Thursday, 21 August 2008

JUARA RASUAH

Bertemu kembali,

Sila rujuk:

1.Utusan Online 21/08/08 - Tajuk "Penahanan Dua Exco Tiada Motif Politik"

2. Tranungkite.net 21/08/08 - Tajuk "Cerita Sebenar 'Rasuah' Exco Perak"

============================================

Ulasan

HAI... apa nak jadi ni? Biarpun berita (dakwaan rasuah wang dan seks Exco Perak) yang saya petik dari dua sumber iaitu media kerajaan dan pembangkang di atas belum tentu ada kebenarannya lagi kerana kes ini masih di peringkat awal penyiasatan, namun terdapat isu menarik yang boleh dibahaskan.

Kekasih

Politik dan Rasuah saya ibaratkan sebagai pasangan kekasih yang sukar untuk dipisahkan. Berbeza dahulunya politik belum kenal siapa rasuah - maka politik dianggap sebagai murni dan menjadi wadah perjuangan menuntut keadilan dan membawa suara-suara kecil rakyat untuk didengar dan diberi pembelaan oleh sang pemimpin yang mereka angkat. Ketika itu, rasuah dianggap sebagai racun yang boleh melemahkan perjuangan dan ditolak dari mendapatkan tempat dalam pentadbiran.

Kini, negara telah lama merdeka dan bertambah maju. Tiada lagi keperluan untuk perjuangan mendapatkan kemerdekaan dari sesiapa dan keperluan bersatu menentang anasir penjajah yang fizikal. Justeru, politik menjadi "kunci kepada kuasa" pemerintahan dan di atas kebijaksanaan "pemegang kunci" inilah terletaknya nasib rakyat. Kuasa yang dimiliki politik telah menarik minat si rasuah untuk berdampingan. Apapun, jika pemegang kunci ini orang beriman, pujukan rasuah tentunya terkubur begitu sahaja, dan begitulah sebaliknya.

Biarpun hubungan cinta terlarang ini dikutuk agama dan dikeji pengamalnya, namun dek mabuk "cinta" ini, sang pemegang kunci ini tidak mampu menepis godaan, ajakan dan pujukan dan rambang mata sehingga gagal membezakan yang mana rasuah dan hadiah.

Kaedah halal yang ditawarkan agama (perkahwinan @ elak terjebak dari awal) tidak dilihat jalan penyelesaian, malah budaya menerima rasuah ini telah dihalalkan dengan menukar ungkapan - POLITIK WANG, duit belanja etc. agar ia dilihat lebih bersih dan nampak macam "halal" untuk diteruskan.

Cinta Orang Buta Yang Tangan Berkudis

Ini baru nak masuk isu sebenar.

Jika benar dakwaan rasuah terbabit, saya amatlah kecewa, tetapi tidak terkejut.

Saya gunakan analogi ini:

1. Seorang buta (rakyat) yang selamat 50 tahun bergantung kepada tangan kanan (kerajaan) untuk memimpin mereka berjalan dan meredah segala macam keadaan. Banyak jasa tangan kanan ini kepada si buta.

2. Sedang selama 50 tahun itu, tangan kirinya (pembangkang) hanya dibiarkan terseluk dalam poket atau sekali-sekala menyokong tangan kanannya memegang tongkat.

3. Biasalah, bila dah lama diguna tangan kanannya, mula ia terdedah kepada kudis@sakit kulit (rasuah). Semakin lama semakin menular dan menyukarkan pergerakan si buta. Pergerakannya makin perlahan dan sumbang hingga kadang-kala si buta ini tergelincir masuk longkang dan ada ketika dia dimaki orang lain kerana salah masuk jalan.

4. Maka si buta membuat keputusan; "biarlah tangan kiri yang lama aku rehatkan diberi peluang untuk memikul tugas tangan kanan yang dah teruk berkudis ini agar aku dapat terus berjalan dengan pantas mengejar masa (Wawasan 2020).

5. Harapannya adalah tangan kiri dapat bertahan dan kebal dari jangkitan kudis yang kini telah sukar disembuhkan di tangan kanannya.

6. Namun, tidak sampai 1 tahun tangan kanannya diganti tangan kiri, si buta mula menderita dengan masalah yang sama, iaitu tangan kirinya mula timbul kudis-kudis kecil. Buat masa ini tiada rawatan diperlukan, cukup dengan menggarunya sahaja.

7. Terfikir juga si buta jika kudis dari tangan kanannya kekal merebak ke tangan kiri, TANGAN MANA PULA YANG BOLEH DIA HARAPKAN???

Kesimpulan

Jaga akhlak tidak kira anda kerajaan atau pembangkang, selagi anda digelar pemimpin. Jauhi rasuah, politik wang, etc. Walaupun dalam banyak-banyak kebaikan yang telah kita buat, apabila sekali saja buat salah, sampai bila orang ingat.

Bak kata Karam Singh:

"Habis air setelaga, arang dibasuh tak putih juga"

Dan sebagai renungan, marilah hayati ungkapan ini:

"What we do for ourselves, die with us. What we do for others is immortal"

Wassalam

No comments:

Post a Comment