Ahmad Said
Walaupun berjaya membentuk kerajaan, Ahmad terpaksa menghadapi cabaran getir dalam mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap BN dan seterusnya mengekalkan kuasa pada PRU14.
KUALA TERENGGANU – Keputusan PRU13 yang memperlihatkan majoriti tipis kepada BN Terengganu, disifatkan sebagai peringatan kepada BN negeri ini untuk tidak mengulangi ‘keputusan luar jangka’ dalam PRU14  akan datang.

Keputusan ‘nyawa-nyawa ikan’ BN Terengganu itu pastinya membuka persoalan ahli-ahli politik, pemerhati dan penyokong parti, sama ada mampukah BN mempertahankan kerajaan negeri pada PRU14.

Menyentuh perkara itu, bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) BN Terengganu, Datuk Rosol Wahid memberitahu, kedudukan BN bergantung kepada beberapa perkara yang memerlukan persiapan rapi untuk mengembalikan semula keyakinan orang ramai terhadap BN.

“Apa yang penting, sekiranya tidak mengambil pengajaran, perkara ‘luar jangka’ akan terus berlaku dalam PRU14,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, dakwaan berlaku perkara luar biasa dalam PRU13 sudah pun dibuktikan oleh Terengganu apabila gagal mempertahankan majoriti dua pertiga kerusi Dun, jangkaan yang sama sekali meleset dengan kenyataan digembar-gemburkan pemimpin parti kerajaan dalam media sebelum dan semasa kempen PRU13, bahawa BN mampu mengekalkan majoriti tersebut.

Akhirnya pada 5 Mei lalu, BN Terengganu hanya mampu menerima takdir kemenangan dengan kelebihan dua kerusi, sedangkan pembangkang menunjukkan kemaraan besar dengan peningkatan kerusi yang ditawan cukup tinggi, walaupun terpaksa reda kerana gelombang 1999 yang dikatakan melanda Terengganu sebenarnya masih belum cukup kuat.

Perlukan barisan Exco berwibawa

DALAM perkembangan awal ketika ini, imej BN dianggap tidak begitu memberangsangkan apabila Rosol menganggap kepimpinan BN Terengganu terkebelakang dalam perkara melibatkan pemilihan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilihat tidak mementingkan aspek pendidikan.

Mungkin tidak adil memberi gambaran awal kerana kepimpinan Exco yang ada belum pun menunjukkan kemampuan melaksanakan tugas mengikut portfolio masing-masing, namun beliau menegaskan pemilihan Exco perlulah sesuai dengan pengundi yang semakin bijak ketika ini.

Katanya, pemimpin sepatutnya lebih ke hadapan dari segi akademik khususnya, seiring dengan kedudukan Terengganu yang mampu mencipta kejayaan cemerlang dalam bidang pendidikan.

“Kalau kita mahukan rakyat kita berpelajaran, pemimpin juga perlulah dipilih di kalangan yang berpelajaran,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga bekas Adun Ajil berkata, jika BN mahu terus disokong, kerajaan negeri tidak harus mengamalkan sikap terlalu memberi, tetapi membuktikan kecekapan tadbir urus negeri kerana ia mampu meningkatkan ‘merit’ keyakinan rakyat terhadap BN di samping pelaksanaan integriti yang tinggi di kalangan pemimpin.

Bagaimanapun katanya, tidak banyak yang dilihat dibuat pada penggal lalu apabila program yang lebih menonjol hanya menjurus kepada peruntukan rumah, e-Book dan atap biru.

“Kalau dengan cara itu kita rasa rakyat akan sokong kita, itu adalah kesilapan. Rakyat mahukan cara tadbir urus yang cekap dan baik daripada kepimpinan negeri,” tegasnya.

Penyampaian lebih berkesan

DARI sudut penerangan, beliau juga melihat aspek penyampaian yang lemah boleh menyumbang kepada penolakan rakyat dan keadaan itu dibuktikan pembangkang yang berjaya menarik perhatian golongan muda melalui serangan siber dengan memanipulasi setiap perancangan dan pelaksanaan kerajaan.

Beliau menjelaskan, walaupun perancangan tersebut baik untuk rakyat, namun disebabkan penyampaian maklumat kurang berkesan, ia tetap memakan diri.

Dalam masa sama katanya, untuk memastikan BN terus relevan, beliau meminta kepimpinan negeri memberi ruang dan peluang kepada pemimpin-pemimpin muda supaya Umno kelihatan lebih ‘segar’ dan diterima ramai.

Bagaimanapun beliau menegaskan, untuk mengelak kedudukan BN terancam pada PRU14, banyak perkara perlu dilakukan terutama post mortem mengenai kelemahan yang dikenal pasti, penolakan pengundi muda, Melayu dan Cina yang perlu dilakukan secara mendalam tanpa menuding jari kepada pihak lain.

Pada PRU13 lalu, BN berjaya mempertahankan 17 daripada 32 kerusi Dun berbanding 24 kerusi pada PRU sebelumnya.