Thursday, 30 July 2009

Demam datang lagi

Ketentuan ilahi

Baru nak kebah demam PRK Manek Urai kini datang satu lagi demam yang baru. Kali ini di negeri Pulau Mutiara iaitu di DUN Permatang Pasir.

Al-Fatihah buah Allahyarham Hamdan Abd Rahman. Beliau dijemput pulang penciptaNya pada pagi Jumaat (masya-Allah) setelah seminggu bertarung dengan kesakitan di bahagian jantung, di IJN, Kuala Lumpur (sumber) dan (sumber).

Pihak SPR telah diumumkan berkenaan perkara ini dan keputusan untuk diadakan PRK dijangka dibuat sebelum 10 Ogos ini (sumber).

DUN Permatang Pasir adalah salah satu DUN yang terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh yang telah dimenangi Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim. DUN Permatang Pasir merupakan satu-satunya kerusi DUN milik PAS di Pulau Pinang yang dimenangi Allahyarham pada PRU-12 yang lalu.

Isyarat awal

UMNO Pulau Pinang melalui pengerusinya Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan kesediaan jentera parti untuk menggerakkan kerja-kerja kempen di Permatang Pasir pada bila-bila masa sahaja (sumber).

Beliau juga turut melahirkan keyakinan bahawa UMNO akan dapat memenangi PRK tersebut dengan syarat semua anggota partinya mempamerkan bekerja kuat.

Peluang

Namun, apa yang pasti siapa jua yang bakal bertanding kelak, memang perlu mempamerkan kerja kuat.

UMNO pastinya masih bermotivasi hasil kekalahan "tipis' mereka di Manek Urai baru-baru ini. Namun, pelbagai isu kontroversi melibatkan kerajaan persekutuan di peringkat nasional terutama yang melibatkan demonstrasi ISA (mansuh & sokong), kematian Teoh, penghijrahan bekas orang kuat BN ke dalam PKR dan sebagainya, dilihat terus membayangi peluang UMNO untuk menambah bilangan kerusinya di Pulau Pinang.

Begitu juga halnya dengan PAS, yang luka akibat kemenangan "tipis" mereka di Manek Urai terus menimbulkan tanda tanya dan persoalan kepada kebanyakan orang, baik di dalam mahupun yang memerhati dari jauh.

Apapun sentimen masyarakat di Pulau Pinang mungkin agak berbeza dengan Kelantan. Pada peringkat DUN, adalah lebih afdal isu-isu, permasalahan dan rintihan masyarakat setempat diberikan lebih tumpuan dan penekanan di dalam proses berkempen pihak-pihak yang bakal bertanding - local issues need local solutions.

Bagi calon PR/PAS, mereka boleh dikatakan berada "di dalam kasut yang selesa" kerana DUN Permatang Pasir terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh yang dinaungi Ketua Umum PKR sendiri.

Namun, strategi memancing undi yang digunapakai oleh UMNO pada PRK Manek Urai yang lalu nyata telah menghadirkan cabaran dan tamparan yang cukup perit buat PAS.

Apapun, kita tunggu perkembangan yang selanjutnya.

Dr. Sepet: Demam datang lagi...

Galakan penulisan ilmiah di blog

Setelah beberapa ketika aktif sebagai salah seorang "blogger" @ penulis blog, saya mendapati medium baru ini (blog) bukan sahaja menjadi wadah bagi seseorang itu belajar mengarang dan melaporkan sesuatu perkara atau peristiwa yang berkisar tentang kegiatan seharian, ataupun menceritakan sesuatu peristiwa, sambutan yang istimewa dan sebagainya yang dialami dan diketahui.

Malah, fungsi blog turut diperluaskan sebagai platform atau medan mencari kawan, meluaskan pergaulan, bertukar-tukar pandangan, ilmu, berkongsi perasaan, mencari pengaruh, mencari pasal dan sebagainya - medium komunikasi.

Tidak terkecuali ada yang menjadikan blog sebagai diari elektronik. Cuma bezanya diari mereka ini tidak rahsia, di mana segala kisah peribadi, yang sensitif atau juga yang mungkin kelak akan memalukan diri sendiri, atau mungkin juga membanggakan diri sendiri dapat dibaca sesiapa jua, dan di mana jua - boleh di "save as.." sesiapa jua, untuk tujuan yang tidak diketahui.

Terdapat juga "bloggers" yang mengkhususkan corak penulisan serta halatuju blog mereka kepada bicara dan wacana berkaitan politik dan gosip-gosip kepolitikan yang mungkin agak "berat" untuk dihadam khalayak yang umum.

Manakala, sesetengah yang lain lebih gemar menjadikan aktiviti penulisan di blog sebagai kaedah untuk "melarikan diri" daripada hal-hal yang berat dan memeningkan kepala dengan menulis hal-hal berbentuk santai, enjoy, malah hal-hal yang dirasakan sesuai dengan peringkat umur masing-masing di blog mereka.

Teknologi maklumat dan komputer serta penulisan blog yang mudah dan ringkas masa kini dilihat bukan sahaja telah dimanfaatkan oleh golongan remaja, malah pelbagai golongan baik profesional, bukan profesional, pemimpin politik - mantan PM, Tun M sendiri turut berkecimpung di bidang penulisan blog, menunjukkan begitu berpengaruhnya penggunaan blog bagi pelbagai tujuan sebagaimana telah saya nyatakan di atas.

