Sunday, 13 September 2009

Pemilihan MIC: Syabas Samy Vellu

Menyokong sudah, mengundi pun sudah.

Dengan selesainya proses pemilihan dalaman parti MIC, sebagaimana dikupas dan dilaporkan oleh kebanyakan media arus perdana, nampaknya pengaruh Presiden parti D.S Samy Vellu masih begitu utuh dan mantap.

Foto hiasan

Masih belum terlambat untuk saya ucapkan syabas buat Samy kerana di sebalik pelbagai serangan baik dari dalam parti, mahupun dari luar parti, calon-calon (sebahagian besar) yang disokong dan dikempen beliau telah mencapai kemenangan yang selesa di dalam pemilihan tersebut.

Dengan keputusan (yang diatur) ini juga, selesalah tidur malam bagi Samy sehingga tahun 2013, di mana dikhabarkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai peneraju MIC pada pemilihan tahun tersebut (katanya-lah).

Saya tidak ingin memasukkan link dan berita berbentuk kecaman terhadap Samy sebagaimana dilaporkan akhbar seperti Utusan Malaysia dan blog-blog secara khusus. Cukuplah sekadar membuat rumusan daripada berita yang saya baca serba sedikit itu.

Daripada apa yang saya faham, Samy telah 'dituduh' atau dilabelkan sebagai:

1) Salah satu faktor penyebab merosotnya undi kaum India kepada BN-MIC di dalam PRU yang lalu oleh pelbagai penganalisa (termasuk mantan PM, Tun M). Ini kerana kedudukan Samy di kerusi Presiden yang terlalu lama menyebabkan MIC kurang terdedah dengan idea baru yang lebih segar dan lebih responsif kepada pendekatan berpolitik 'baru' yang sedang muncul dan berkembang.

2) Penyebab kepada terbatasnya penonjolan para pemimpin muda/segar/baru di dalam barisan kepimpinan tertinggi parti. Malah, tindakan Samy yang sentiasa mengekalkan keputusan sebagai Presiden dilihat seperti ingin menyekat peluang bakat baru untuk mendaki tangga kekuasaan.

3) Seorang pemimpin yang 'tidak demokratik' kerana mewujudkan pendekatan 'calon pilihan' dan menyokong pula 'calon pilihan-nya' itu secara terang-terangan. Ianya dilihat sebagai tidak (yakin untuk) menyerahkan kepada pertimbangan dan kebijaksanaan perwakilan untuk memilih pemimpin yang mereka (perwakilan) rasakan yang terbaik.

4) Turut dipersalah kerana memecahbelahkan orang India yang sehingga kini menganggotai lebih 10 buah parti siasah. Tindakan ini dilihat membawa kesan buruk dari dua segi iaitu pertama, melemahkan lagi sokongan kaum India kepada MIC dan kedua, 'mengecilkan' lagi suara kaum India di dalam menyampaikan aspirasi dan suara hati dengan lebih berkesan kepada kerajaan.

Setakat itu yang dapat saya ingat.

Foto hiasan

Biarpun demikian, setiap tuduhan mahupun label yang diberikan kepadanya, Samy sebagaimana biasa (ahli politik yang otai), mempunyai jawapan untuk setiap satunya.

1) Jika beliau yang dipersalahkan di atas kemerosotan undi orang India kepada MIC, siapa pula pemimpin yang perlu dituduh bertanggungjawab untuk kemerosotan sokongan kepada rakan MCA dan UMNO? Siapa pemimpin UMNO dan MCA itu?

2) Samy berpandangan, pengunduran beliau di kala ini tidak akan menguatkan MIC, sebaliknya hanya akan melemahkan lagi parti. Oleh kerana itu, peranan dan kehadiran beliau memimpin parti untuk menjadi lebih kuat dan kembali diterima masyarakat India adalah lebih mendesak berbanding desakan untuknya mengundurkan diri.

3) Calon pilihan, mungkin juga orang yang boleh bekerjasama baik dengan Presiden untuk melicinkan urusan pemerkasaan semula parti. Pengalaman rakan dalam MCA (hubungan dingin Presiden dan 'bekas' TP) jelas menunjukkan bukan setiap masa pilihan oleh perwakilan boleh membawa kebaikan kepada parti. Pemimpin yang tidak dapat bekerja sebagai 1pasukan hanya menjadi liabiliti dan bukannya aset di dalam parti.

4) Ini saya tidak jelas

Apapun komen, kritikan mahupun tohmahan yang dilemparkan kepada Samy, nampaknya, bukan sahaja gagal menggoyahkan pengaruh dan sokongan dalaman ahli kepadanya, malah telah memanjangkan lagi hayat karier politik beliau.

Di kala rakan lain dalam BN masih teraba-raba ingin mengadakan EGM atau tidak, (MCA) atau masih mempertimbangkan untuk menggubal perlembagaan bagi membenarkan lebih ruang untuk demokrasi dan membanteras rasuah (UMNO), MIC terus bergerak 'dalam acuan' presiden partinya (melalui orang pilihan-nya).

Namun, pembaharuan dan perjuangan MIC bukan sahaja untuk mengembalikan sokongan masyarakat India, namun lebih besar dari itu ialah bagaimana MIC dapat bangkit untuk menyaingi pengaruh besar dan keupayaan PR (terutama PKR dan Kelab Penyokong PAS) yang mula diterima oleh kaum India.

Serangan rakan seangkatan dalam BN mungkin bersifat sementara (akan sunyi selepas pemilihan selesai), tetapi parutnya tetap ada dan diingati di kalangan pemimpin MIC.

Biarpun masing-masing (UMNO, MCA, MIC) masih belum kebah dari demam (Pilihanraya kecil) dan masing-masing masih tercari-cari formula untuk 'meremajakan' semula halatuju parti, hanya masa yang akan menentukan 'siapa sebenarnya duri dalam daging' dalam BN.

No comments:

Post a Comment