Wednesday 28 July 2010

Sustainability vs Survivability

"survivability is what we may have in future rather than sustainability" - P. Rogers, Kazi F. Jalal & J. Boyd (2008: 23) An Introduction to Sustainable Development.

Lama tidak saya lanjutkan posting berkaitan pembangunan mapan. Bahannya ada, malahan begitu banyak untuk dijadikan sumber/inspirasi untuk menulis. Tetapi faktor masa dilihat tidak begitu berpihak untuk saya duduk dan betul-betul menulis.

Apapun, saya akan cuba untuk hasilkan sesuatu. Cuma, bahagian teori, konsep dan prinsip mengenai pembangunan mapan (dan kemapanan) tidaklah perlu saya huraikan memandangkan begitu banyak sekali bahannya, yang boleh anda dapati di Google.

Untuk siri-siri penulisan 'pembangunan mapan' yang berikutnya, saya akan lebih fokuskan terhadap kritikan dan persoalan mengenai idea kemapanan ini dan apakah masih ada 'masa depan untuk pembangunan mapan'.

Harap sabar menunggu. Wassalam.

Dr Sepet
Oxford - cuaca masih mendung, dengan kadang-kala hujan renyai.

Siri 1: Less Meat = Less Heat?

Jika anda seorang yang tipikal 'westerner', secara sedar atau tidak anda telah mengambil (a.k.a - makan) kira-kira 100kg daging sepanjang tahun lepas. Pengambilan daging yang menjadi sebahagian sumber protein penting di dalam menu diet harian anda.

Begitupun, tidak semua orang melihat sikap manusia yang mengekalkan pengambilan daging ini sebagai sesuatu yang membantu memelihara alam sekitar.

Justeru, muncul gesaan daripada pelbagai pihak (yang prihatin?), mendesak agar sikap kita terhadap pengambilan daging diubah, demi kelangsungan dan kesejahteraan alam sekitar.

"Less meat=less heat", begitulah slogan yang dilaungkan oleh Paul McCartney semasa menyertai protes yang dianjurkan sempena persidangan mengenai perubahan iklim Disember lepas di Copenhagen.

Jika 'kurangkan pengambilan' itu bagus, bukankah 'berhenti terus mengambil' itu lebih baik?

Mungkin itulah yang anda fikir.

(Lari topik sikit: Begitulah juga pesan saya kepada mereka-mereka yang merokok. Jika anda 'tidak mati' tidak merokok di siang hari di bulan Ramadhan (a.k.a kurang merokok), mengapakah masih sayang untuk 'berhenti terus' daripada merokok?)


Menurut Annette Pinner daripada Persatuan Vegeterian UK, bagi penduduk di negara-negara maju, cara yang paling berkesan untuk seseorang individu (skala individu) itu menyumbang ke arah mengurangkan kesan alam sekitar daripada diet manusia, adalah dengan menjadi Vegeterian, atau Vegan.

Namun, adakah ianya semudah itu (dengan kita berubah menjadi vegeterian)?

Untuk lebih mengetahuinya, mari bersama kita bayangkan apakah yang boleh terjadi sekiranya seluruh manusia di muka bumi ini menghentikan langsung pengambilan daging, susu dan telur daripada menu diet mereka, dan juga apakah kesannya terhadap sektor pertanian (penternakan), alam sekitar dan sosial-budaya masyarakat.

Hasilnya mungkin akan memeranjatkan anda (dan juga saya)!

(sumber: NewScientist 17July2010, pp. 28-30)

1) Pada tahun 2008, dunia telah menggunakan kira-kira 280 juta tan daging, 700 juta tan susu dan 1.2 bilion biji telur (FAO - the UN Food and Agriculture Organisation). Anda sudah boleh membayangkan kos/tekanan terhadap alam sekitar bagi menghasilkan komoditi/bekalan dalam jumlah yang dinyatakan.

2) Segala bentuk aktiviti pertanian merupakan penyumbang kepada kerosakan kualiti alam sekitar. Hanya menyenaraikan sebahagian kecil - Penebangan hutan, ubahguna 'prairies', segala bentuk sistem pengairan, najis haiwan ternakan, minyak untuk traktor/jentera, penggunaan racun serangga dan baja kimia. Sektor pertanian juga menghasilkan lebih banyak gas rumah hijau berbanding kesemua metod pengangkutan jika digabungkan, dan ''memegang kunci' kepada permasalahan alam sekitar yang lain termasuklah pencemaran nitrogen dan hakisan tanah.

