Saturday 30 January 2010

Lagi julang keris

Ketika beberapa isu sensitif masih belum dapat dirungkai dan dicari penyelesaiannya, tindakan Tun ini terus menimbulkan tanda-tanya kepada saya.

BBCTwo: A History of Christianity

Sekarang ini setiap petang Sabtu, kami akan terpacak di hadapan TV, menonton BBCTwo yang menyiarkan rancangan 'A History of Christianity'.

Ada dua sebab kami menontonnya, pertama disebabkan kami gemarkan kisah sejarah (dalam bentuk visual). Bila lagi berpeluang menonton rancangan yang disunting sebegini baik?

Kedua, kami ambil pengajaran bahawa seseorang ilmuan, khasnya insan yang digelar Professor, wajar melakukan sesuatu seperti yang ditonjokan oleh pengkaji dan pengacara rancangan ini, Prof. Diarmaid MacCulloch dari Universiti Oxford.

Dengan segala 'ketinggian ilmu' yang dimiliki, seorang yang bergelar Professor boleh menjalinkan kerjasama dengan badan kajian antarabangsa/ternama, menjalankan penyelidikan dan 'menerbitkan' hasil kajiannya di kaca TV. Baru manfaatnya dirasai masyarakat terbanyak.

Terdapat 6 siri keseluruhannya, dan petang ini ia telah memasuki siri ke-3. Indahnya pengembaraan beliau ini, bukan hanya mengupas sejarah dan asal-usul agama Kristian, tetapi bagaimana Islam memainkan peranan yang amat signifikan di dalam mencorakkan sejarah Kristian itu sendiri.

Di bawah ini sekadar berkongsi beberapa foto yang saya ambil sendiri. Selanjutnya, para pembaca yang berminat boleh mengaksesnya di sini (klik).











Sekian dan selamat berhujung minggu.

Thursday 28 January 2010

Bacaan umum: Mengapa Yahudi begitu berkuasa?

Sumber (sini), jika tidak dapat mengaksessnya, lihat pula (sini).

Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian. Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Alert Sabin membangunkan vaksin polio hidup yang lebih baik. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis.

Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz memenangi Hadiah Nobel kerana kajian beliau mengenai transmisi neuromuskular. Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis).

Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia). Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga secara oral yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Kenapa Yahudi begitu berkuasa? Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.
Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah seorang Yahudi.

Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan.

Artikel ini ditulis oleh Dr. Farrukh Saleem, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan. Artikel asal beliau ditulis dalam Bahasa Inggeris boleh dibaca di Why Are Jews So Powerful?

Dr. Sepet: Melayu pula? Mengapa orang Melayu lemah?

Mungkin: Sebabnya, Melayu kini tidak lagi memandang pendidikan itu penting. Ramai Melayu nampaknya cenderung untuk suka berkhayal mengenai hiburan (nak jadi penghibur, penyanyi, menghabiskan wang dengan sms program realiti TV, mengumpul majalah hiburan, etc). Sedangkan aspek-aspek penting seperti perniagaan, sains dan teknologi (mahupun hal keagamaan) telah dikuasai bangsa lain yang nampak pendidikan itu sebagai ibu kunci kepada kuasa dan kejayaan.

Wednesday 27 January 2010

Dilema Menjadi Doktor

Akhbar hari ini melaporkan saranan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, a.k.a Presiden PPP yang 'disangsikan' statusnya, Senator Datuk T. Murugiah agar kerajaan mengkaji tempoh perkhidmatan para doktor dengan kerajaan (ikatan kontrak wajib) dari amalan semasa, 3 tahun, dipanjang kepada 5 hingga 10 tahun.

Ianya memandangkan ketika ini negara secara kasarnya masih menghadapi masalah kekurangan doktor iaitu sekitar 5,000 orang (tahun 2009).

Menurut beliau lagi, rekod lampau menunjukkan ramai para doktor hanya berminat untuk memenuhi syarat perkhidmatan mereka dengan kerajaan, iaitu 2 tahun untuk housemanship (latihan) dan baki 3 tahun lagi untuk khidmat wajib.

Selepas itu, mereka akan meninggalkan sektor perkidmatan awam untuk sama ada menyertai sektor swasta atau membuka klinik mereka sendiri.

Gaji = beban tugas = tidak setimpal?

Seringkali kita dengar antara alasan utama para doktor hanya merelakan diri mereka bekerja di hospital kerajaan adalah kerana syarat wajib terbabit.

Sejurus memenuhi tempoh yang disyaratkan, mereka akan angkat kaki, untuk mendapatkan bayaran/gaji yang lebih besar yang ditawarkan sektor swasta.

Langkah mereka untuk mencari kehidupan yang lebih selesa ini bagaimanapun tidak sepenuhnya difahami masyarakat.

Di sebelah pihak, mereka (doktor yang angkat kaki) sering dipersalahkan oleh masyarakat kerana hanya mementingkan diri sendiri, melebihi tuntutan terhadap masyarakat dan negara.

Ini kerana untuk jangka panjang, negara akan rugi kerana sentiasa hilang modal insan dalam sektor kritikal seperti kesihatan ini.

Dari sudut mikro, kualiti perkhidmatan di hospital kerajaan kelak akan semakin dipersoal memandangkan ramai 'doktor pakar' iaitu mereka yang berpengalaman luas, telah angkat kaki ke sektor swasta atau persendirian.

Justeru, adakah jurusan kedoktoran kini telah semakin hilang nilai-nilai murninya, dan lebih mementingkan aspek material dan individualistik?

Rintihan

Namun, pernahkah kita cuba meluangkan sedikit masa untuk bersembang dan mendengar luahan hati dan perasaan seorang doktor?

Adakah mereka-mereka ini 'dengan sengaja' atau 'suka-suka' untuk meninggalkan tugasan mereka dengan hospital kerajaan?

Daripada perbualan saya dengan seorang rakan yang juga doktor tidak lama dahulu, beliau turut menghadapi dilema sebegini.

Katanya, kadang-kala kita perlu buat sesuatu yang masyarakat mungkin tidak suka. Tetapi kita terpaksa.