Kepada saya, apapun motif kita terlibat dengan penulisan di blog, pertamanya, hendaklah diniatkan ia adalah untuk membawa kebaikan, manfaat dan pendidikan buat sesiapa jua yang terlintas membaca blog kita.

Justeru, di sini saya ingin berkempen kepada rakan "bloggers" sekalian agar bersamalah kita mempertingkatkan lagi kandungan penulisan ilmiah pada blog masing-masing.

Ilmiah di sini bukan bererti hanya menyentuh perihal sains dan teknologi, malah hal-hal kehidupan yang ringkas juga boleh diterjemah kepada artikel yang bermanfaat kepada orang lain. Begitu juga penulisan berbentuk pengajaran yang terhasil daripada pengalaman diri sendiri.

Jikalau tidak mampu atau malas untuk "memberatkan kepala" mencari bahan, menyusun idea dan menterjemahkannya kepada penulisan, sebagai langkah permulaan, cuba lakukan sekurang-kurangnya 1 posting ilmiah dalam 1 bulan.

Adalah besar hasrat saya untuk melihat para mahasiswa khususnya (golongan bijak-pandai, harapan negara), agar tidak hanya menjadikan blog sebagai laman bersembang kosong, bercerita kosong yang penuh riang-ria tetapi tiada pengisian bermakna, ataupun juga menjadikan blog sebagai tempat meluahkan rasa tension kepada pakwe-makwe, perampas kekasih orang, pensyarah, pak cik jaga dan sebagainya.

Asahlah bakat menulis bahan ilmiah (nanti kena buat disertasi juga bukan?) dengan menjadikan blog sendiri sebagai medan berkreativiti. Beranikan diri anda untuk menulis artikel yang bercorak hujahan (argumentative) dan percambahan idea.

Bagi bekas pelajar saya tidak kira di mana anda berada, di ketika ini pelbagai isu berkaitan pembangunan, alam sekitar, pencemaran alam, pengangkutan, sosio-budaya, kajian kesan, perbandaran, luar bandar, integrasi nasional, kelestarian dan sebagainya - boleh menjadi modal penulisan di blog anda.

Sekurang-kurangnya dengan menulis, ilmu anda akan terus berkembang dan tidak berkurang.

Kerana jika ilmu itu didengar mungkin anda akan lupa. Begitu juga jika hanya dibaca, mungkin juga akan terlupa.

Tetapi jika apa yang anda dengar, dan apa yang anda baca itu anda tulis dan kongsi, nescaya ilmu tersebut akan lebih diingat, difahami malah akan turut memberikan manfaat yang besar buat orang lain yang membacanya.

Selamat berkarya!

Wednesday, 29 July 2009

Hasil dasar liberalisasi

Untuk membaca lanjut berita ini, klik sini

Antara petikan menarik:

1) Firma pelaburan berpangkalan di Hong Kong, Wang Tak Co Ltd, kini muncul pemegang saham tunggal terbesar dalam syarikat strategik pembekalan beras negara, Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

2) Pada masa sama, penguasaan langsung pemegang saham keempat terbesar Bernas, Lembaga Tabung Haji, susut daripada 29.337 juta saham atau 6.24 peratus pada 22 April lalu kepada 28.726 juta saham atau 6.11 peratus ketika ini.

3) Bagaimanapun, ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, dipercayai masih menguasai pegangan majoriti Bernas, iaitu 36.81 peratus menerusi Budaya Generasi dan Serba Etika.

4) Difahamkan, kumpulan Wang Tak membeli saham Bernas di pasaran terbuka secara berperingkat sehingga pemilikannya dalam syarikat itu meningkat daripada antara empat dan lima peratus pada 2003 kepada melebihi 30 peratus sekarang.

5) Felo Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Muhammad Salleh Majid, pula berkata aktiviti jual beli saham Bernas wajar diberi perhatian, terutama berhubung urus niaga pemegang saham utamanya bagi mengelak syarikat strategik itu dikuasai pelabur asing.

6) Menurut bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur itu, jika mana-mana pemegang saham tunggal syarikat itu meningkatkan pegangan melebihi 33 peratus, maka ia boleh membuat tawaran am mandatori (MGO) untuk membeli keseluruhan pegangan dalam syarikat berkenaan.


Dr. Sepet: Kasihan tengok pegangan entiti orang Islam melalui Tabung Haji, terhadap syarikat yang mengurus jual-beli komoditi (makanan asasi) masyarakat Malaysia yang majoritinya diusahakan golongan pesawah Orang Melayu-Islam, yang kini berpotensi berpindah tangan kepada pelabur kaya dari Hong Kong.

Tuesday, 28 July 2009

Apakah maksudnya?

Tidak perlu saya ulas panjang, sekadar meluahkan rasa janggal dengan pernyataan oleh KP Kuala Lumpur mengenai kegiatan kumpulan kongsi gelap, dan kaedah pihak berkuasa menanganinya.

Daripada ayat yang saya warnakan kuning di bawah, adakah "harimau tanpa taring" a.k.a kongsi gelap yang kurang aktif - tidak dianggap berbahaya oleh pihak keselamatan kita?

Kegiatan yang menyalahi undang-undang memerlukan tindakan segera diambil sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Jangan biarkan pernyataan sebegini terus dikeluar dan dibaca oleh rakyat pelbagai lapisan masyarakat di negara kita. Jangan masyarakat menganggap pihak berkuasa "lembut hati" terhadap kumpulan-kumpulan gelap ini.