3) Dalam sektor pertanian, penternakan menjadi kegiatan yang paling memudaratkan alam sekitar. Ini kerana kebanyakan haiwan ternakan akan memakan bijirin, yang mana bijirin yang sama sebenarnya boleh disalurkan/diproses sebagai sumber makanan manusia (yang turut memerlukan). Sedangkan hanya kira-kira 10% daripada bijirin yang dimakan haiwan akan ditukar kepada daging, susu atau telur. Hasilnya? Kita telah 'dipaksa' untuk membuka lebih banyak tanah pertanian (termasuklah pemusnahan hutan etc.), untuk menanam bijirin yang sebenarnya tidaklah perlu dilakukan (i.e. buka lebih banyak tanah pertanian) jika hanya kita sahaja yang memakannya.

4) Kegiatan penternakan menggunakan 1/3 daripada penghasilan bijirin dunia. Maka, bayangkan jika manusia meninggalkan pengambilan daging dan menjadi Vegan, hanya 2/3 sahaja bijirin yang diperlukan bagi memenuhi keperluan manusia seluruh dunia. Ringkasnya, bertukar menjadi Vegan akan mengurangkan jumlah tanah pertanian untuk penghasilan bijirin sehingga 21% - kira-kira 3.4 juta km persegi, penjimatan tanah seluas negara India!

5) Penjimatan (tanah) sebesar ini pastinya turut memberi impak yang besar terhadap alam sekitar, yang sebelum ini teruk dirosakkan melalui kegiatan pertanian. Biarpun statistik global kesan daripada pengurangan ini sukar didapati, anda cuba bayangkan, kesannya di US, sebanyak 55% pencemaran tanah dan 37% penggunaan racun serangga dapat dikurangkan daripada sektor pertanian. Begitu juga lebih 50% antibiotik dapat dijimatkan kerana tidak lagi digunakan untuk haiwan ternakan.

6) Bukan setakat itu sahaja. Bidang penternakan juga menjadi penyumbang terbesar kepada pembebasan gas-gas rumah hijau. Sebahagian besarnya didapati dalam bentuk gas metana - dihasil oleh tindakan mikroorganisma mengurai najis haiwan ternakan terutama lembu dan kambing/biri-biri - yang akhirnya terbebas ke atmosfera.

7) Penternakan juga menyumbang kepada pembebasan gas CO2 (karbon dioksida), kebanyakannya daripada aktiviti penebangan hutan untuk membuka ladang, atau kesan daripada aktiviti lampau-tuai dan hakisan tanah yang menyebabkan banyak karbon terhilang daripada tanah. Jika digabung kesemua faktor di atas, penternakan sebenarnya telah menyamai kira-kira 18% daripada kesemua gas rumah hijau (yang jika diukur daripada jumlah CO2), menurut Livestock's Long Shadow (dalam laporan FAO 2006).

8) Nyatalah, menghentikan pengambilan produk berasaskan penternakan bakal memberikan kesan besar dan perbezaan yang ketara dalam usaha kita mengawal pemanasan global. Kembali menyetujui slogan 'Less Meat = Less Heat'.

Daging kalah teruk!

Begitupun, besar atau kecil perbezaan yang bakal dialami juga sebenarnya bergantung kepada apa yang kita buat bagi menggantikan haiwan ternakan dan tanah-tanah ragut yang telah digunakan sebelum ini.

Di dalam dunia masa depan yang bebas daging (meat-free), yang sepatutnya lebih hijau (greener), seharusnya senario berikut bakal kita dan generasi anak-cucu kita nikmati:-

- berkurangnya padang ragut dan ladang untuk menanam bijirin
- lebih banyak hutan dikekalkan, dan diharap bakal mengembalikan biodiversiti
- berkurangnya pembebasan gas rumah hijau, yang memanaskan bumi
- berkurangnya pencemaran yang berpunca daripada aktiviti pertanian
- berkurangnya permintaan terhadap sumber air tawar dan sistem pengairan
- dan seterusnya...seterusnya....senarai yang terus berkembang....

Pendek kata jika dihantar 'kes' pemakan daging ke mahkamah, di atas kesalahan 'menganiaya' alam sekitar, pihak pendakwa hanya petik jari sahaja boleh menang kes ini dengan mudah.

Tunggu!

Tetapi tunggu! Jika semua orang begitu komited untuk menghentikan penghasilan dan pengambilan daging, makanya, kos-kos yang bakal mereka (dan kita) tanggung juga boleh jadi begitu signifikan.

(Samalah juga dengan tindakan kerajaan kita memotong subsidi. Wang kerajaan dapat dijimatkan, tetapi ianya tidak akan berlaku tanpa kerajaan perlu menghadapi risiko dan kos-kos yang tertentu)

Namun apakah kos-kosnya? Kenalah anda tunggu.....boleh?

Bersambung di siri 2. Wassalam.

Kupasan isu: NewScientist 17 July 2010

InsyaAllah di dalam 2 siri di bawah tagline "Less meat = Less heat?", saya akan mengulas serba-sedikit analisa yang dipaparkan oleh majalah NewScientist keluaran July 2010 mengenai "perlukah kita menjadi Vegeterian bagi menyelamatkan alam sekitar?".