Kita juga ada tanggungan dan hutang (rumah, kereta, etc) yang perlu dibayar. Dengan gaji semasa, ianya tidak banyak membantu. Jika peluang itu ada (ke sektor swasta) dan ianya bukan dianggap salah dari segi undang-undang, mengapa tidak mencuba?

Sebagaimana ramai lagi kakitangan awam, kami juga perlukan pembelaan dalam usaha kami memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Tambah baik suasana kerja

Tidaklah saya tahu akan situasi kerja para doktor kerajaan. Namun, daripada sembang dengan rakan-rakan di sini (UK), saya dapat tahu seba-sedikit cara kerja para doktor di sini.

Bagi mengekalkan fokus terhadap masalah pesakit, setiap doktor hanya dibenarkan untuk memberikan konsultansi kepada pesakit dalam jumlah tertentu. Contohnya 60 orang seminggu (atau 10 orang sehari).

Dengan cara ini, para doktor tidak perlu terkejar-kejar dan akhirnya mereka mengalami masalah 'mental fatigue' - keletihan minda, hingga boleh memberikan rawatan/ubat yang salah kepada pesakit.

Justeru, selain bercadang untuk memanjangkan lagi tempoh perkhidmatan doktor muda dengan hospital kerajaan, kerajaan sendiri perlu melihat semula pelbagai tuntutan doktor agar mutu perkhidmatan dapat ditambahbaik, dan doktor sendiri merasa seronok untuk kekal di sektor awam.

Ayam @ telur?

Kini ada dua perkara perlu dipertimbangkan.

Mendahulukan khidmat kepada negara dengan kekal di sektor awam, atau mencari pendapatan lebih lebat di sektor swasta.

Adakah faktor materialistik (gaji) menjadi faktor utama untuk meninggalkan hospital kerajaan, atau kepuasan kerja yang dicari?

Persoalan-persoalan ini saya rasa akan terus diperdebat dan diperbincang selagi tiada makenisma yang berkesan dapat dibentuk dan dipersetujui kementerian dan para doktor terlibat.

Apapun permintaan terhadap bidang perubatan sentiasa tinggi. Janganlah disebabkan hal-hal dan 'hajat' Murugiah ini akan membantutkan minat adik-beradik kita dan anak-anak kita untuk bangga menyatakan cita-cita mereka:

"Saya nak jadi doktor bila saya besar nanti!"

Sekian.

Tuesday 26 January 2010

Marilah mari, mari mengundi

Pengundian awal pulak

Beberapa hari lepas saya terbaca mengenai cadangan (di peringkat kajian) oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi mewujudkan apa yang dipanggil sistem pengundian awal, pada Piliharaya Umum dan Pilihanraya Kecil yang akan datang.

Cadangan bagi mewujudkan sistem ini dikatakan mungkin bagi menggantikan sistem Undi Pos yang sedang digunapakai SPR ketika ini.

Jika ianya diterimapakai, sistem ini akan berfungsi dalam tempoh bertenang semasa kempen sedang berlangsung.

Ianya akan melibatkan anggota keselamatan, doktor, jururawat, pemberita, juruterbang dan kakitangan penerbangan (yang terbang) - nampak seperti mereka-mereka ini terlibat dengan bidang kritikal dan yang sukar bercuti atas sebab tugasnya begitu (nature of work).

Bangkangan

Walau bagaimanapun, cadangan (perancangan) SPR ini awal-awal lagi telah mendapat bangkangan terutama daripada para pimpinan Pakatan.

Seolah-olah langkah yang direncanakan ini bukanlah langkah positif yang PR harapkan daripada protes mereka selama ini - terhadap pengekalan sistem undi pos.

Ini kerana secara amnya, sistem undian awal dan sistem undi pos seakan-akan sama.

Melalui kedua-dua sistem ini, pengundi perlu membuang undi lebih awal. Malah, kumpulan pengundinya juga hampir sama.

Justeru, apa yang boleh diharapkan dari 'cadangan penambahbaikkan' ini?

Celup jari

Sebelum PRU ke-12 yang lalu, kita dihebohkan seketika dengan cadangan penggunaan dakwat kekal bagi mengesahkan pengundi yang hadir membuang undi.

Namun, ianya dibatalkan atas alasan wujud keraguan dan kemungkinan berlaku manipulasi terhadap penggunaan dakwat terbabit. Akhirnya kaedah konvensional dikekalkan.

Adalah tidak jelas sebab pembatalan tersebut dibuat. Ini kerana secara logiknya siapa yang ingin menipu dengan 'telah' mencelup jarinya? Semestinya ramai yang berebut untuk tidak mencelup jari kerana tiada peluang untuk mengundi beberapa kali di tempat yang berlainan.

Apapun, isu mengenai penggunaan dakwat pada jari hanya menjadi hangat-hangat tahi ayam (sebagaimana biasa). Selepas PRU, segalanya fokus kepada perkara yang lain.

Daftar

Apa yang penting kepada SPR, dan parti-parti politik adalah memastikan golongan yang telah layak menjadi pengundi, mendaftar diri mereka sebagai pengundi.

Dengan segala teknologi dan kecanggihan yang ada, adalah tidak menjadi beban buat SPR untuk membersihkan senarai daftar pengundi.

Parti politik juga perlulah menyelitkan di dalam kempen masing-masing, bukan sahaja untuk menarik keahlian baru, malah memastikan diselitkan kempen untuk mendaftarkan ahli baru sebagai pengundi yang sah.

Adalah suatu kerugian jika ahli parti ramai, tetapi ahli parti yang layak untuk mengundi adalah rendah. Makanya, parti sukar menang dalam pilihanraya.

Justeru, bagaimana untuk menjadi 'juara rakyat' jika masih ramai ahlinya tidak dikempen untuk menjadi pengundi?

Ini kerana bukan mereka (parti) yang menentukan diri mereka 'juara', sebaliknya rakyatlah yang menentukan siapa 'juara' melalui undi-undi yang dibuang!

Sunday 24 January 2010

Adab ber'blog': Berani buat, beranilah tanggung

Hari ini media arus perdana dan alternatif, termasuklah akhbar dalam talian (online) dan blog heboh dengan laporan mengenai penulisan menghina institusi raja di sebuah blog.

