Monday, 22 June 2009

STOP! Lampu merah la pulak

Posting saya sebelum ini "Mencari Jalan Tengah?"

Kini masih tinggal pilihan sama ada:
1) teruskan juga
2) tarik balik / tarik diri

Dan hari ini, jawapannya telah kita semua ketahui.

Dengan jawapan tersebut jugalah, secara rasminya berakhirlah "tempoh bersantai" saya.

==========

Sumber: sini, sini, sini, sini dan sini.

Sebarang perbincangan dan perdebatan mengenai idea membentuk Kerajaan Perpaduan a.k.a Unity Government (UG) kini secara rasminya telah ditutup (atau kes selesai), setelah pemimpin-pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR) mengeluarkan deklarasi bersama untuk tidak meneruskan lagi perbincangan dengan UMNO/BN.

Pernyataan yang dikeluarkan ini semestinya suatu yang diterima baik dan melegakan, di samping dapat meredakan segala khabar angin, cakap tidak betul dan fitnah yang tersebar dengan kencangnya beberapa minggu yang sudah.

Pengumuman ini juga secara rasminya telah menukar "lampu hijau" yang diberikan PM dan Pengerusi BN untuk UMNO/BN mengadakan perbicangan serius bersama para pemimpin PAS dan rakan dalam PR yang lain berkenaan pembentukan UG.

Masam - masam - manis

Susu telah rosak

Biarpun mulut belanga yang terbuka sedang ditutup agar nila tidak lagi tumpah (dengan pengumuman ini), susu di dalamnya (perasaan para penyokong) bagaimanapun telah rosak. Rosak akibat tindakan kurang koordinasi di kalangan pimpinan tertinggi PAS apabila bercakap dan mengulas sesuatu perkara (yang beberapa hari lepas menitiskan nila ke dalamnya).

Selepas pengumuman kini, PAS dan PR kini dapat menghelakan nafas yang sedikit lega kerana isu pokok telah diatasi. Tinggal kini tugas lebih berat iaitu bagi mengangkat kembali kepercayaan para penyokong kepada PAS dan PR yang "berpecah" setelah timbulnya ura-ura UG ini.

Istiqamah, bukan keras kepala

Selepas perjumpaan di antara 3 tokoh utama PAS (Mursyidul Am, Presiden & Timbalan Presiden) - turut hadir Timb. M.A, Naib-naib presiden dan sebagainya - keadaan semakin jernih dan semangat muhibbah bertaut kembali setelah TGNA telah mengeluarkan kenyataan yang mana beliau menarik balik tutur kata beliau tempoh hari yang menggesa TP meletak jawatan dan keluar dari PAS jika beliau begitu sebulu dengan UMNO/BN dalam hal UG ini.

Foto: Sumber

Foto: Sumber

Apabila ditanya wartawan tentang kekerasan hati beliau yang tidak menerima idea UG, TGNA dengan lantang mengingatkan bahawa ada beza di antara istiqamah dengan keras kepala. Ini kerana beliau bukan menentang secara membuta-tuli.

Beliau sebaliknya begitu yakin bahawa isu yang ditimbulkan dan cuba dipromosi merupakan sesuatu yang salah, dijaja tidak kena masa dan tempat (tidak ikut saluran yang betul), yang akhirnya mengucar-kacirkan jemaah sendiri, selain mengeruhkan hubungan sesama rakan dalam PR.

Rugikah Melayu?

Kini timbul pula persoalan "apakah orang-orang Melayu sendiri yang akan rugi jika idea berbentuk cadangan ini ditolak untuk dibincangkan secara serius?".

Bagi yang melihat idea UG ini melangkaui sempadan politik kebangsaan dan keagamaan, mereka pastinya menaruh harapan yang besar untuk melihat Melayu dapat bersepakat, terutama dalam hal melibatkan kepentingan bersama, biarpun berbeza ideologi.

Apapun, bila PM mengeluarkan pernyataan bahawa BN tetap kuat, mampu memerintah, sudah pasti bahawa perpaduan Melayu yang berbeza ideologi ini seperti kembali jauh untuk dirundingkan.

Bersatu atau tidak, jika tidak didasari dengan semangat Islam dan dakwah, tidak membawa kita ke mana-mana. Jika Melayu bersatu dengan meletakkan Islam di bawah yang lain pun tidak menguntungkan. Begitulah juga bilamana Melayu sibuk membawa Islam, tetapi tidak kasih dan tidak rasa ingin membantu sesama rakan sebangsa dan seagama (tidak berdakwah), makanya akan rugi juga.

Kembali asal

Jika gagal bersatu, makanya akan kembali berseteru. Tidak percaya? Lihatlah situasi di Manek Urai dalam jangkamasa terdekat ini.

Bagi UMNO/BN, isu UG ini boleh diibaratkan sebagai "pucuk dicita, ulam mendatang".

"Alang-alang orang sana dah sibuk, takkan kita nak diam. Kenalah sambut tangan yang ingin bersalaman".

Apapun, bagi UMNO/BN, mereka dilihat tidaklah begitu terjejas dengan kegagalan UG ini, berbanding kerosakan (imej dan kepercayaan) yang sedang sibuk diperbaiki oleh para pemimpin PAS dan PR ketika ini.

Saya melihat saingan di Manek Urai kembali terbuka dengan kedua-dua (tiga?) pihak masih mempunyai masa dan berpeluang merangka strategi serta tindakan bagi memancing undi.

Dr. Sepet: masih menunggu berita-berita berkaitan Manek Urai untuk dikupas di masa hadapan.

No comments:

Post a Comment