Selamat membaca.

Monday 26 July 2010

Berita dari kampung: musim durian dan pencuri laki-bini

Murah rezeki Mok-Ayoh tahun ini. Apa tidaknya, durian di dusun Ayoh begitu menjadi, begitu juga dengan dokong (duku-langsat).

Empat biji buah durian yang besar dijual dengan harga RM20, manakala yang kecil dilonggok 3 biji, RM10. Buah dokong pula mulai kuning. Bulan puasa nanti bolehlah merasa hasilnya.

Namun, semakin banyak buah yang luruh, semakin keraplah Ayoh perlu berulang-alik ke dusunnya. Bukan apa, selain Ayoh, dusun tersebut turut dilawati oleh pasangan pencuri laki-bini.

Menurut Mok, si pencuri laki-bini itu tinggalnya tidak berapa jauh dari dusun Ayoh. Makanya, waktu lawatan beliau dan isterinya boleh jadi lebih 'flexible' daripada Ayoh yang tinggal agak jauh di samping Ayoh perlu membahagikan masanya dengan kerja-kerja lain di sekitar rumah.

Foto hiasan

Inilah kali pertama saya mendapat tahu mengenai kegiatan pencuri laki-bini tersebut. Orangnya saya kenal, tua sikit daripada saya.

Budak sekampung, dengar kata ayahnya bukanlah orang susah, kerbaunya banyak sampai tak terbela. Maksudnya, apabila hendak ditangkap kerbau tersebut, perlu diupah orang menembak ubat pelali kerana lama hidup meliar di ladang sawit Felda berhampiran, hinggakan tidak lagi kenal tuannya.

Yang menambahkan jelasnya kegiatan mencuri pasangan ini adalah umum orang kampung tahu yang mereka tidak memiliki dusun. Dan sepanjang musim buah tahun ini mereka sering dilihat 'lalu-lalang' melawat kebun dan dusun milik penduduk kampung yang lainnya.

Bab lawatan itu satulah. Yang lebih dipersoal pasangan ini begitu rancak dengan aktiviti menjual durian, sedangkan semua jiran mereka tahu yang si polan ini tidak memiliki sebatang pohon durian pun.

Saya kasihan apabila Mok beritahu yang Ayoh terpaksa balik petang (malam pun kadang-kala) memandangkan waktu Maghrib itu jugalah si pencuri aktif mengadakan lawatan.

Saya hanya menasihatkan supaya tidak perlulah Ayoh sampai nak menyusahkan diri. Mana yang dapat itulah rezeki kita dan mana yang terlebih dahulu dicuri, bukanlah rezeki kita.

Kalau saya masih budak-budak, hendak saja ajak adik-adik menyorok dalam semak dan lepas tu pakat sergah ramai-ramai jika terserempak dengan pasangan pencuri tu dalam dusun. Haha....

Thursday 22 July 2010

Usaha...itu tangga jaya

Kelakar, tetapi anda perlu membacanya dengan minda yang terbuka (dan gila-gila). Edisi GMJ Geram Malam Jumaat.

LOL!

Bacaan tambahan

Assalamualaikum buat semua yang melayari dan membaca bahan penulisan di blog Dr Sepet ini. Buat pengetahuan semua, pada ruangan 'My Blog List' saya telah memasukkan link baru iaitu ke MerdekaReview pada awal minggu yang sudah.

MerdekaReview pada saya merupakan platform yang agak seimbang (jika tidak dianggap berkecuali) di dalam menganalisa, mengupas dan seterusnya melapor apa jua isu mahupun permasalahan yang melibatkan kepentingan rakyat di Malaysia.

Portal yang menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, namun bagi yang tidak 'berbahasa Cina' boleh saja melayarinya dengan memilih/klik pilihan ke Bahasa Melayu pada bahagian atas (header) portal berkenaan (contoh: sini).

Saya tidak kata apa yang ditulis di portal ini adalah 100% tepat, kerana setiap anda yang membacanya adalah lebih maklum dan matang untuk menilai kandungannya.

Yang bagusnya, portal ini 'rajin' dikemaskini sama sepertimana akhbar online yang lain seperti beritaharian dan utusanmalaysia.

Kepada yang berminat, bolehlah melayarinya, membaca mana-mana edisi bahasa yang digemari dan moga beroleh manfaat dan pencerahan minda.

Dr Sepet
Oxford - mengharungi minggu 'Summer' dengan hujan dan sejuk.

Berusaha Berjaya

Rajin bekerja terus berusaha
Bagai hidup selama-lamanya

Beramal ibadah kepada Allah
Bagai esok sudah tiada lagi

Monday 19 July 2010

Berdikari

Sambungan kepada posting "petikan minggu ini"

Oleh: A Kadir Jasin (untuk membaca artikel penuh, klik SINI)

Ada Baiknya Berdikari

Elok juga kita berdikari. Bila kita tak bergantung sangat kepada kerajaan dan kerajaan pun tak bagi banyak sangat bantuan, kita lebih bebas buat keputusan bila sampai masa mengundi.