Secara spesifiknya blog ini (adukataruna).

Terlajak perahu boleh diundur,
Terlajak kata (termasuklah penulisan) badan binasa.

Buat penulis, ataupun pengendali blog terbabit, selamat maju jaya saya ucapkan buat saudara dengan perkembangan yang bakal saudara lalui selepas ini.

Betul ni, 'selamat' saya ucapkan.

Biarpun saudara merasakan apa yang ditulis di blog saudara itu merupakan pandangan, pegangan mahupun ideologi atau apa-apa sajalah yang wajar saudara pertahankan, namun, saudara juga perlu sentiasa ingat bahawa secara realitinya, tiada istilah 'kebebasan mutlak'.

Sebagai insan, kita semua boleh menyuarakan pendapat. Namun, kita masih terikat kepada etika, adab dan yang paling penting perlu ada kesedaran bahawa adanya tuhan yang melihat segala tindak-tanduk kita.

Ianya bagi mengelakkan timbulnya salah guna (abuse) media maya (seperti blog), yang akhirnya membawa kepada timbulnya salah faham di dalam menyebarkan maklumat dan berita, hingga boleh mendatangkan kemudaratan, kekeliruan dan mengganggu sensitiviti majoriti orang di dalam masyarakat.

Jika sebagai blogger kita tidak nampak keperluan menjaga etika (dalam menulis dan menyampaikan maklumat), maka jadilah perkara seperti sekarang ini.

Sekali artikel yang bodoh seperti yang dilaporkan hari ini diterbitkan (dan biarpun ianya ditarik balik dan dibuang), rekod pada sistem masih ada dan ianya dengan mudah dapat diperoleh semula untuk dijadikan bahan bukti (pendakwaan).

Tambah malang lagi, jika ada pengguna lain yang telah membuat 'save as' atau 'copy n paste'.

Malang tambah berganda jika artikel terbabit disebarkan pula untuk menambah keliru dan kacau-bilau di dalam masyarakat.

Seharusnya, penulisan kita hendaklah membantu menambahbaik kefahaman para pembaca, bukannya menjadi medan menyemai rasa benci dan lain-lain perbuatan yang tidak mencerminkan nilai kehidupan yang baik - yang disuruh agama.

Berfikirlah habis-habis sebelum menerbitkan apa jua artikel di blog, biarpun ianya hak masing-masing untuk menyuarakan pandangan.

Juga, menulislah dengan beradab. Ini kerana tiadalah kita mampu untuk mengadap Allah nanti dengan membawa dosa dengan beribu-ribu orang, hasil laporan kita (di blog) yang tidak tepat.

Buat baik beribu kali orang susah nak ingat,
Tapi buat jahat sekali orang akan kenang sampai bila-bila.

Namun, jika ingin juga menduga langit itu tinggi ataupun rendah, dipersilakan dengan syarat:

Berani buat, beranilah tanggung!

Friday 22 January 2010

Kemangkatan Sultan Johor

DALAM KENANGAN:

sumber

sumber: sini

Al-Fatihah. Berita penuh boleh dibaca di (sini).

Nota kaki: Saya bukanlah anak jati Johor namun Johor dekat di hati saya. Saya bersekolah di Muar, dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di UTMJB hingga ke peringkat MSc. Tendang-terajang dekat 8-9 tahun juga di Johor. Segala urusan baik persemadian mahupun pertabalan Sultan Johor yang baru berjalan dengan lancar. Harap negeri Johor akan kekal aman, dan Malaysia juga akan kekal aman sebagaimana biasa.

Words of the day

33. O mankind! Keep your duty to your Lord and fear a Day when the parent will not be able to avail the child in anything, nor the child to avail the parent. Allah's promise is the very truth. Let not the life of the world deceive you, nor let the deceiver deceive you, in regard to Allah

34. Allah! With Him is knowledge of the Hour. He sends down the rain, and knows that which is in the wombs. No soul knows what it will earn tomorrow, and no soul knows in what land it will die. Allah is Knower, Aware.

Surah 31: Luqman

Source: The Meaning of The Glorious Qur'an. An Explanatory Translation by Muhammad Marmaduke Pickthall. New Modern English Edition. Islamic Dawah Centre International, Birmingham, UK.

Thursday 21 January 2010

Indahnya negeriku





nota: sebahagian foto-foto perjalanan ke negeri Terengganu sekitar Oktober 2009 yang lalu.

Hukum Merokok




nota: Sekadar berpesan-pesan akan kebenaran

Saja-saja



nota: Dr Sepet belanja makan malam di CP bersama bekas pelajar beliau sewaktu kunjungan ke UTMJB, Oktober 2009 yang lalu.

Wednesday 20 January 2010

Iktibar dari pengambilalihan Cadbury

Kembali dijajah selepas 179 tahun!

Salah satu isu hangat yang sedang diperdendangkan di media massa di UK ketika ini ialah berkaitan pengambilalihan syarikat (kini bekas syarikat) pembuat dan pengeluar coklat terkemuka dunia dari Britian, Cadbury oleh gergasi pengeluar produk berasaskan tenusu dari Amerika, Kraft Foods (Sumber -sini).

Isu pengambilalihan ini hangat dibincang dan dibahas sehingga fenomena gelombang ke-2 salji sudah seperti kurang mendapat perhatian masyarakat.

Umum tentu tahu bahawa British a.k.a orang putih amat bangga akan sejarah, tradisi dan pencapaian lampau mereka.

Tempoh 179 tahun 'kemerdekaan' Cadbury adalah bukti kemampuan Britian menguruskan perniagaan mereka dengan baik dan mereka wajar berbangga dengannya.

Apapun, tahun 2010 semua kebanggaan itu telah berlalu pergi dan kini ianya hanya tinggal sebagai sejarah, yang akan kekal dalam lipatan sejarah.

Transaksi berjumlah £11.9bn telah mendapat reaksi bercampur-campur oleh pelbagai pihak. Rakyat British tentunya berang dengan situasi ini. Manakala, orang politik pula dilihat cuba meredakan keadaan dengan menabur 'gula-gula dan coklat' untuk memaniskan rakyat berkaitan perkara ini.