Keyakinan masyarakat kepada badan keselamatan perlu sentiasa di tahap yang terbaik, dan sebarang salah faham perlu diperbetulkan.

=====================

Sebahagian petikan berita dari Utusan online:

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman ketika diminta mengulas fenomena kongsi gelap di Kuala Lumpur memberitahu, jenayah itu masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan.

Katanya, kumpulan kongsi gelap di ibu negara tidak bergiat secara aktif dan pihaknya sentiasa memantau dan berjaga-jaga mengenai jenayah itu.

Tegas beliau, jika kumpulan berkenaan dilihat mengganggu dan menimbulkan kekacauan kepada keselamatan orang awam, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“Kita memang menyedari terdapat beberapa kumpulan kongsi gelap di sekitar Kuala Lumpur, tapi saya tidak boleh mengulas lanjut mengenainya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

=====================

Lawak 18SX: Bile dah kemaruk sangat!

Kisahnye:

Sepasang pengantin baru mengalami gangguan kesihatan. Setelah diperiksa dengan teliti, doktor memberitahu perkara itu disebabkan oleh "hubungan seks yang terlalu kerap".

"Untuk sementara waktu ini, anda berdua dinasihatkan supaya menghadkan kegiatan seks. Sebaiknya dua kali saja seminggu sahaja. Untuk memudahkan mengingat, saya sarankan untuk melakukan hubungan ini hanya pada hari yang bermula dengan huruf S, iaitu Selasa dan Sabtu," saran doktor.

Akan tetapi pada malam ketiga "berpuasa" dari membuat hubungan itu, si suami tidak dapat lagi menahan nafsunya lalu mencumbui isterinya yang sedang tidur sehingga isterinya terjaga.

"Hari ini hari apa bang?" tanya si isteri.

"Sumaat"

====== hahaha, pecah perut ketawa nih!...hahaha...

Sumber: sini

Sunday, 26 July 2009

Sambutan kelahiran: Adat vs Ibadat

Komen saya:

Agak lama tidak menjengah Al-BanjariOnline, dan artikel beliau ini rasanya layak saya kongsikan bersama para pembaca yang budiman.

Bukanlah niat saya (malah beliau juga saya rasa) untuk "kondem" adat yang telah diamalkan turun-temurun oleh kebanyakan orang Melayu kita, tetapi lebih kepada untuk mendidik dan membuka minda masyarakat bahawa ada ketikanya kita perlu bertegas membezakan di antara tuntutan Adat dengan Ibadat, tambahan pula jika perbuatan kita itu mempunyai implikasi terhadap Aqidah kita sebagai seorang Muslim.

Sebagai orang Melayu yang beragama Islam, satu perkara yang perlu sentiasa kita ingat dan pegang ialah "dalam Islam, tiada amalan yang boleh kita buat tanpa perlu kita tahu (i.e. apakah sebabnya ia dibuat)".

Ringkasnya, sesuatu perbuatan/amalan itu (tambahan pula yang ada kesan pada aqidah kita dan mereka yang turut-serta bersama kita), bolehlah dibuat setelah kita pasti bahawa ianya dibenarkan oleh agama dan hukum Syarak - berpandukan dalil Al-Quran dan Hadith sahih.

Janganlah kita mengambil Islam hanya sebahagian, dan meninggalkan sebahagian yang lain hanya kerana ianya tidak selaras dengan adat dan budaya yang kita orang Melayu telah amalkan sejak turun-menurun lagi.

Moga Allah tunjukkan kita jalan yang lurus, jalan orang-orang yang diberikan nikmat kebenaran, dan bukan jalan orang-orang yang dimurkai.

Sila baca artikel penuh di bawah:

======================

Sumber: sini - ada beberapa kesalahan ejaan yang saya betulkan.

Oleh : MRK albanjari
Betapa gembiranya bagi pasangan suami isteri dan anak saudara lain apabila mendapat kelahiran seorang cahaya mata kurniaan dan amanah Allah yang bakal menyerikan lagi kehidupan pasangan suami isteri. Menimang cahaya mata adalah suatu impian yang sangat di idamkan kerana itulah tanda pengikat kasih sayang dan cinta suci antara pasangan suami isteri.

Namun bagi kebanyakan orang melayu kita , mereka sangat teruja apabila mendapat cahaya mata tersebut lalu mereka akan mengadakan pelbagai majlis bagi meraikan kehadiran orang baru itu. Antara majlis yang sering dilakukan oleh pasangan suami isteri atau datuk bagi bayi tersebut dengan mengadakan majlis kesyukuran, potong jambul, majlis berzanji dan marhaban dan sebagainya.

Dalam kegairahan mereka menyambut dan mengadakan majlis-majlis tersebut rupanya mereka terlupa dan terleka sesuatu mengenai ajaran Islam tentang menyambut kelahiran bayi ini.

Kita dapati ramai dari kalangan ahli masyarakat kita sibuk dengan majlis kesyukuran yang dipenuhi dengan acara bacaan berzanji dan merhaban dan diikuti pula dengan majlis potong jambul dan berendui. Tidak dapat dipastikan dari mana sumber rujukan mereka mengadakan majlis yang sedemikian rupa.

Islam tidak mengajar kita untuk memenuhi majlis kesyukuran itu dengan bacaan marhaban dan berzanji semata-mata apatah lagi majlis potong jambul dan berendui, tetapi inilah sunnah orang Melayu yang sukar untuk diperbetulkan.