Inilah antara sebab mengapa orang Cina lebih mirip sokong pembangkang daripada sokong kerajaan. Sebagai taiko, peniaga dan pekerja profesional, orang Cina lebih berdikari, jadi mereka tidak berasa terhutang budi kepada kerajaan. Justeru itu, mereka tidak berasa bersalah tidak mengundi parti kerajaan.

Saya rasa orang Melayu pun kena lebih berdikari. Susah memang susah. Tapi kalau tak mula dan tak cuba, kita tak tahu keupayaan kita.

Saya dah 10 tahun berniaga sendiri. Jadi dah tahulah pahit maungnya, terutama sekali lepas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) ditutup oleh Mohd Najib. Inilah kementerian semangat dan talian hayat bagi ramai peniaga Melayu.

Namun saya gembira tengok semakin ramai orang Melayu mula cergas dan menyokong badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak dan kebajikan orang Melayu.

Orang Cina mereka dari awal sokong dan disokong oleh NGO kaum mereka seperti dewan perniagaan, dewan perhimpunan dan persatuan keturunan (clan associations).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak NGO Melayu ditubuhkan manakala NGO yang dulunya tidak cergas sudah mula aktif semula.

------------------------

Hebahan

Kepada sesiapa yang berkelapangan, dijemput hadir. Moga beroleh manfaat!


About the speaker:

Shaykh Samir al-Nass was born in Damascus, Syria, where he studied at the College of Medicine of the University of Damascus. He went on to study in the United States where he qualified in internal medicine.

The Shaykh has studied under some of the great ‘ulama of the Levant (Shaam) and the Arabian peninsula. He has a traditional license to teach (ijazah) in the ten styles of recitation of the narration of the Shatibiyyah and the Durra from Shaykh Muhammad Sukkar. He received an ijazah in the ten styles of recitation of the narration of Tayyibah from the Egyptian Shaykh Ahmad Mustafa in Riyadh, Saudi Arabia, himself a student of Shaykh Abd al-Aziz al-Zayyat of Egypt.

Shaykh Samir has a traditional license to teach (ijazah) in Islamic law (fiqh) and theology and creed (‘aqida) from the previous Mufti of Syria, Shaykh Abu Yusr Ibn `Abidin, Shaykh Lutfi al-Fayumi, and the late Hanafi Mufti, Shaykh Adib al-Kallas.

Shaykh Samir was honoured to study hadith in Mecca with the great Indonesian-Meccan Shaykh Yasin al-Fadani, and with Shaykh Nur ud-din `Itr of Syria. He also has an ijazah in Prophetic traditions (hadith) from the late Shaykh `Abd Allah Siraj al-Din of Aleppo, Syria.

Shaykh Samir is presently a teacher in the al-Fatih al-Islami University in Damascus, teaching the Hanafi fiqh manual Al-Hidayah in the department of Islamic Law (Shariah), and lecturer on the ten recitations of the Qur'an in the MA programme. The Shaykh teaches Qur'anic recitation (tajwid) after fajr prayers daily in the blessed mosque of Shaykh Ibn `Arabi, a post given to him by his Shaykh and father-in-law, one of the illustrious Shaykhs of Quran in the Levant (Sham), the late Shaykh Muhammad Sukkar.

Shaykh Samir has been teaching at various Islamic studies intensive courses in England and North America since 2000.

Sunday 18 July 2010

Berhujung Minggu

Update tanaman

Sudah agak lama saya tidak 'update' perkembangan sayur-sayuran di plot sekangkang kera di belakang rumah.

Kebanyakan sayur (salad) yang ditanam 2-3 bulan yang lalu telah banyak kali mengeluarkan hasil. Manakala, sayur lain seperti lobak dan cauliflowers juga turut dituai. Plot yang sesak dahulunya kini telah agak lapang (kosong).

Kini, kami menunggu dengan tekun tomato dan epal pula untuk dikecapi hasilnya.

Tidak sepeti tahun lepas, tahun ini semua tomato ditanam di dalam pasu (3 buah pasu)

Pabila dalam pasu, kenalah rajin siram

Selain tomato, tuan tanah (landlord) kami turut menanam 2 pohon epal di belakang rumah. Tahun lepas buahnya banyak (saya ada buat posting, lupa tarikhnya). Tetapi tahun ini rasanya lebih banyak.

Makin lama makin menunduk dahannya

Rasanya, dalam bulan September ini epal-epal akan mula masak

Yang sepohon ini buahnya banyak berada di luar pagar

Batas yang dahulunya sesak kini telah lengang

Bawang-bawang yang sedang dikeringkan

Mawaddah, dapur & lukisan

Uihhhh! Mawaddah bukan main lagi sekarang. Ke hulu ke hilir berjalan. Sekejap di ruang tamu, sekejap ke dapur.