Sumber foto

Mana tidaknya, British telah 'terlepas' (dirampas) banyak tradisi, sejarah dan kebanggaan mereka kepada pihak asing, hasil perlaksanaan dasar langit terbuka.

Jika sesetengah kita di Malaysia begitu taksub dengan Liga Perdana Inggeris (EPL), ramai pemilik kelab-kelab bolasepak ini adalah billionaire dari luar, bukan lagi milik orang British.

Sekadar memberikan beberapa contoh yang saya tahu, pemilik Chelsea (Russia), Portsmouth (Arab), Man. City (Arab), Liverpool (Amerika) dan banyak lagi.

Orang British 'hantu bola' dan semua wang yang mereka belanjakan akhirnya akan menambah kaya-kan lagi orang-orang luar, pemilik kelab bola kesayangan mereka.

Nasib rakyat dan pekerja

Adalah sesuatu yang lazim apabila berlakunya pengambil alihan syarikat, penstrukturan semula organisasi merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Di antara yang distrukturkan adalah menyusun bilangan pekerja, anak syarikat, selain menilai semula bebanan hutang, R&D produk dan sebagainya.

Kesan langsung yang paling dibimbangi ramai adalah kemungkinan beribu-ribu pekerja Cadbury bakal diberhentikan, kesan daripada pengambil alihan ini.

Jika ini terjadi, adalah amat malang di kala masyarakat di sini masih belum sempat bangkit sepenuhnya daripada kemuraman ekonomi pertengahan tahun lepas - saya ada menulis artikel berkenaan krisis pekerjaan di kilang Mini Cooper, Oxford sebelum ini.

Manakala kesan terselindung pula lebih dahsyat di mana orang British tidak lagi mempunyai kuasa dan kekuatan untuk menentukan nasib mereka sendiri kerana segalanya perlu mendapat persetujuan, restu daripada pemilik barunya di Amerika.

Ianya teruk, ianya suatu bentuk penjajahan, ke atas ekonomi dan sosial sesuatu masyarakat dan negara.

Biarpun 'mereka' ini tidak menguasai kerajaan, tidak menjadi pemerintah atau bergelar menteri, keputusan dan tindakan mereka nyata lebih memberi kesan kepada sosio-ekonomi masyarakat dan kerajaan tidak mampu untuk berbuat apa-apa mengenainya.

Jika ianya terjadi (dan akan terjadi), kerajaan UK kelak kemungkinan akan dipaksa untuk bersetuju dengan apa sahaja permintaan yang dibuat oleh pelabur-pelabur kaya dan kesannya rakyatlah perlu menanggungnya.

Sekian.

Tuesday 19 January 2010

Kembali ke meja pejabat-ku

Kali pertama melangkah masuk ke pejabat setelah kali terakhir meninggalkan ruang ini pada 20hb Oktober yang lalu.

Keadaan tidak banyak berubah melainkan setiap penyelidik perlu melalui beberapa langkah keselamatan.

Setiap aksess dari luar, dalam bangunan DEM dan ke setiap bilik penyelidik perlukan kad keselamatan yang berdaftar dengan pihak keselamatan universiti.

Hal ini terjadi memandangkan wujud kegiatan mencuri barangan para penyelidik dilaporkan baru-baru ini (sewaktu saya di tanah air). Makanya, pihak universiti telah memperketatkan kawalan dan pemantauan.

Suasana dalam pejabat tidak banyak berubah. Namun, belum sempat saya lihat kelibat dua orang bekas rakan sepejabat tahun lepas kerana Andy Inch dan Nando Sigona telah menamatkan pengajian masing-masing dengan jayanya - dapat DR.

Ini yang makin semangat nak buat analisis data nih! Haha....

Apapun, berbaloilah kami menghantar Mawaddah ke pusat jagaan kanak-kanak kerana saya dan isteri dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada tugasan di sini (dia kat bilik sebelah saya je).

Suasana masih lengang kerana pelajar lain belum memulakan sesi pengajian (cuti xmas) hinggalah minggu depan.

Cuaca juga masih sejuk (1-2 degree, semalam 6 degree). Yang hampir pasti, pagi esok (Rabu sekitar jam 9.00 pagi) salji tebal sekali lagi akan menjengah perkampungan Oxford ini!

Da!

Friday 15 January 2010

Cegah jenayah di persekitaran kita

Tips menghalang jenayah seperti yang diberi oleh Polis DiRaja Malaysia .

1. Jangan biarkan anak-anak tidur di ruang tamu seorang diri (Mereka mungkin menggunakan anak sebagai tebusan).

2. Kunci atau sorokkan semua pisau-pisau yang terdapat di dapur sebelum tidur (Kesemua kes kecurian di dapati pisau hilang dan menurut polis mereka akan mencari pisau dahulu sebelum mencuri bertujuan untuk melindungi diri mereka).

3. Sekiranya terdengar/terlihat paip air di luar rumah terbuka pada tengah malam (pukul 12 ke atas), jangan keluar rumah untuk menutup paip tersebut kerana ini adalah taktik terbaru mereka di mana mereka telah
menunggu
diluar pintu rumah untuk masuk (Kes terbaru berlaku di Dungun dan PJ).

4. Beritahu anak-anak sekiranya hendak ke tandas (jika tandas jauh) di waktu tengah malam, kejutkan ibubapa untuk bersama mereka.

5. Jangan simpan barang-barang kemas di dalam almari baju (Cara lama...).

6. Bawa alarm kereta bersama semasa tidur, kalau terjaga tengah malam,
cuba "on and off" kan balik untuk menakutkan pencuri (Menandakan kita sentiasa peka).

7.. Tekan butang merah alarm kereta anda jika anda mengesyaki pencuri sudah masuk ke dalam rumah.

8. Sekiranya terlihat orang asing yang mencurigakan di kawasan rumah anda, sila dapatkan plet no motor/kereta mereka (Selalunya mereka ini naik motor dan mereka ni biasanya berdua, setiap kali kita lalu depan
mereka, mereka akan menundukkan kepala).

9. Pesan dengan jiran, sekiranya ada sesiapa yang datang ke rumah anda dan mengaku saudara anda bertujuan untuk mengambil barang-barang, jangan benarkan, beri nombor telefon pejabat kepada jiran supaya mereka boleh memaklumkan pada anda.

