manfaat serba-sedikit dan membantu di dalam menyemarakkan idea dan kefahaman mengenai perkembangan di sekitaran kampus/ex-kampus anda.

    Terima kasih sekali lagi.

    ReplyDelete