Islam mengajar kita apabila kita menyambut kelahiran orang baru dalam hidup kita ialah menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan setelah tujuh hari kelahiran tersebut maka kita disunatkan untuk menyembelih Aqiqah serta diikuti dengan memberi nama kepada bayi tersebut dengan nama yang baik-baik dan mentahnikkan bayi tersebut serta dicukur rambut bayi berkenaan.

Berbeza dengan amalan dan budaya orang melayu yang lebih mengutamakan majlis yang dinyatakan seperti di atas dengan menanggung perbelanjaan yang tidak kurang hebatnya tetapi mereka seakan menidakkan amalan menyembelih aqiqah, mencukur rambut, mentahnik dan memberi nama.

Nyata ia sangat berlawanan dengan ajaran dan kehendak islam. Kita amat hairan kenapa kita masih meneruskan majlis dan upacara tersebut dan merasakan bahawa bacaan marhaban dan berzanji itu lebih utama, memotong jambul itu lebih utama, berendui itu lebih utama.

Bila ditanya mengapa tidak di aqiqahkan sekali bayi ni? Pelbagai jawapan jahil yang diberikan. Ada yang menyatakan kosnya terlalu tinggi, saja nak buat majlis kesyukuran dulu, nak tunggu bayi ni besar dulu sebab nanti dia boleh tengok orang sembelihkan aqiqah dia dan pelbagai alasan yang diberikan.

Kos terlalu tinggi? Buat majlis kesyukuran biasa pun kadangkala mencecah RM 1000.00. Cuba kita kira kos yang dibelanjakan bila majlis tersebut dibuat dengan bunga telurnya, bunga rampainya, hadiah utuk tetamunya, makan dan minumnya dan jika kita mengikut kehendak Islam kita hanya membeli seekor kambing yang berharga sekitar RM 600.00, perkakasan memasak dan ia tidak sampai pun RM1000.00 jika kita pandai berhemat dalam perbelanjaan dan jika ia lebih sekalipun, tanggungjawab terhadap melaksanakan ibadah Sunat Mua'kad sudah selesai dan dimanakah ruginya?

Saya meyeru kepada seluruh warga muslim agar kita dapat memahami keutamaan dalam melaksanakan sesuatu ibadah dan jangan terlalu mengikut adat yang membelakangkan tuntuan sesuatu ibadat seperti yang dibahaskan di atas. Bukan maksud saya untuk menidakkan majlis-majlis yang biasa dibuat untuk bayi tersebut tetapi pada saya ia sangat merugikan apabila kita meninggalkan ibadah aqiqah yang dihukumkan sebagai Sunat Mua'kad ini. Wallahualam.

====================

Saturday, 25 July 2009

Pendapat: Dasar Teknologi Hijau Negara

Sewaktu Perdana Menteri yang baru mengumumkan rombakan kabinet dan penstrukturan beberapa kementerian, adalah besar keinginan saya untuk melihat adanya usaha serta tindakan berkesan supaya komitmen ke arah pencapaian agenda pembangunan mapan (sustainable development), diterjemah kepada tindakan yang bermakna.

Syukur, kerajaan mengumumkan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Air - distruktur semula menjadi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Perkataan HIJAU itu begitu bermakna kepada saya. Bermakna satu langkah besar lagi amat bermakna telah dibuat oleh kerajaan.

Dengan terbentuknya suatu kementerian yang fokusnya secara khusus bertujuan menerapkan agenda teknologi hijau, penyertaan Malaysia pada Persidangan Bumi di Rio (Brasil), 1992 nampaknya tidak lagi sia-sia.

Teknologi Hijau

Pada pandangan saya, teknologi hijau adalah teknologi yang dibentuk bagi menjamin segala aktiviti manusia untuk kesejahteraan manusia (alam binaan), tidak membawa kesan negatif dan ketidakseimbangan dengan biodiversiti (alam sekitar) dan sosio-budaya masyarakat.

Teknologi hijau adalah sebahagian daripada sub-sistem dalam pembangunan hijau/ pembangunan lestari/ pembangunan mapan/ pembangunan tak mampos (sustainable development).

Dalam suasana kehidupan yang begitu mencabar saat ini, "pembentukan-penerapan-penerusan" teknologi hijau/mapan menjadi aspek yang sangat kritikal bagi memastikan usaha membawa kesejahteraan kepada kehidupan manusia, tidak membuka pintu kemusnahan kepada alam sekitar dan nilai budaya masyarakat, atau tidak mengheret kepada terbentuknya permasalahan yang lain pula (jikapun tidak menyelsaikan permasalahan yang sedia ada).

Persoalannya, mampukah Malaysia sebagai sebuah negara membangun, memastikan teknologi hijau dapat benar-benar dibentuk dan digunakan bagi memastikan sumber dan tenaga digunakan sebaik mungkin? Atau ianya hanya sekadar satu lagi retorik yang "indah di mata, pedih di hati"?

Untuk lebih memahami situasi ini, kita sama-sama lihat daripada konteks yang lebih luas.

Pembangunan Mapan

Suruhanjaya Brundtland (sempena nama bekas PM Norway), di Persidangan Dunia bagi Alam Sekitar dan Pembangunan (UNCED) di Rio de Janeiro 1992 telah mencetuskan istilah "sustainable development" (pembangunan mapan).