10. Semasa tidur, pastikan handphone anda berada di sisi atau pastikan juga Cordless Phone anda berada di sisi anda ataupun sambungkan satu extension dalam kamar tidur anda. Ini memudahkan anda membuat
panggilan kecemasan sekiranya anda terasa kehadiran pencuri di dalam rumah anda.

11. Adakan senarai nombor telefon kecemasan 999 seperti polis, bomba , 991 atau sebagainya. Pastikan nombor-nombor ini disimpan dalam handphone anda. Kalau boleh, hafal nombor tersebut. Ini memudahkan
anda untuk membuat sebarang panggilan telefon.

12. Kalau berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau automatik alarm.

13. Lampu porch & lampu belakang rumah sebaiknya jenis automatik ,ia akan menyala bila malam, baik semasa kita ada di rumah atau pergi makan angin.

14. Kalau perlu mengambil cuti panjang,sentiasa memberitahu jiran2 anda supaya mereka dapat membantu menyimpan
surat dlm mail box. Peti surat yg penuh membantu pencuri menghidu ketiadaan tuan rumah.

15. Kalau kawasan anda kerap berlaku kecurian, buat permohonan rasmi dari Balai Polis berdekatan supaya ada anggota polis buat rondaan yang kerap di kawasan anda.

16. Kereta PROTON merupakan kenderaan yang paling mudah dicuri. Kalau kereta anda baru dibeli, sekurang-kurangnya
anda perlu mengunci gear & stering sebelum tidur (Sebenarnya masih boleh dicuri, tetapi ia dapat membantu melambatkan pencuri).

17. Kalau ada anak-anak perempuan, sebaik-baiknya pintu biliknya dikunci dari dalam (Sebab ada pencuri yg mengambil kesempatan seksual) dan anda perlu ada kunci pendua sekiranya berlaku kebakaran.

18. Sekurang-kurangnya simpan kayu hoki atau baseball di bawah katil anda buat mempertahankan diri dari pencuri yang ganas.

19. Jangan letak kunci bawah pasu bunga/mail box/alang pintu/tepi tingkap bila keluar (Pencuri dah lama tau taktik ni...). Lebih selamat beri pada jiran yang kita kenal rapat.

20. Kalau menyewa di rumah baru, pastikan anda menukar padlock baru,kerana mungkin penyewa terdahulu
masih mempunyai kunci pendua.

21. Kurangkan pendedahan dan pergaulan anda dengan pekerja asing.

Ibu bakar diri kerana marah anak meninggal

NIBONG TEBAL: Ibu tujuh anak yang membakar diri kerana marahkan anak perempuannya dengan mencurah petrol ke badannya minggu lalu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar malam tadi.

Rossliana Rosli, 32, yang terbakar 54 peratus dalam kejadian Sabtu lalu meninggal dunia jam 8.30 malam.

Sumber: BeritaharianOnline

Dr. Sepet: Beringat-ingatlah kita.

Program kuruskan badan: Boleh jadi ke?

Sekarang ni ramai orang begitu obses dengan bentuk badan yang kurus dan ramping (kan). Tidak kira di mana jua, termasuklah di UK ini, banyak program dan rancangan TV berbentuk sebegini dipaparkan.

Ada program yang menekankan keperluan untuk menurunkan berat badan adalah bagi tujuan kesihatan, dan tidak kurang juga yang ingin kelihatan cantik, lebih berjaya dalam kerjaya dan mendapat pasangan hidup.

Berjangkit dengan fenomena 'The Biggest Loser', saya dan isteri telah sedikit demi sedikit mula menggerakkan langkah ke arah mengurangkan (sedikit) saiz badan.

Bukan untuk tujuan kesihatan, mahupun ingin kelihatan cantik menawan, tetapi sekadar untuk menguji hipotesis: tidak makan malam boleh mengurangkan berat badan.

Dan telah hampir 2 minggu kami tidak makan malam (tidak ambil nasi). Harapnya kami dapat teruskan habit ini untuk tempoh 2 bulan yang akan datang.

Selepas itu, perhitungan a.k.a timbang berat badan akan dijalankan untuk (i) mengesahkan hipotesis, atau (ii) menolak hipotesis tersebut.

Buat masa ini habit tidak memasak dan makan malam dapat diteruskan memandangkan waktu siang yang singkat (Isyak masuk jam 6.20 petang). Sebab itulah kami ingin cuba untuk 2 bulan dulu.

Satu lagi, selain tidak makan malam, mungkin kami juga patut menjaga pemakanan di waktu pagi dan makan tengahari kerana kalau makan banyak sangat pun rasanya tidak akan memberikan kesan sebagaimana yang diharapkan.

Persoalan, "who will be the biggest loser?" Hanya akan diketahui bulan Mac ini. Dan persoalan "siapa yang akan menyorok alat timbang berat badan pada hari timbang" juga akan dapat diketahui kelak.

p/s: Di Malaysia ramai orang (muda) obses ingin nampak putih dan berkulit 'muka' yang cerah - "ukurlah sendiri". Muka cerah sebab kena kanser kulit, tapi lengan dan leher berbalam-balam je...macam mane tuh?

Thursday 14 January 2010

Oh Kelantan...

Agak lama saya tidak meluangkan masa menjengah blog-blog politik. Banyak waktu hanya digunakan untuk melayari laman-laman berita online sama ada milik media kerajaan BN, mahupun milik kerajaan PR, bagi mendapatkan perkhabaran semasa apa yang berlaku di tanah air.

Tapi petang ini saya tergerak nak mendekati beberapa blog politik untuk 'mengambil tahu' gosip dan isu semasa.

Ter'klik' pautan ke blog kickdefella - yang hangat kes kediaman/kenderaan beliau dibaling kapak baru-baru ini (ada foto kapak tu kat blog dia).

Blog beliau ini sarat dengan artikel politik, terutama berkaitan negeri Kelantan. Banyak sampai malas saya nak baca. Makanya saya hanya sempat baca artikel terkini beliau sahaja iaitu 'Rakyat Kelantan Kehilangan RM50juta' - akibat tindakan menantu TGNA.

