Thursday, 10 September 2009

Terkenang daku: Berpuasa di kampung

Suatu hari dalam minggu lalu (Isnin jika tidak silap) saya menelefon Ibu di kampung, bertanya khabar dan memeriksa jikalau ada di kalangan adik-beradik yang pulang berbuka puasa di rumah.

Petang ini memang meriah kata Ibu kerana Anuar pulang bersama-sama 7 orang kawan-kawannya dari UMT (mamat sekali) untuk berbuka puasa.

Memang murah rezeki dia sebab lepas tamat belajar, terus mendapat kerja di situ. Dekat dan mudahlah juga dia berulang-alik menjengah khabar orang tua di kampung.

Masjid pula mengadakan majlis berbuka puasa pada hari sebelumnya. Menurut Ibu, sebagaimana beberapa tahun kebelakangan ini, majlis berbuka puasa tahun ini juga tidak lagi melibatkan gotong-royong sembelih lembu atau pakat-pakat memasak di masjid, setiap rumah diminta memasak juadah sedikit sorang dan membawanya ke masjid.

Tambah Ibu lagi, puasa tahun ini nampaknya semakin 'tenat' di mana yang hadir berbuka hanyalah golongan tua yang 'tua' dan golongan kanak-kanak, sebaya adik saya yang baru lepas UPSR tempoh hari.

Kebanyakan golongan belia a.k.a orang muda pula tidak hadir kerana tidak berpuasa. Saya bagaimanapun tidak langsung terperanjat.

Manakan tidak, kedai yang telah dua kali diserbu Jabatan Agama Islam di hadapan kilang papan Asrama Raya itu, masih membuka pintu seluas-luasnya dan berniaga macam biasa seperti 'tiada neraka' (tiada rasa bersalah menggalakkan orang untuk tidak berpuasa).

Pelanggan-pelanggan yang terdiri daripada orang muda pada bulan ini pula nampaknya langsung tidak berkira untuk 'menyedekahkan' RM5.00 bagi sepinggan nasi dengan hanya berlaukkan ayam (zakat fitrah jangan lupa bayar pulak nanti).

Memang gila.

Rasanya, telah berlaku perubahan yang berlaku dalam susur galur sosial masyarakat di kampung. Mungkinkah sebab 'Islam hadhari, Terengganu Bestari'?

Teringat saya sewaktu pulang bercuti semester beberapa tahun yang sudah. Waktu itu belajar di UTM Johor.

Waktu itu, majlis berbuka puasa begitu meriah (solat tarawih pun OK juga). Kami adik-beradik datang awal membawa makanan dan membantu orang-orang tua menyusun meja, mengatur lauk-pauk, buah kurma dan mengisi air ke dalam gelas.

Mungkinkah ada adik-adik masih teringat 'kisah Pak De Nik'??? Hahaha..

Berbuka puasa beramai-ramai adalah acara yang begitu ditunggu-tunggu kerana itulah tanda 'kemeriahan' pada amalan berpuasa itu (ibadah itu perbincangan yang lain).

Bukan apa, rasa seronok berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama.

Kena hambat

Semasa kecil, kami adik-beradik memang gemar memancing pada bulan puasa (Saya ada 9 adik-beradik).

Ini kerana jika hanya terbaring macam orang sakit di rumah, tidak juga mengurangkan rasa lapar dan penat.

Makanya, sementara menunggu waktu berbuka yang masih panjang, kami mengisinya dengan meredah 'baruh', tali air dan paya di belakang rumah untuk memancing.

Bukanlah beriya-iya memancing untuk mendapat ikan dibuat lauk 10 orang makan, cuma itulah hobi yang berkesan untuk menghilangkan rasa lapar dan mengalihkan perhatian daripada memikirkan masa yang masih panjang untuk berbuka.

Pernah sekali kami dihambat beberapa pemuda sewaktu dalam perjalanan untuk memancing. Rupa-rupanya 'port' kami memancing itu turut dijadikan 'port' budak-budak muda yang tidak berpuasa melantak, haram betul.

Mencicitlah kami adik-beradik lari petang itu (sudahlah penat berpuasa, kena berlari free pula).

Tapi itu zaman saya kecil-kecil dahulu.

Zaman dah canggih

Zaman hari ini sudah banyak bezanya. Adik-adik yang peringkat bawah ini banyak duduk di rumah, main sekitar rumah dan juga main PS2.

Mungkin kerana 'abang-abang dia' semuanya telah lari meninggalkan kampung dan tidak sempat menurunkan ilmu-ilmu 'outdoor' pada mereka.

Zaman sekarang dah senang (biarpun tidaklah hidup mewah), namun sekurang-kurangnya apa yang mereka minta, boleh dapat.

Tapi yang kurangnya, bila dah hidup senang kuranglah 'advanture'nya.

Zaman ayah-ayah kita mungkin lebih susah dan mencabar lagi. Makanya, mereka lebih 'banyak makan garam' dan pintar dari kita (Ramai professor dahulunya anak kampung dan ramai juga yang bijak sebab 'makan budu' - ini kata guru saya sendiri).

Yang hidup di bandar-bandar pula, entah apalah 'advanture' mereka.

Rindu

Bukan sahaja tahun lepas, malah tahun ini saya masih terkenang kisah berpuasa di kampung.

Namun, saya hanya mampu untuk mengenang dan mengimbau kembali nostalgia yang lalu. Zaman itu, walaubagaimanapun, telah lama berlalu pergi meninggalkan saya dan adik-adik.

Saya tidak menyesal biarpun merasa suatu kehilangan yang besar di sebalik peristiwa ini. Saya bersyukur dan beruntung kerana diberi peluang untuk melaluinya.

Terfikir pula setelah ada anak ini, entah bagaimana pula pengalaman mereka berpuasa kelak?

No comments:

Post a Comment