Apa itu pembangunan mapan? Ringkasnya bermaksud pembangunan yang berkekalan (tidak mampos), pembangunan yang membawa kesejahteraan untuk generasi hari ini, tanpa mengambil hak generasi akan datang memperoleh kesejahteraan hidup yang sama.

Pembangunan mapan menekankan peri pentingnya sebarang tindakan dan aktiviti pembangunan dijalankan secara berseimbang di antara tuntutan ekonomi, sosial dan alam sekitar (kemudiannya elemen institusi dimasukkan sebagai elemen ke-4).

Semangat yang dibawa oleh idea pembangunan mapan ini begitu "mempersonakan" ramai pihak, terutama kalangan ahli politik, pemimpin dan penggubal dasar, untuk bersama-sama melahirkan komitmen ke arah merealisasikan penerapan idea ini kepada tindakan yang bermakna.

Bukan sahaja ahli politik dan penggubal/pembuat dasar yang terkena "panahan asmara" oleh pembagunan mapan ini, malah bidang-bidang yang sebelum ini "sunyi" daripada menerimapakai kepentingan mengambilkira hubungan 3 elemen ini, mula "terpana" dengan idea ini.

Maka, lahirlah bidang Senibina Hijau (Green Architecture), Pelancongan Hijau, Industri Hijau, Pengangkutan Hijau dan banyak lagi yang hijau-hijau kesemuanya.

Malah, sektor yang sebelum ini dilihat begitu kontradik (berlawanan) dengan kemapanan seperti perbandaran (urbanisation), juga turut "menumpang sekaki" dengan pengenalan idea bandar mapan (sustainable city).

Persoalan yang begitu besar, yang belum dapat dijawab sesiapa jua dan belum memuaskan hati saya ialah, bagaimana bandar yang tidak pernah stabil dari segi ekonomi (kaya terlalu kaya, miskin ramai yang merepat dan menghuni setinggan bandar), sosial (kadar jenayah dan sosial di bandar-bandar) dan alam sekitar (penghapusan kawasan hijau untuk pembangunan komersil, banjir kilat, pencemaran udara, air, bunyi dan pemandangan) - dapat menjayakan idea pembangunan mapan ini?

Bagaimana bandar dapat "sustain" hubungan berseimbang di antara ketiga-tiga elemen (ekonomi, sosial dan alam sekitar) ini?

Saya tiada jawapannya, dan saya sentiasa mencari jika telah ada pengkaji yang mampu menjawabnya di mana-mana buku, jurnal dan sebagainya. Tetapi masih hampa...

Penutup: Lembu

Sama ada pembangunan mapan, mahupun teknologi hijau, kedua-duanya membawa mesej yang sama iaitu "membangunkan - di satu pihak : memelihara/mengawal - di satu pihak".

Saya gembira dengan langkah yang diumumkan kerajaan ini (sumber) dan (sumber), tetapi di masa yang sama, saya takut kalau-kalau perihal "lembu" ini tidak difahami dan diambilkira pegawai terlibat.

Saya ingin menarik perhatian anda kepada kisah 3 jenis lembu iaitu:

1) Lembu Suci (Sacred cows) - iaitu idea yang secara penampilannya (contoh pembangunan mapan, teknologi hijau, etc) begitu diterima dengan meluas, sehingga ianya terus diterima tanpa banyak dipersoalkan.

Ini kita tidak mahu, iaitu pemimpin, pegawai, bijak pandai, masyarakat hanya menerima apa yang mungkin baik dan sesuai di negara maju, untuk terus diterimapakai dalam konteks negara membangun, tanpa dipersoal sama ada ianya betul atau tidak, sesuai atau tidak.

2) Lembu untuk tunai $ (Cash cows) - bilamana label "mapan" ataupun "hijau" digunakan hanya untuk melonjakkan populariti, margin keuntungan atau untuk menarik segmen pasaran yang baru.

Pengkaji barat kata eco-tourism adalah salah satu bentuk "green tourism" iaitu tidak mencemar alam. Idea ini kemudiannya dicabar dan dipersoal kerana ianya lebih bersifat "melariskan pakej pelancongan" oleh para pemain industri, dan apabila pelancongan yang ramai masuk kampung dan taman negara, persekitaran semulajadinya tidak dapat tidak, akan rosak dan terhakis.

Jadinya, label green bukanlah jaminan untuk mewujudkan sustainability!

3) Lembu gila (Mad cows) - ini peringkat paling kasihan!

Merupakan terma yang sedap dan lunak bunyinya (seperti slogan-slogan), tetapi kosong dari segi idealisme dan semangatnya - ibarat laungan slogan yang kosong.

Atau terma yang menjadi terlalu tidak realistik untuk dilaksanakan, malah jika ianya cuba dilaksanakan, bakal menambah parah dengan menjadikan masalah yang sedia ada bertambah buruk (memang lembu gila!) - tikus cuba baiki labu.

Harapan

Harapnya, pembentukan jawatankuasa Dasar Teknologi Hijau Negara akan dapat dikekalkan dalam tempoh yang panjang (menteri nak berubah pun, pastikan DTHN kekal) dan perancangan ke arah penerapan teknologi hijau dan pembangunan lestari dapat dilancarkan dan diterapkan secara bermakna.

Sudah tiba masanya Malaysia menjadikan dahulunya mimpi, yang kemudian suatu impian, dan kini menjadi realiti di alam nyata.

Dan harapnya, pencarian saya terhadap jawapan bagaimana pembangunan mapan dapat direalisasikan di bidang-bidang lain (bandar, luar bandar, etc), bukanlah pencarian "lembu yang hilang".