Kuasa

Kemuncak politik adalah kuasa. Dengan kuasa (untuk memerintah) ianya boleh membawa sesebuah negeri dan negara itu ke arah (i) baik dan berkebajikan, atau (ii) korup dan merosakkan.

Politik PAS amat kuat di Kelantan, justeru, PAS yang memegang kuasa untuk memerintah negeri.

Dengan kuasa yang ada, pelbagai pihak akan mendekati PAS sama ada secara ikhlas atau terselindung, bagi mendapat keuntungan daripada kuasa yang PAS miliki.

Pihak-pihak dan individu terbabit kemudiannya ditempatkan ke dalam sistem pentadbiran dan ada di kalangan mereka diberikan kuasa membuat keputusan.

Keputusan yang bakal membawa kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS ini ke arah yang (i) atau yang ke (ii).

Menjawab dakwaan

Kisah berkenaan menantu TGNA yang juga CEO PMBK ini selalu juga saya dengar. Maaf kata, daripada kisah yang saya dengar, banyak yang tidak baik dari yang baik tentang menantu beliau ini.

Saya dengar sahaja, tidaklah saya mengiyakan semua kisah tersebut.

Namun, artikel terbaru (setakat hari ini) pada blog sheikh ini saya rasa wajar diteliti pihak pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Para pembaca boleh meneliti artikel tersebut di (sini) dan foto salinan kontrak perjanjian yang terbabit di (sini).

Dakwaan (bukanlah tohmahan, kerana ada bukti) sebegini adalah berat bahkan jika ianya tidak segera ditangani, bakal memberikan implikasi yang besar terhadap imej dan kepimpinan PAS Kelantan, yang mendokong pentadbiran berteraskan ulama'.

Diharap akan ada para pemimpin kerajaan Kelantan yang akan tampil untuk menjelaskan (jika tidak ingin menyangkal) dakwaan ini supaya rakyat Kelantan khususnya, tidak terkeliru dan kebenaran dapat dikembalikan.

Sapu sana, sapu sini

Di dalam amalan berpolitik hari ini, tiada yang bersih.

Ada yang nampak 'macam' bersih (terutama sebelum dapat kuasa), tetapi sayang, terpalit juga akan tempias kotor itu setelah memegang kuasa.

Kuasa boleh merubah segalanya. Dengan kuasa, orang, wang dan segala perbendaharaan menjadi kawalan si penguasa.

Jika di peringkat pusat, para pemimpin BN, MP dan ADUN mereka didakwa mengamalkan rasuah, hingga dilabelkan mantan PM Tun Mahathir sebagai 'parti yang semakin reput dan membusuk' dengan rasuah, sindrom yang sama juga terjadi kepada pemegang kuasa di sebelah sana (PR).

Nampaknya kini masing-masing pihak perlu sentiasa memegang penyapu, untuk menyapu keluar dan membersihkan parti masing-masing daripada pengamal korupsi dan rasuah (salah guna kuasa).

Jika malas nak menyapu, parti akan terus dilihat kotor oleh rakyat dan nantilah nasib masing-masing pada PRU ke -13 kelak. Atau lebih malang, sebelum PRU berlangsung lagi!

Pasca COP15 dan nasib alam sekitar - bahagian 1

Kegagalan COP 15

Adalah sesuatu yang menghampakan setelah membaca laporan liputan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 (COP15) yang berlangsung sejak 7 Disember 2009 yang lalu di Bella Center, copenhagen, Denmark.

Sidang yang disertai kira-kira 192 negara dunia itu bukan sahaja berakhir tanpa sebarang persetujuan yang bermakna - melainkan satu 'deklarasi bersama' yang (kononnya) dicapai melalui 'kesepakatan' (kononnya lagi) lima negara iaitu AS, China, Brazil, Afrika Selatan dan India.

Malah, langkah yang kabur yang dicapai (kononnya itu) juga turut membuatkan baki 187 negara meninggalkan Copenhagen dalam keadaan yang terpinga-pinga kerana mereka seolah-olah terpaksa bersetuju dan menurut sahaja 'deklarasi bersama' yang tidakpun dikeluarkan kepada media malam hari terakhir tersebut.

Mereka (negara mundur dan membangun) sedar akan hakikat mereka tiada pilihan.

Biarpun pada awalnya ramai pemerhati meramalkan COP 15 bakal membawa angin perubahan yang diinginkan, khasnya oleh negara mundur dan membangun ,kerana komitmen oleh Presiden Obama, tanggapan tersebut ternyata silap dan tersasar.

(nota: di bawah Presiden Bush selama 8 tahun, AS tidak menyertai Sidang Kyoto dan mengabaikan isu besar berkaitan perubahan iklim)

Selain meneruskan sikap 'tradisi' AS yang keras kepala terhadap gesaan masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan memelihara persekitaran dan membantu merendahkan suhu dunia, Presiden obama sebaliknya bertindak menyelar sikap suka menyalahkan negara membangun terhadap negara maju yang dicop sebagai punca pencemar.

Sandiwara berpanjangan AS ini bukan sahaja telah menggagalkan insentif murni ke arah menghalang peningkatan suhu dunia akibat ketiadaan kawalan ke atas kadar pengeluaran gas karbon dan aktiviti industri yang mencemarkan alam, malah meneruskan tanda tanya masyarakat dunia terhadap komitmen sebenar negara-negara maju terhadap sidang sebegini pada masa hadapan.

Rentetan daripada kegagalan sidang ini, ramai pakar alam sekitar berpendapat usaha ke arah mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang sebenar, adalah sukar dicapai.

Ini memandangkan rumusan sidang tidak menyatakan sesuatu tindakan yang bersifat 'mengikat' - tiada target yang jelas untuk dicapai. Kesannya, tiada pihak (terutama negara kaya sendiri) yang akan menyatakan komitmen yang berkesan bagi menangani masalah penyediaan kos tambahan bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.

Kesungguhan politik sahaja dilihat tidak mencukupi bagi dunia mencapai cita-cita untuk mengurangkan peningkatan suhunya sebanyak 2 degree (atau 1.5 degree), tanpa mencapai suatu persetujuan yang mengikat dan disertai dengan komitmen untuk bertindak di peringkat negara masing-masing.

