Saya berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat PM di atas kesediaan dan keterbukaan beliau untuk menerima kritikan, dengan syarat ianya ditujukan dengan cara yang betul, di tempat dan masa yang bertepatan (rujuk di sini).
Sesungguhnya keazaman beliau ini patut kita semua puji dan jadikan contoh. Namun, harapan yang lebih besar sebenarnya saya harapkan terbit daripada barisan kabinet, menteri besar dan pemimpin dari pelbagai parti politik, NGOs, sehinggalah pemimpin di peringkat bawahan untuk bersama-sama menghayati, mengikuti dengan menterjemahkan iltizam PM ini kepada tindakan dalam kehidupan.
Saya tidak mahu mengupas banyak isu, satu isu pun cukuplah untuk hari ini. Yang penting apa yang disampaikan dapat membuka minda untuk difikir bersama.
Justeru, izikan saya menyampaikan sedikit pandangan (berbentuk kritikan) terhadap 'tindakan cerdik' oleh kerajaan baru negeri Perak dalam hal pembelian kereta Proton Perdana 'baru' bagi menggantikan kereta Toyota Camry 'baru' yang dibeli semasa pentadbiran kerajaan PR sebelumnya (rujuk di sini).
Mengapa saya katakan 'baru'? Untuk makluman, kesemua kereta Camry tersebut telah didaftarkan pada 9 Januari 2009 (rujuk di sini) - atau secara matematiknya baru berusia kurang 4 bulan.
Kalau kahwin pun tempoh 4 bulan tu masih dianggap 'pengantin baru'. "Bila kahwin? - baru 4 bulan, bang...ooo baru lagi tuh!". Hoho.
Mudah lupa
Bukan sengaja untuk bersikap skeptikal atau membangkang membabi-buta dalam segenap perkara, cuma sekadar ingin mengingatkan kepada yang mudah lupa akan pernyataan yang telah dilaungkan sendiri para pimpinan negara sebelum ini (boleh rujuk di sini) dan (di sini).
Sebagai orang bawahan yang tidak mempunyai simpanan RM1 juta, tanpa perlu memerah otak pun kita akan dapat membaca dan memahami situasi yang terjadi sekarang ini.
Bayangkan, di atas platform (akhbar) yang sama beberapa hari sebelum ini, sibuk melaungkan peri pentingnya amalan perbelanjaan wang kerajaan dibuat secara berhemah agar pembaziran dapat dielakkan bagi perkara-perkara yang tidak mendesak. Ada menyatakan kita terlalu banyak berpolitik sehingga menghabiskan wang rakyat untuk tujuan tersebut, etc.
Justeru, langkah berjimat-cermat ini perlu dipupuk di kala seluruh dunia sedang teruk dihimpit krisis kewangan.
Namun, hari ini, di atas platform (akhbar) yang sama juga, muncul tindakan yang sebaliknya, yang boleh dianggap tidak berhemat di dalam mengurus tadbir kewangan kerajaan, yang duitnya datang melalui hasil kutipan wang (cukai) rakyat.
Apa salahnya jika barisan exco kerajaan Perak yang baru ini menggunakan kereta yang baru berusia 4 bulan tu bagi tujuan pentadbiran kerajaan? Jika risau ada kuman atau virus berjangkit yang melekat pada kusyen kereta, hantar saja ke kedai untuk tukar kusyen yang baru.
Atau, adakah kerajaan baru Perak ini ingin menunjukkan kepada rakyat Perak bahawa tidak mengapa untuk 'membazirkan' sedikit wang rakyat membeli kereta baru, untuk kegunaan exconya?
Di mana untungnya rakyat dalam hal ini? Kalau rakyat dibenarkan tumpang kereta baru ini jika terserempak di mana-mana, tu kira OK jugalah.
Janganlah kerana 'marahkan nyamuk, kelambu hendak dibakar' - harap faham maksud saya. Mungkin sikap merendah diri dan jauhi hasad dengki itu lebih cocok dan mampu dilihat rakyat Perak sebagai cerminan kepada janji perubahan yang ingin dibawa PM baru kita.
Pemimpin hari ini kena sentiasa beringat, rakyat Malaysia, di mana-mana pun hari ini, tidak di Perak, di Kelantan, di Johor, mereka ini sudah bijak dan tahu membuat pertimbangan dan penilaian terhadap mana yang baik, dan sebaliknya terhadap apa yang mereka perhati setiap hari.
Tindakan kerajaan baru Perak ini perlu dijadikan pengajaran yang berguna kepada pemimpin lain, termasuklah juga dari PR. (Cuma, Terengganu mungkin tak termasuk di dalam senarai untuk menukar kereta kot sebab 'Mecedih' baru tu belum tanggal plastik kat kusyen lagi, kan?).
Tambahan pula sekarang ini, segala tindak tanduk pemimpin tidak kira dari BN mahupun PR sentiasa dipantau oleh rakyat (pengundi). Tidak ada lagi 'skim jaminan mudah' yang membenarkan rakyat menutup mata di atas sebarang tindakan kerajaan.
C.B.A
Jika mengikut pemikiran saya yang tidak seberapa ini, adakalanya tindakan kita perlu menyeimbangkan di antara semangat patriotisme (cinta pada tanah air) dengan pembaziran wang rakyat. Buatlah CBA (costs-benefits analysis) sebelum tergesa-gesa membuat sesuatu tindakan.
Kadang-kala 1 kali buat silap sahaja sudah cukup untuk membuatkan orang lupa segala kebaikan dan bakti yang telah kita tabur sebelum ini.
1 kali kita buat silap, orang akan maaf,
2 kali kita buat silap, orang akan maaf tapi beserta ingatan,
3 kali kita buat silap, orang bagi ingatan dulu baru beri maaf,
4 kali kita buat silap, orang dah tak mahu bagi ingatan ataupun maaf lagi dah.
Agar sama kita beringat-ingat...
Sebagai tambahan:
ReplyDeletehttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_09.htm
Seperti yang telah saya jelaskan, kita terbuka untuk menyatakan pendapat. Selagi kedua-dua pihak ada membawa hujah masing-masing, selebihnya terpulang kepada pembaca untuk membuat penilaian berpandukan ilmu masing-masing.
Wassalam.