Wassalam.

Petik buah

Bersempena kehadiran Saiful dari Reading ke Oxford hari ini, kami sepakat untuk bersama-sama ke QGarden, Abingdon bagi memetik buah.

Sekarang memang tengah musim memetik buah Ceri dan Plum di QGarden (ada beberapa jenis buah lain tetapi kami kurang berminat memetiknya).

Terletak kira-kira 20 minit dari rumah, rombongan Cik Kiah selamat tiba di sana jam 10.45 pagi dan kami adalah antara orang terawal tiba (kelaparan) di sana - bukan apa, takut hujan.

Seperti biasa, petik-petik lepas tu kena rasa. Hendak tahu juga - manis ka, masam ka...Nyum, nyum.

Melihat ayah sibuk "merasa" buah ceri, Mawaddah jadi tak senang duduk - Ibunya kena dukung dia...

Ayoooo...panasla duduk dalam car-seat nih!

Posing..jangan tak posing..

Mawaddah cuba memetik Ceri milik Pak Abu

Tapi dia terpetik daun Ceri

Uncle Saiful pun petik juga, buat bekal dalam train pulang ke Reading sok

:-)

Sayang Ibu!

Buah Plum, tak tipu..memang manis..


Bukan nak tipu, tapi buah Ceri dan Plum di QGarden adalah terbaik pernah saya rasa sepanjang hidup di UK ini. Memang manis (kalau tidak pun, masam-masam manis).

Berbaloi untuk turun ke sana, merasa sendiri panjat pokok ceri dan "sambil menyelam minum air" (sambil petik, sambil merasa). Haha...

1kg Ceri segar (petik sendiri) = GBP5.00
1kg Plum segar (petik sendiri) = GBP2.00

Moga dapat lagi berkunjung untuk memetik buah lagi musim hadapan.

Detik yang berlalu

Si kecil ini, 4 bulan yang lalu...

Si kecil-ku, di usia 5 bulan..






Begitu cepat masa berlalu...

Friday, 24 July 2009

"Rakyat mahu tahu, saya juga mahu tahu bagaimana kematian ini boleh berlaku?"

1- "Rakyat mahu tahu, saya juga mahu tahu bagaimana kematian ini boleh berlaku?" - sumber

2- "Razaleigh: SPRM Harus Disiasat Hingga Ke Lubang Cacing"

Sumber sama seperti (1), yang memetik laporan oleh tvantara:

Kerana bimbangkan kematian Teoh Beng Hock adalah petanda Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertukar penyangak, pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah berkata siasatan “sehingga ke lubang cacing” harus dijalankan bagi mencari motif dan punca kematian mangsa.

Razaleigh berkata rakyat Malaysia tidak lagi berasa selamat sekiranya seorang saksi yang dipanggil membantu siasatan ditemui mati dibawah pengawasan pihak berkuasa.

“Kejadian ini amat buruk untuk negara. 50 tahun kita merdeka, perlukan orang yang dipanggil untuk disiasat keluar dalam keranda,” katanya.

Razaleigh berkata penubuhan Suruhanjaya Diraja Siasatan keatas kematian Teoh Beng Hock tiada ada gunanya sekiranya kerajaan tidak melaksanakan saranan-saranan suruhanjaya terbabit, sepertimana yang dapat dilihat dari siasatan keatas kes V.K Lingam dan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Razaleigh berkata meminggirkan saranan Suruhanjaya Diraja adalah seperti “menghina Yang Di-Pertuan Agong”.

Pemimpin veteran itu menambah SPRM memburu kesalahan-kesalahan kecil tetapi tidak mempedulikan kes-kes besar dan berkata SPRM perlu diteliti semula.

“Rakyat mahu tahu, saya juga mahu tahu, bagaimanapun kematian ini boleh berlaku? Bagi seorang saksi, siapa yang akan beri bukti berkenaan perbelanjaan RM2,400 sedangkan ada orang dengan jutaan wang ringgit terus melata dengan bebas dan tidak dipanggil untuk disiasat,” tegas beliau.

Sumber berita: http//www.tvantara.com/ dan sumber

Thursday, 23 July 2009

Apa macam?

Kereta keluaran negara India yang semua orang telah sedia maklum akan "kemurahan" harganya. Sediakan RM 8,900.00, di India, anda akan merasa untuk menjadi tuan kepada kereta 4 tempat duduk ini.

Manakala, bagi versi lengkap (complete) pula, adalah di sekitar RM 12,700.00, di India. Kalau lain-lain rakyat mungkin kena bayar lebih sikitlah.

Manalah tahu, kot-kot la Proton juga akan mengambil inisiatif sebegini agar kekal kompetitif di kala iklim dunia permotoran yang amat mencabar kala ini?

Kot-kot la beratus-ratus jurutera dan pereka bentuk di bahagian penyelidikan berteknologi tinggi lagi termaju Proton dapat memikirkan bagaimana untuk mencipta, membina dan seterusnya memasarkan kenderaan mampu-milik kepada rakyat Malaysia di masa depan.

Kot-kot la...

Wednesday, 22 July 2009

Gali ubi

Melihatkan pokok ubi kentang yang dah terlalu tinggi (terpaksa disokong dengan kayu) dan sehingga menaungi tumbuhan lain di sekeliling - cauliflowers dan jagung sukar membesar kerana kurang mendapat cahaya matahari, saya mengambil keputusan untuk mencabut sebahagiannya.