Masuk dapur pulak bukan saja-saja, ada saja tempat yang nak diselongkarnya.

Buat-buat minum susu

Zuppp! terus memeriksa bawang, halia dan minyak masak...

Diam-diam saja dia buat pemeriksaan macam ni...

Mujur juga semua alatan tajam, mudah pecah dan berbahaya telah kami alihkan ke kabinet atas

Selain memunggah barang-barang di dapur, Mawaddah juga suka menconteng (melukis)

Tapi saya kenalah rajin melayan kerenahnya

Ini adalah 'sebahagian' hasil seni Mawaddah yang sempat saya bingkaikan (ada lagi di bilik tidur dia dan beberapa lagi tidak saya bingkaikan). Lukisan atas tu nampak macam burung, kan?

Ini pula foto Mawaddah bermain di taman

Kumpul lagi!

Tidak sampai sebulan kotak-kotak dihantar belayar pulang ke tanah air, minggu ini kami kembali ke carboot.

Kembali mencari, membeli dan mengumpul.

Beberapa 'paper-weight' yang dibeli setelah ditawarkan harga yang murah

Corak bunga dalam kaca

Yang ini pun bunga dalam kaca

Kami turut mendapatkan 2 rumah teko (1 pound/teko = murah)

Bentuknya yang unik

Yang ini akan melengkapkan koleksi 'kedai teko' sedia ada

Kapal dalam botol - Le Belem

Mujurlah kami tidak begitu 'komited' untuk menatap kain-baju yang dijual di carboot. Jika tidak makin bertimbunlah barang carboot di rumah pula.

Jika bernasib baik seperti beberapa kawan tu, dapatlah merasa pakai baju yang masih elok dengan jenama seperti Hugo Boss, YSL, Burberry, Ralph Lauren, Channel, LV, dan bermacam lagi.

Bila balik Malaysia, akan rindulah suasana carboot ini nanti!

Friday 16 July 2010

Petikan minggu ini

"Buat apa berebut tengah-tengah malam nak isi minyak (esoknya harga naik), lebih baik ramai-ramai pakat pergi berebut 5 tahun sekali (di pusat pengundian)". - kawan

Thursday 15 July 2010

Harga barang naik: bagi jelas yang betul-betul jelas buat rakyat (dan pembayar cukai)

Malam ini (15 Julai) waktu Malaysia, harga beberapa harga barang bersubsidi akan dinaikkan - Petrol, Diesel, Gula dan Gas LPG.

Menurut sumber (klik), Perdana Menteri telah memberikan alasan mengapa kenaikan harga produk-produk ini wajar (dan telah diwajarkan):

ALASAN 1:
Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.


(Sekurang-kurangnya sebelum ini golongan yang wajar dibantu masih dapat 'merasa' kesan subsidi itu. Apa sudah jadi sekarang? Golongan yang patut dibantu telah tidak dibantu, dan yang tak patut dibantu hanya terasa 'geli-geli' sahaja)

(Bukan saya sahaja, rasanya ramai sudah tahu bahawa nak selesaikan isu ini adalah mudah sahaja - strukturkan semula cukai pendapatan / income tax. Yang berpendapatan tinggi, perlulah bersedia membayar income tax lebih tinggi, berbanding mereka yang berpendapatan sederhana. Mungkin juga penstrukturan ini telah dibuat kerajaan, tetapi seperti biasa, penguatkuasaannya sahaja belum menampakkan keberkesanannya. LHDN perlu diperkasa untuk 'mengejar' orang-orang kaya yang berterusan 'lari' daripada membayar income tax ini)

ALASAN 2:
Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.


(Alasan penyeludupan ini ada logiknya. Mungkin selepas ini kerajaan bolehlah mengurangkan secara signifikan kakitangan penguatkuasa di pintu-pintu sempadan, menutup pejabat/pusat operasi dan seterusnya menjimatkan kantung kerajaan dengan tidak lagi membayar elaum kerja lebih masa kepada kakitangan yang berkawal di pintu-pintu sempadan dan stesen-stesen minyak berhampiran sempadan).

(Namun, dapatkah kerajaan memberikan jaminan yang selepas ini tiada lagi kegiatan penyeludupan di sempadan negara? Atau jika ianya berterusan, kerajaan akan berpanjangan menaikkan harga gula dan bahan api sehingga melebihi harga di Siam/Thailand?)

ALASAN 3:
Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.


(Apa pilihan yang diberi kepada kita? - Adakah kerajaan mewujudkan skim/galakan/insentif untuk rakyat beralih mod pengangkutan mereka daripada naik kenderaan persendirian kepada sistem pengangkutan awam (yang efisyen & menepati waktu?), atau subsidi cukai jalan kepada pengguna kenderaan dengan 'green engine'?, atau rebet khas (tiket) buat pelajar sekolah, penuntut IPT, orang kurang upaya dan warga emas? Apa pilihan kita?)