Telah tiba masanya (sebenarnya patut sudah lama dahulu lagi) bagi PBB untuk memperbaiki kelemahan ini.

Sidang akan datang perlu dipastikan bukan lagi menjadi medan buat Kesatuan Eropah (EU) untuk mengetengahkan wawasan mereka, mahupun medan menabur janji manis dalam bentuk komitmen politik khasnya negara-negara kuasa besar dunia.

Kegagalan kita (maju dan membangun) untuk bekerjasama dan merungkai polimek yang berpanjangan ini bakal menjuruskan dunia dan persekitaran generasi anak-cucu kita kelak ke arah kemusnahan dan masa depan yang penuh dengan ketidaktentuan.

Try this one!

Nick Jonas and the Administration - "Who I Am"

Dr. Sepet: Beautiful song!

Tuesday 12 January 2010

Pilih ketua murid ala pilihanraya

Saya secara peribadi bersetuju dengan pandangan yang diutarakan oleh Timbalan Pengerusi SPR mengenai tindakan SPR Wilayah Persekutuan mengadakan sessi pemilihan ketua murid ala pilihanraya di Sek. Keb. TTDI 1, Kuala Lumpur hari semalam.

Ulasan beliau dapat dibaca lanjut di sini (klik).

Terdapat kewajaran di sebalik hujah beliau yang membuatkan saya tertarik. Di antara perkara pokok adalah perlunya pihak SPR mendahulukan pendedahan mengenai sistem pemilihan dan piliharaya kepada golongan mahasiswa di kampus-kampus.

Mereka adalah kumpulan sasar yang sangat penting untuk diberi pendedahan dan kesedaran. Ia bukan sahaja disebabkan mereka menghampiri umur untuk mendaftar sebagai pengundi muda pada PRu ke-13 kelak, malah melalui pendedahan sebegini mampu menggalakkan minat mereka terhadap proses dan amalan demokrasi di Malaysia.

Seringkali kita dengar dan baca pelbagai keluhan daripada mahasiswa di pelbagai bentuk media apabila tiap kali tibanya musim Pilihanraya Kampus (PRK).

Mahasiswa tiada ruang untuk berkempen, berucap di khalayak, kekangan pentadbir universiti, ugutan penggunaan AUKU dan sebagainya.

Akhirnya, kumpulan-kumpulan mahasiswa beralih kepada corak dan fahaman parti-parti politik di luar kampus. Ada yang secara terang cenderung menyokong parti siasah tertentu, dan ada yang bergerak secara berselindung di sebalik aktiviti badan bukan kerajaan.

Akibat kurang ruang untuk mahasiswa terkehadapan di persekitaran dalam kampus, makanya ada sekumpulan mereka yang bertindak 'melepas perasaan' dengan menyertai rali atau tunjuk perasaan anjuran pihak di luar.

Akhirnya, mahasiswa dicap sebagai anti pemerintah atau juga golongan yang fanatik kepada ideologi tertentu yang tidak selari dengan aspirasi pentadbiran universiti.

Kemudiannya, pelbagai kawalan ketat mula dilakukan terhadap persatuan mahasiswa dan perancangan aktiviti yang mereka jalankan. Peruntukan untuk aktiviti persatuan juga semakin dipantau pihak universiti.

Masalah dan kesulitan ini menerima reaksi yang berbeda di kalangan mahasiswa. Ada yang menjadi semakin tegar dan aktif menggunakan saluran alternatif bagi membawa suara mahasiswa. Ada juga yang mengambil jalan untuk tidak mengambil tahu hal-hal berkaitan berpersatuan dengan menumpukan perhatian kepada bercinta dan berawek sahaja (belajar pun tak ke mana juga).

Maka, adalah wajar bagi pihak SPR di masa hadapan untuk menjadikan kawasan kampus dan universiti terutama ketika musim Piliharaya Kampus, sebagai gelanggang untuk mendedahkan mahasiswa akan perjalanan dan proses sebenar pilihanraya di tanah air.

Barulah tidak timbul lagi kempen-kempen mendaftar pengundi baru dan dengan kesedaran yang ada mungkin etika kempen semasa PRU ke-13 kelak bertambah baik.

Monday 11 January 2010

Guna cacing untuk menipu

"akan ku cari kau biar ke lubang cacing sekalipun!"

Mungkin itu ungkapan yang sesuai untuk saya gambarkan perasaan hiba, terkilan, geram dan marah para pelabur skim penternakan cacing, yang ditipu di siang hari oleh syarikat pengelola pelaburan mereka, baru-baru ini.

Berita penuh dapat dibaca di sini (klik).

Dianggarkan sebanyak RM30 juta (GBP5 juta) wang pelaburan ahli yang berjumlah kira-kira 3000 orang itu telah dilarikan si 'penyacing' ke lubang cacing - hingga kini masih gagal dikesan.

Macam-macam taktik yang digunakan orang sekarang untuk menipu. Teringat saya akan istilah TOTO - Tolong Orang Tipu Orang.

Insentif pelaburan seperti ingin menolong orang untuk menjadi kaya (senang dari sebelumnya), tapi berakhir juga dengan menipu orang.

Ingatkan syarikat pemaju perumahan sahaja yang menipu para pembeli rumah dengan menyediakan rumah tanpa atap dan CF, atau syarikat MLM yang memerah keringat orang dibawah, kini si cacing pula dijadikan 'umpan' bagi memancing mangsanya.

Yang menyedihkan adalah ada sebilangan pelabur tersebut telah menggunakan wang simpanan hari tua (life savings) mereka seperti golongan pesara dan orang kampung, semata-mata inginkan pendapatan yang bakal menyenangkan sedikit kehidupan hari tua kelak.

Tidak kurang juga ada pelabur yang masuk ke dalam skim berkenaan melalui pinjaman wang dengan saudara -mara, setelah berbuih-buih untuk meyakinkan mereka membenarkan wang mereka (mungkin simpanan mereka) diberi pinjam buat si polan tersebut melabur.

Lebih 'nazak' lagi jika ada di kalangan peserta skim tersebut yang telah terlanjur membuat pinjaman ah long Bukit Tak Beruntung (loan shark), yang semestinya mereka pula akan diburu hingga ke lubang cacing selepas ini!