Tambahan pula, ubi kentang tersebut telah cukup tempoh matang untuk dituai hasilnya (mengikut penulis buku berkebun yang saya beli tempoh hari).

Hendak tahu bagaimana ubi kentang itu boleh dituai? Apabila bunganya telah berkembang dan daun di bahagian bawahnya mulai kekuningan. Dari segi tempoh masa - 12 minggu selepas ditanam

Mamat mana ntah sedang dok tarik-tarik pokok ubi nih..

Hah...mane isinya-lama dah dok tunggu...

Inilah serba sedikit hasilnya - warna merah jambu.

Selepas dibersihkan, disimpan sebelum diguna dalam masakan.

Info tentang ubi kentang:

Menurut buku yang saya baca, ubi kentang berasal dari kawasan Andes dan kemudiannya tersebar penanamannya ke Mexico. Ubi kentang juga didapati menjadi sumber utama makanan penduduk (tamadun) Inca sejak beribu tahun lamanya, hasil penemuan oleh kolonial (penjajah) Sepanyol pada kurun ke-16.

Ubi kentang kemudiannya dibawa balik ke Itali, yang kemudiannya disebar dan ditanam hingga ke serata benua Eropah.

Begitupun, minat masyarakat Eropah terhadap potensi ubi kentang berkembang agak lewat terutama di bahagian Utara Eropah dan setelah 200 tahun tiba di Itali, barulah ubi kentang mula ditanam secara meluas di UK.

Lazimnya yang kita tahu, hanya isi (tubers) ubi kentang ini yang boleh dimakan. Benar. Sekadar mengingatkan bahawa kesemua bahagian lain - batang, daun dan buah - adalah beracun!

Malah, jika isi ubi itu sendiri terdedah kepada cahaya dalam tempoh masa yang lama, hingga bertukar kepada hijau, juga menjadikannya beracun, kecuali ianya dimasak terlebih dahulu.

Justeru, bagi anda yang ada anak kecil, sila awasi mereka daripada menggapai daun, bunga atau buah ubi ketang, atau menggigit ubi kentang yang bewarna hijau di dapur kerana dikhuatiri boleh menyebabkan keracunan.

Sekian.

Kehidupan berkomuniti

Seorang sahabat lama meminta saya menulis / mengulas berkenaan maksud komuniti dan kehidupan komuniti mapan, memandangkan ianya salah satu bidang yang saya sedang kaji dan dalami.

Untuk tidak menghampakan permintaan beliau, kali ini saya akan cuba menghuraikan serba sedikit mengenai kehidupan berkomuniti yang mapan dan mudah-mudahan ianya dapat memuaskan permintaan sahabat - mana yang saya termampu.

Apa itu komuniti & komuniti mapan?

Kamus Dewan mendefinisikan perkataan komuniti sebagai "sekumpulan orang yang tinggal di sesuatu daerah atau negara (atau tempat); kumpulan individu yang mempunyai sifat (kecenderungan, kepentingan dan lain-lain) yang serupa".

Apabila tinggal dan menjalankan pelbagai aktiviti secara bersama, sesuatu komuniti memerlukan suatu sistem yang berkesan dan jelas bagi memandu arah tindakan, prilaku, etika dan memastikan hak setiap ahli dalam komuniti mendapat ruang dan hak sewajarnya.

Manakala, pembangunan mapan pula dapat ditafsirkan sebagai "pembangunan yang menyediakan penambahbaikan terhadap kualiti kehidupan manusia, dan pada masa yang sama memelihara kehidupan dan kepelbagaian bumi.

Dengan menggabungkan kedua-dua maksud perkataan dan frasa tersebut, komuniti mapan dapat diertikan sebagai "komuniti yang mengamalkan aturan dan juga prinsip pembangunan mapan dalam kehidupan seharian mereka".

Dengan lain perkataan, komuniti mapan adalah "komuniti yang menerima pakai sistem, cara hidup dan prinsip pembangunan terbabit dan bertindak dalam lingkungan batas alam semulajadi".

Ciri-ciri komuniti mapan

Pepperdine menyenaraikan beberapa ciri penting bagi sebuah komuniti mapan:

1) Tidak menggunakan sumber tenaga dan baha mentah lebih pantas daripada yang mampu dihasilkan semula oleh sistem semulajadi.

2) Bukanlah komuniti yang jumud, kerana kemapanan bukan bererti tiada perubahan. Sebaliknya, kemapanan bermaksud mencari jalan untuk memperbaik komuniti dengan memperkukuh hubungan sosial di kalangan ahlinya, kerjasama ekonomi dan bersama memelihara sumber dan alam sekitar.

3) Komuniti mapan bukannya suatu utopia, yang bermaksud tiada suatu kesilapan yang berlaku. Kemapanan juga mempunyai kemungkinan untuk berhadapan dengan kegagalan dan masalah dalam kehidupan. Bezanya, setelah timbul masalah, komuniti ini mampu mencari penyelesaian dengan mengambil kira kesemua komponen dalam komuniti supaya penyelesaian bagi sesuatu masalah itu tidak mengakibatkan terciptanya masalah yang lain pula.

4) Komuniti mapan harus memegang matlamat untuk memenuhi keperluan asas sumber yang diperlukan secara berterusan pada masa hadapan.