(Gula, mengapa hendak mendidik dengan cara menambah beban? Sudah habis ikhtiarkah kita untuk mendidik hati-hati nurani masyarakat Malaysia ke arah gaya hidup yang sihat melalui kempen-kempen bersepadu kementerian berkaitan dengan hospital, penggiat masyarakat dan wakil penduduk? Apakah ada bukti kukuh bagi menyokong andaian - dengan menaikkan harga gula (sama macam naik harga rokok dan arak), masyarakat akan kurangkan pengambilan gula? (sama seperti kes rokok dan arak?))

Kesan:

Rasanya, golongan yang paling terkesan daripada tindakan kerajaan ini adalah Orang Melayu juga yang membentuk majoriti kumpulan kelas (berpendapatan) sederhana di negara ini.

Sudah nasib Melayu, selepas 50 tahun mengecap nikmat merdeka, masih di kedudukan yang sama. Bezanya, datuk nenek kita dulu susah sebab kekangan / dasar penjajah. Selepas penjajah dihalau dan negara ditadbir oleh 'orang kita' sendiripun, nasib Melayu masih begitu.

Itu hal hapus subsidi, dengan harapan penjimatan tersebut akan menambah pendapatan kerajaan dan seterusnya akan disalurkan kembali untuk 'memperkayakan' rakyat dengan penyediaan projek-projek pembangunan. Namun, apakah ada jaminan yang ianya tidak akan bertukar menjadi salah satu lagi 'skim' untuk 'memperkayakan' sesetengah golongan?

Sekadar melontarkan pandangan. Wassalam

Melayu, bersatu?

Sekarang ini begitu ramai orang (Melayu) bercakap mengenai 'Melayu perlu bersatu'. Akhbar kerajaan (akhbar 'organ' pembangkang kecuali Harakah semua telah dihentikan penerbitan), laman web dan para bloggers riuh membentang, mengupas dan memperdebatkan cadangan agar orang-orang Melayu di bawah dua panji politik iaitu UMNO dan PAS bersatu, demi survival orang Melayu (dan Islam) di Malaysia ini.

Sebagai seseorang yang bukan pandai ilmu dan seni politik ini, saya masih belum jelas akan maksud sebenar 'penyatuan' Orang Melayu sebagaimana yang hangat diperkatakan kini.

Agar lebih nampak jelas mengenai kekeliruan saya ini, boleh dirujuk dua rajah yang saya sertakan seperti di bawah.

Macam ini, kah?

Atau macam ini?

------------------------
PILIHAN 1

- nampak ideal, tetapi retoriknya juga banyak. Jalannya tampak lebih sukar memandangkan sifat manusia itu yang 'perlukan alternatif/pilihan'. Jika UMNO dan PAS bersatu, akan timbul kemungkinan berlaku perpecahan (atau di dalam bahasa orang politik, serpihan, ada yang akan keluar gabungan dan menubuhkan parti baru - ini biasa).

- Manusia perlukan alternatif/pilihan sebagai contoh, jika parti A tidak lagi mengamalkan pemberian komisen bagi projek-projek pembangunan, tentunya seseorang itu mahu berhijrah ke parti lain (parti B, C, etc), yang boleh menawarkan apa yang si polan tersebut kehendaki.

PILIHAN 2

- nampak kompleks, tetapi boleh direalisasikan. Boleh lihat contohnya di beberapa kampung seperti di Kuala Medang, Pahang dan Telok Ketapang, Kuala Terengganu. Orang Melayu tidak kira apa ideologi politik yang diikuti boleh 'bermuafakat', duduk semeja memerah idea dan bekerjasama di dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan / perjuangan bersama, demi manfaat bersama.
------------------------

Kampung saya sendiripun masih belum mencapai 'penyatuan Melayu' hingga ke tahap ini, tetapi harapnya akan bergerak ke arah tersebut. Kita nak orang Melayu boleh bersama bergotong-royong tanpa menaikkan sepanduk / kain rentang siapa yang taja aktiviti itu, nak orang Melayu bersolat jemaah (bukan solat Jumaat sahaja) di Masjid, nak orang Melayu menolak perbezaan fahaman politik dalam berhubungan dan berurus-niaga sesama mereka. Bukannya orang PAS hanya beli barang di kedai orang PAS dan begitulah sebaliknya.

Jika pada skala yang kecil inipun kita masih belum mampu nak bersatu, buang masa sahaja bercakap mengenai penyatuan di peringkat yang lebih tinggi.

Motivasi buat remaja

Jika difahami lirik lagu ini, ada mesej berguna untuk kita renungkan - mungkin itulah sebabnya lagu ini melebihi 100 juta hits di Youtube. Cuma, janganlah direnung penyanyinya lama-lama sangat sudahlah.

