Sunday, 1 November 2009

Bersih Sawang

Alhamdulillah, telah 10 hari saya berada di tanah air. Bermula dengan kesemua kami diserang demam dan batuk, kini keadaan bertambah baik.

Selama 10 hari jugalah blog ini penuh sawang, yang kena jugalah dicuri sedikit masa untuk membersihkannya.

Urusan bersama John juga telah selesai, dan setakat yang termampu, rasanya dia seronok mempelajari pelbagai benda baru mengenai Malaysia, susur galur rakyatnya, adat dan budaya serta persekitaran negara yang berbilang kaum ini.

Mentaliti

Mungkin perkara ini tidak begitu signifikan bagi kebanyakan orang, namun kepada saya secara peribadinya amat penting. Mentaliti.

1) Mentaliti yang ditunjukkan melalui cara pemanduan kenderaan.

Bukan saya saja yang kecut perut, malah John juga. Hampir sahaja kereta yang dipandu pemandu UTM tidak menyondol 'bontot' kereta sewaktu dalam perjalanan ke UTMKL tempoh hari.

Mana tidaknya, pemandu 'kami' itu memecut hingga 150km/j di atas jalan 110km/j, dalam keadaan terhangguk-hangguk (John kata dia kira berapa kali pemandu tu terhangguk kepalanya - mengantuk).

Lepas yang itu, saya turut memandu sendiri di jalan-jalan sekitar Subang dan Kuala Lumpur dan memang menakutkan budaya pemanduan rakyat Malaysia.

Tiada tolak-ansur, semua tidak sabar, berebut memotong barisan semata-mata mahu menjimatkan 5 saat daripada orang lain. Kalau 1-2 kereta sekali mencelah masuk barisan itu tidak mengapa, tetapi ini maunya 4-5 buah kereta 'menyelit' secara mengejut di depan tanpa beri lampu.

Melayu, India sama sahaja. Cina lebih lagilah. Macam tidak pernah masuk kelas belajar memandu. Hantu betul. Bila kita bagi jalan, tiada yang nak angkat tangan, malah yang di belakang pula hon kita sebab kita bagi jalan pada orang lain.

2) Mentaliti menjaga kebersihan.

Ini satu lagi parkara yang mendukacitakan saya. Tengok bangunan cantik, moden, tapi lalu di kaki-kaki lima dan lihat dalam longkang, berlonggok sampah-sarap. Di dalam universiti pun sama.

Tandas? Sinki? Sedih aku pedih.

Banyak lagi perkara berkait dengan mentaiti, atau 'mind-set' orang Malaysia kita yang saya rasa begitu suar diubah. Saya tidak begitu nampak bagaimana kita ingin bergerak ke arah negara maju menjelang 2020 jika majoriti kita masih berfikiran sebegini.

Bukan semuanya teruk, ada ramai juga yang baik. Penyantun dan pembersih.

Sebaiknya, semua didikan untuk memperbetulkan mentaliti dan gaya hidup ini perlu ditekankan di rumah (keluarga) dan di sekolah juga janganlah terlalu menekankan aspek akademik semata, dengan kurang menekankan aspek pembinaan sahsiah dan mentaliti yang positif.

Apapun, mahu tidak mahu saya perlu segera menyesuaikan diri dengan "keadaan ini" sepanjang berada di sini. Doa saya biarlah kami selamat sewaktu di jalan raya dan moganya perangai yang baik dapat terus dikekal dan diamalkan.

Perkara baik

Bersama keluarga adalah perkara yang baik dan mengembirakan hati.

Nak makan senang.

Pertama kali mendengar laungan azan secara bebas - nikmatnya.

It's good to be home!.... Again!

No comments:

Post a Comment