Wednesday, 22 July 2009

Kehidupan berkomuniti

Seorang sahabat lama meminta saya menulis / mengulas berkenaan maksud komuniti dan kehidupan komuniti mapan, memandangkan ianya salah satu bidang yang saya sedang kaji dan dalami.

Untuk tidak menghampakan permintaan beliau, kali ini saya akan cuba menghuraikan serba sedikit mengenai kehidupan berkomuniti yang mapan dan mudah-mudahan ianya dapat memuaskan permintaan sahabat - mana yang saya termampu.

Apa itu komuniti & komuniti mapan?

Kamus Dewan mendefinisikan perkataan komuniti sebagai "sekumpulan orang yang tinggal di sesuatu daerah atau negara (atau tempat); kumpulan individu yang mempunyai sifat (kecenderungan, kepentingan dan lain-lain) yang serupa".

Apabila tinggal dan menjalankan pelbagai aktiviti secara bersama, sesuatu komuniti memerlukan suatu sistem yang berkesan dan jelas bagi memandu arah tindakan, prilaku, etika dan memastikan hak setiap ahli dalam komuniti mendapat ruang dan hak sewajarnya.

Manakala, pembangunan mapan pula dapat ditafsirkan sebagai "pembangunan yang menyediakan penambahbaikan terhadap kualiti kehidupan manusia, dan pada masa yang sama memelihara kehidupan dan kepelbagaian bumi.

Dengan menggabungkan kedua-dua maksud perkataan dan frasa tersebut, komuniti mapan dapat diertikan sebagai "komuniti yang mengamalkan aturan dan juga prinsip pembangunan mapan dalam kehidupan seharian mereka".

Dengan lain perkataan, komuniti mapan adalah "komuniti yang menerima pakai sistem, cara hidup dan prinsip pembangunan terbabit dan bertindak dalam lingkungan batas alam semulajadi".

Ciri-ciri komuniti mapan

Pepperdine menyenaraikan beberapa ciri penting bagi sebuah komuniti mapan:

1) Tidak menggunakan sumber tenaga dan baha mentah lebih pantas daripada yang mampu dihasilkan semula oleh sistem semulajadi.

2) Bukanlah komuniti yang jumud, kerana kemapanan bukan bererti tiada perubahan. Sebaliknya, kemapanan bermaksud mencari jalan untuk memperbaik komuniti dengan memperkukuh hubungan sosial di kalangan ahlinya, kerjasama ekonomi dan bersama memelihara sumber dan alam sekitar.

3) Komuniti mapan bukannya suatu utopia, yang bermaksud tiada suatu kesilapan yang berlaku. Kemapanan juga mempunyai kemungkinan untuk berhadapan dengan kegagalan dan masalah dalam kehidupan. Bezanya, setelah timbul masalah, komuniti ini mampu mencari penyelesaian dengan mengambil kira kesemua komponen dalam komuniti supaya penyelesaian bagi sesuatu masalah itu tidak mengakibatkan terciptanya masalah yang lain pula.

4) Komuniti mapan harus memegang matlamat untuk memenuhi keperluan asas sumber yang diperlukan secara berterusan pada masa hadapan.

5) Komuniti mapan perlu mewujudkan wawasan untuk masa depannya. Komuniti perlu melihat masa depannya untuk suatu jangka masa yang panjang. Wawasannya perlu mengambilkira pandangan semua pihak dalam komuniti dan secara bersama menentukan bagaimana wawasan tersebut dapat dicapai.

Mengapa perlu hidup berkomuniti?

Pertamanya, kehidupan berkomuniti merupakan fitrah (kehendak semulajadi) manusia - mungkin jarang diulas pengkaji dari Barat. Namun, hujah ini layak untuk diterima pakai dalam konteks Malaysia yang mana kita berpegang kepada ajaran Islam.

Fitrahnya, tidak kira di mana jua kita berada baik di dalam, mahupun di luar negara, kehidupan seharian kita sememangnya menuntut agar berlakunya interaksi dengan orang lain di sekeliling kita.

Tanpa interaksi, kita akan menjadi jumud (rigid) dan sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup secara berpanjangan di dalam lingkungan persekitaran hidup.

Jika sukar menggunakan contoh manusia, lihat saja bagaimana kehidupan sebuah koloni semut ataupun lebah. Bagaimana hidup secara berkomuniti dapat mewujudkan rasa selamat di kalangan anggota dalam komuniti, meningkatkan keberkesanan kerja dan hasil serta memupuk rasa kasih antara satu sama lain yang berpanjangan.

Kedua, di dalam mencapai komuniti mapan, sesebuah komuniti mengiktiraf akan kewujudan perbezaan pendapat dan menggalakkan percambahan idea di kalangan ahlinya untuk digunakan bagi memperkayakan lagi pemahaman dan tindakan di kalangan ahli dalam komunti.

Bagi komuniti yang tradisional, perbezaan pendapat kurang digalakkan kerana kebanyakan hal berkaitan pembuatan keputusan dan merencanakan wawasan komuniti diletakkan kepada para pimpinan yang dilantik.

Namun, bagi komuniti mapan, perbezaan pendapat masih boleh dikompromi pada tahap tertentu (dengan cara perbezaan pendapat disokong dengan hujah) bertujuan untuk membolehkan komuniti meneliti pelbagai kemungkinan yang sesuai bagi menyelesaikan satu-satu permasalahan.

Penutup

Pandangan saya secara pribadi, di dalam kehidupan berkomuniti, "kita tidak tahu bila tibanya hari kita susah atau senang".

Harapnya apabila tiba hari kita susah, ada orang akan bertanya khabar akan nasib kita, dan begitulah sebaliknya.

Jangan berkawan dengan niat untuk mengambil untung atau tidak berkawan kerana ingin mengelak rugi. Mungkin yang bercahaya itu kaca, dan yang hitam legam itu emas.

Teringat kata-kata sahabat "kawan biar beribu, berkasih biar ramai, beristeri biar satu (?)". Memang ada perlunya kita memilih kawan, kerana jika silap berkawan, dengan kita-kita sekali bakal berkongsi padahnya.

Ada atau tidak istilah "kawan terbaik?"

Kata orang putih, "I only choose the best person to be my friend".

But for me, "the best is not good enough!".

Wassalam.

Dr Sepet: kita kawan-kawanlah...

No comments:

Post a Comment