Wednesday 14 July 2010

Wacana Perdana (bolehkah melayu bersatu) -ustaz umno salah tafsir ayat Quran

Anda nilailah sendiri tahap intelektualiti 'Ustaz' ini. 1 jari tuding pada orang lain, 4 jari tertuding diri sendiri.

Ayat beliau yang akan saya ingat adalah "Kenapa PAS Kedah tidak haramkan Judi dan Arak? Tunjukkanlah contoh dulu, kemudian barulah kita (UMNO) akan ikut".

Samalah dengan seorang Ayah yang berkata kepada Anaknya:

"Ko sebagai anaklah yang kena berhenti minum arak, tidak berjudi dan tidak merokok dulu. Tunjukkanlah contoh yang baik, barulah Ayah ikut".

Syahdu...kan?

Tuesday 13 July 2010

Buku 1sen & galakan membaca novel 'English'

Buku 1sen

Semalam, sewaktu melayari internet, saya sempat menjengah Amazon.co.uk melihat kalau-kalau ada tawaran mahupun jualan murah.

Sebagaimana lazim, 'Department' jam tangan akan saya layari terlebih dahulu, sebelum menjengah 'Department' yang lainnya.

Rezeki murah, terjumpa beberapa buah buku rujukan mengenai topik penyelidikan yang sedang saya jalankan, pada harga pelajar mampu beli iaitu 1sen.

Ianya buku baru, malah ada yang seperti baru (bakal pembeli boleh melihat rating yang diberi sebelum membuat sebarang keputusan).

Saya selalu juga membeli buku dari Amazon, tetapi inilah kali pertama menempah beberapa buku 1sen ini. Betul ke harganya 1sen? Atau kedai buku yang tersalah taip harga? Curiga juga...

Tempah semalam, pagi tadi salah satu bungkusannya selamat saya terima. Masih dalam plastik yang belum diusik, dan resitnya?

1sen, tanpa termasuk kos pembungkusan dan pos.

Buku ini agak 'lama' (2002), tapi isinya masih releven

Ini resitnya, memang tak tipu

Kualiti buku pun bagus, ini yang semangat nak menconteng nih!

Novel English

Saya merupakan seorang yang 'mengarut' daya imaginasinya. Sesuai dengan sindrom ini, saya menggemari bahan bacaan yang menawarkan pelbagai mod bantuan seperti gambar, rajah, jadual dan sebagainya (visual).

Justeru, saya telah terlalu lama terbiasa dengan komik, majalah lawak jenaka, manga, majalah sukan, akhbar tabloid, majalah sains dan apa jua bahan bacaan yang menyertakan banyak gambar dan rajah.

Suasana saya membesar, belajar dan bergaul juga banyak berkait dengan "dari mana saya datang". Bahasa saya bertutur dan buku yang saya baca kebanyakkannya di dalam bahasa Malaysia (BM).

Begitu terbiasa dengan BM, penguasaan bahasa Inggeris saya hanyalah 'cukup makan' - cukuplah untuk nak lepas ujian bahasa Inggeris bagi bolehkan saya datang ke UK ini.

Namun, setelah di sini, mahu tidak mahu saya perlu 'menginggeriskan' percakapan dan penulisan demi survival.

Bagaimana untuk saya mendidik diri, ubah mentaliti yang tegar dengan BM ini kepada BI? Alhamdulillah, berkat dorongan dan sokongan isteri, saya disarankan untuk berjinak-jinak membaca novel 'English'.

Huh! Bukan main berkobar-kobar lagi semangat saya nak perbaiki English saya. Menjengahlah saya ke WHSmith, kebetulan ada jualan buku novel.

Membelilah saya akan buku penyiasatan bertajuk "Written in Bones", yang bukan sahaja tebal, malah saiz tulisannya juga kecil/'haliuh'.

Hasilnya, hanya selesai Bab 1, saya dah lupa di mana letaknya buku itu. Langsung saya tak jengok apa kesudahan kes yang disiasat oleh si penyiasat tadi.

Agak lama tinggalkan novel, saya kembali dengan pembacaan buku-buku akademik yang membosankan, tetapi perlu juga ditelaah.

Saya sekali lagi disaran oleh isteri untuk mencuba novel yang mudah dan sesuai untuk 'beginner'/orang yang baru nak mula.

Dan nampaknya, novel yang sesuai dengan tahap "beginner" seperti saya ini adalah novel-novel oleh (mendiang) Sidney Sheldon (SS), yang beberapa biji daripadanya kami beli sewaktu berkunjung ke carboot tahun lepas.

Saya seperti biasa, sedikit skeptikal dengan novel-novel yang tiada visual ni, ditambah pula pengalaman lepas yang kurang enak.

Namun, setelah memegang novel pertama Sidney yang saya baca "The Best Laid Plans" - sampai sukar diletak, akhirnya saya akui yang membaca novel English ini tidaklah teruk sangat (not too bad at all!).