5) Komuniti mapan perlu mewujudkan wawasan untuk masa depannya. Komuniti perlu melihat masa depannya untuk suatu jangka masa yang panjang. Wawasannya perlu mengambilkira pandangan semua pihak dalam komuniti dan secara bersama menentukan bagaimana wawasan tersebut dapat dicapai.

Mengapa perlu hidup berkomuniti?

Pertamanya, kehidupan berkomuniti merupakan fitrah (kehendak semulajadi) manusia - mungkin jarang diulas pengkaji dari Barat. Namun, hujah ini layak untuk diterima pakai dalam konteks Malaysia yang mana kita berpegang kepada ajaran Islam.

Fitrahnya, tidak kira di mana jua kita berada baik di dalam, mahupun di luar negara, kehidupan seharian kita sememangnya menuntut agar berlakunya interaksi dengan orang lain di sekeliling kita.

Tanpa interaksi, kita akan menjadi jumud (rigid) dan sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup secara berpanjangan di dalam lingkungan persekitaran hidup.

Jika sukar menggunakan contoh manusia, lihat saja bagaimana kehidupan sebuah koloni semut ataupun lebah. Bagaimana hidup secara berkomuniti dapat mewujudkan rasa selamat di kalangan anggota dalam komuniti, meningkatkan keberkesanan kerja dan hasil serta memupuk rasa kasih antara satu sama lain yang berpanjangan.

Kedua, di dalam mencapai komuniti mapan, sesebuah komuniti mengiktiraf akan kewujudan perbezaan pendapat dan menggalakkan percambahan idea di kalangan ahlinya untuk digunakan bagi memperkayakan lagi pemahaman dan tindakan di kalangan ahli dalam komunti.

Bagi komuniti yang tradisional, perbezaan pendapat kurang digalakkan kerana kebanyakan hal berkaitan pembuatan keputusan dan merencanakan wawasan komuniti diletakkan kepada para pimpinan yang dilantik.

Namun, bagi komuniti mapan, perbezaan pendapat masih boleh dikompromi pada tahap tertentu (dengan cara perbezaan pendapat disokong dengan hujah) bertujuan untuk membolehkan komuniti meneliti pelbagai kemungkinan yang sesuai bagi menyelesaikan satu-satu permasalahan.

Penutup

Pandangan saya secara pribadi, di dalam kehidupan berkomuniti, "kita tidak tahu bila tibanya hari kita susah atau senang".

Harapnya apabila tiba hari kita susah, ada orang akan bertanya khabar akan nasib kita, dan begitulah sebaliknya.

Jangan berkawan dengan niat untuk mengambil untung atau tidak berkawan kerana ingin mengelak rugi. Mungkin yang bercahaya itu kaca, dan yang hitam legam itu emas.

Teringat kata-kata sahabat "kawan biar beribu, berkasih biar ramai, beristeri biar satu (?)". Memang ada perlunya kita memilih kawan, kerana jika silap berkawan, dengan kita-kita sekali bakal berkongsi padahnya.

Ada atau tidak istilah "kawan terbaik?"

Kata orang putih, "I only choose the best person to be my friend".

But for me, "the best is not good enough!".

Wassalam.

Dr Sepet: kita kawan-kawanlah...

PPSMI: Hujah TV9

Kepada tuan/puan yang berminat untuk mengetahui apa pandangan para panel jemputan (Datuk Dr. Hassan Ahmad - bekas Pengarah DBP & bekas Duta Malaysia ke UNESCO, dan Mohamed Suffian Awang - Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia) di dalam forum bertajuk "Mempertingkatkan Penguasaan Bahasa Melayu & Inggeris" kendalian Dr Mohd Agus Yusoff, sila klik di sini.

Setelah klik pada link di atas, untuk log in ke web TV9, sila gunakan username dan password berikut:

Username: tvkita1
Password: hujah

Selamat menonton dan moga mendapat manfaat dan ilmu berguna daripadanya.

Wassalam.

Monday, 20 July 2009

Kantoi: dia angkat bontot jua!

Sejak 2-3 hari pandai angkat bontot, makin rajin pula dia mengesot. Merata-rata ruang tamu perginya. Nak baring terlentang pun dah kurang selesa....Demand betul.

Terasa macam masih baru, begitulah cepat masa berlalu. Makin tua dah aku!

Nenek/Atuk/Tok/Tokki nak tengok tak apa Mawaddah boleh buat?

Haaaa...taraaaa...

Maintain...maintain...steady...

Huh..huh..berpeluh ketiak pakcik...

Dah puas tengok?...Ibu, nak susu...

Peluh setitik

Di sebalik beban kerja-kerja penyelidikan yang masih berlambak ini, sempat lagi kami bermain badminton di belakang rumah.

Maklumlah, dengan cuaca sejuk/redup, kalau asyik terperap membaca artikel, makan jajan, menonton TV, membaca artikel, makan jajan, minum kopi, tengok TV - makin rasa lemah badan ni.

Pukul 7.0 pm mula pukul bulu tangkis, sampai pukul 8.00 pm - 1/2 jam (masih cerah), orang rumah langsung tidak berpeluh, dan saya hanya keluar 1 titik peluh sahaja!

Sudahlah tidak banyak bersenam, bila berseman, peluh macam segan nak keluar pula.

Apapun, janji keluar rumah bersenam, dan dapat juga Mawaddah menghirup udara segar di luar rumah...








Nanti bila dah besar, baru Mawaddah dapat partner dengan Ibu, lawan dengan Ayah.