Akhirnya berbelas buku beliau telah saya kumpul dan baca kesemuanya. Hanya tinggal 1 judul lagi belum saya ketemu iaitu "A Stranger in the Mirror". Masih mencari, namun belum berjumpa.

Hari Sabtu (3-4 hari lepas) selepas menghantar Mr VW, saya ke kedai buku dan terjumpa satu lagi karya SS bertajuk "The Sky is Falling". Setebal 300+ muka surat, saya mula hari Ahad dan pagi Isnin sudah 'khatam'.

Bahasa dan olahan cerita cukup menarik dan mudah dihadam terutama oleh 'beginner' seperti saya. Nak letak sekejap pun ralat.

Makanya, daripada apa yang saya alami, ingin saya kongsikan dengan adik-adik di luar sana, yang mungkin membesar dalam persekitaran BM seperti saya, agar tidak berat hati untuk berjinak-jinak dengan bahan bacaan dalam bahasa Inggeris.

Jika tanya saya, saya berani sarankan kesemua judul novel SS ini kepada anda yang berminat untuk membaca novel English ini.

Saya sendiri rasa tidak rugi malah ia telah menukar persepsi saya terhadap novel English yang selama ini saya yakin membosankan, kurang daya imaginatif disebabkan tiada visual, rajah dan gambar, tidak sebagaimana komik, manga mahupun majalah hiburan!

Jika terjumpa novel seperti ini, hal wang janganlah begitu berkira

Nota pengarang di akhir novel ini - saya tidak ingin ulas kerana ada perkataan yang sensitif...emm al-maklumlah kan?

Senarai judul novel-novel SS

Ini permulaan ceritanya...lelong apa tu, bang?

Apapun, bacaan novel perlulah diseimbangkan dengan bacaan ilmiah yang berkaitan dengan minat dan bidang kepakaran anda.

Memandangkan saya sudah 'terjerumus' ke lembah kemapanan/pembangunan mapan/pembangunan ini, beberapa bacaan berguna juga ingin saya sarankan buat anda yang berminat.

Penuntut jurusan Perancangan Bandar & Wilayah, pensyarah, penyelidik, pegawai, mahupun orang awam yang berminat boleh mencari dan membacanya.

Perlu 2 sisi, pembangunan mapan kita nak tahu dan yang 'tidak mapan' pun kita perlu tahu

Buku ini pun menarik untuk dibaca, idea-idea pembangunan

Rajin-rajinlah membaca. Surah pertama daripada Al-Quran yang Allah turunkan kepada Muhammad SAW yang kita cintai juga berkehendakkan kita membaca - "bacalah"!

Wassalam.

University Challenge: Way to go Brookes!

Petang semalam, semasa asyik melayan si kecik Mawaddah main buaian di laman, saya sempat juga menonton rancangan 'University Challenge' - pertandingan kuiz antara universiti di UK (apa itu University Challenge? - klik).

Minggu ini cuaca begitu berbeza daripada minggu lepas dengan mendung, hujan dan sejuk sepanjang hari.

Tetapi budak kecik sorang ni bukan jenis yang suka terperap dalam rumah. Petang saja sibuklah dia nak keluar. Mujurlah ada buaian, senang kerja ayah dia. 'Parking' dia dalam 'basket' tu, hayun saja. Cukup 10 minit, ayah boleh pujuk dia masuk rumah sebab di luar makin sejuk.

Buaian ni senang dilipat untuk disimpan jika tidak digunakan

Mawaddah juga suka meniru orang bersolat atas kerusi (saya masih bersolat atas kerusi kerana lutut masih sakit)

Lepas saya beralih, berebut dia nak panjat kerusi nak sembahyang..

Siri UC semalam menarik minat kami kerana ia melibatkan pertandingan antara Cardiff University dengan Oxford Brookes University.

Nama Brookes agak jarang muncul di kaca TV. Kita tengok apa nasib peserta dari Brookes ini.

Apa ni, ketinggalan jauh...

Sedang tekun mendengar soalan

Brookes mula mengejar nampaknya...

Oh! Mula memintas Cardiff...

Alamak! Kembali dipintas...

Ketinggalan 20 mata

Kembali menghidupkan peluang

Tamat masa: terikat mata 210:210, fuhh!

Soalan penentuan, siapa jawab betul automatik menang, dan sebaliknya

Cardiff 210 mata....

Brookes? Hahaha....220! Way to go!

Apapun, ini merupakan pusingan awal UC. 'Big Guns' (kolej-kolej Oxford, Cambridge, Manchester, King College, UCL, etc) masih belum betul-betul muncul. Walaupun tiada harapan tinggi disandarkan buat Brookes, sekurang-kurangnya kami masih berpeluang menyaksikan persembahan mereka lagi selepas ini....