Rompakan di siang hari seperti ini wajar ditangani segera oleh pihak yang berwajib seperti SSM, unit jenayah perdagangan, kementerian pengguna dan sebagainya untuk mengheret individu utama ke muka pengadilan, dan seterusnya mengembalikan semula kesemua wang yang dilaburkan.

Mungkin dengan komitmen pelbagai pihak akan mewujudkan tekanan buat di pencuri ini bak kata pepatah, seperti cacing yang kepanasan - panas sebab buat banyak dosa.

Tentunya nilai RM10,000 atau RM100,000 masih kecil di mata orang-orang kaya, tetapi kepada orang kampung, golongan pesara, ibu tunggal dan kakitangan kerajaan yang sebelum ini cermat menabung, ianya suatu jumlah yang cukup besar. Ianya simpanan sepanjang hayat.

Bayangkan jika wang pelaburan mereka dilarikan, bagaimana dengan masa depan mereka, anak-anak, perbelanjaan dan hutang mereka? Mampukah mereka berhadapan dengan kecaman dari saudara-mara sendiri yang setiap hari datang menagih hutang?

Kepada anda di luar saya yang banyak wang tetapi tidak tahu ke mana hendak dilaburkan, pesan saya, siasat dulu potensi sesuatu syarikat pelaburan itu, kekuatan kewangan dan jaminan pelaburan yang ditawarkan.

Ini kerana kadang-kala musang boleh berbulu ayam.

Saturday 9 January 2010

Kejiranan yang hilang


Untuk cerita lanjut sila klik (sini). Barangkali itu ujian dari Allah Yang Maha Berkuasa ke atas umat Melayu-Islam di tanah air hari ini.

Kejadian jenayah, tidak kira menyamun, merogol, kerap berakhir dengan pembunuhan ke atas mangsa dan kematian si pelaku di tangan pihak berkuasa.

Masih belum sejuk pun kisah pembunuhan kejam di Gemencheh, N9, kita dikejutkan pula dengan kematian sekumpulan penyamun dalam siri tembak-menembak dengan pihak Polis, yang melibatkan penggunaan bom tangan oleh penjenayah!

(Bercakap tentang bom. Baru-baru ini pihak polis telah berjaya menangkap beberapa suspek di Kelantan kerana menjadikan kediaman terpencil mereka sebagai tempat penghasilan bom, Gila!)

Terlalu ramai orang telah mengemukakan teori mengapa terjadinya perbuatan jenayah. Ahli akademik dan pakar kriminal pastinya mampu membahaskannya secara panjang lebar dengan senarai faktor-faktor penyebab yang berjela-jela.

Entah di mana silapnya, ubat kepada penyakit jenayah ini masih belum dapat dicari -Punca penyakit (jenayah) ini telah diketahui, namun masih gagal dicari penawarnya.

Patutlah mereka yang tinggal di bandar dan di kampung sekalipun begitu mengambil sikap berhati-hati. Mereka bukan sahaja sanggup berhabis wang ringgit memagari rumah mereka dengan sistem penggera, memasang grill, membina tembok besi, membela anjing, membela hantu, mengupah syarikat kawalan swasta, etc., malah rasa kebolehpercayaan kepada persekitaran juga semakin menipis.

Bukan mereka takut dirompak, tetapi mereka takut akan dibunuh selepas dirompak.

Kesannya? Dalam jangka pendek mereka mungkin akan merasa sedikit selamat 'di dalam' domain (rumah) mereka, tetapi merasa terancam apabila berada 'di luar' domain mereka - pergi ke kedai, keluar makan, ke tempat meletak kereta, menunggu bas, pulang malam seorang diri dari berjumpa rakan, melancong ke tempat asing, etc.

Manakala, kesan jangka panjang adalah terhapusnya integrasi dan semangat kejiranan di sesuatu kawasan dek sikap mengutamakan kepentingan diri (dan keluarga) sendiri, tidak percaya kepada persekitaran, tiada semangat setiakawan sesama yang berjiran dan sebagainya.

Akibatnya, kegiatan gotong-royong akan mati dan majlis serta sambutan dalam masyarakat tidak lagi mendapat penglibatan yang menyeluruh.

Tiada lagi kehendak untuk mengambil maklum perkembangan jiran tetangga kerana masing-masing sibuk dengan hal sendiri.

Cuma satu yang dibimbangi adalah langkah pemantauan hanya dibuat di persekitaran rumah, tetapi apabila anak muda mereka keluar (ke pusat membeli-belah, menonton wayang, etc), bagaimana pula hendak mengawalnya dan menjamin keselamatan mereka?

Friday 8 January 2010

Dari terbakar kepada membakar

Saya terkejut apabila membaca beberapa akhbar online pagi ini yang melaporkan kejadian atau cubaan membakar 3 buah gereja di sekitar ibukota (sumber) dan (sumber).

Daripada 3 cubaan, yang dipercayai menggunakan cecair mudah terbakar molotov cocktail, hanya 1 yang menyebabkan kebakaran iaitu Gereja Metro di Desa Melawati.

Pihak polis telah diarahkan oleh Perdana Menteri untuk menyiasat perkara ini dan mengetatkan kawalan di semua rumah ibadat di seluruh negara.

Kementerian Dalam Negeri juga turut menyatakan komitmen bagi mengatasi masalah ini secepat mungkin berlandaskan peruntukan undang-undang yang ada.

Makasar

Masihkah anda ingat akan kejadian atau rusuhan antara agama yang berlaku di Makasar, Indonesia beberapa tahun yang sudah, di mana kesan daripada tindakan 'matlamat menghalalkan cara', ramai nyawa yang masih kecil dan tidak berdosa menjadi mangsa dan korban.

Gereja dibakar, kemudiannya masjid dibakar, penganut kedua-dua agama ini bertempur, berbunuhan, hidup tidak aman, ekonomi lumpuh dan akhirnya - menang jadi arang dan kalah jadi abu.

Ini bukan perkara main-main. Bukan sahaja keharmonian hidup sesama jiran sebelah-menyebelah kita boleh tergugat, malah ekonomi negara boleh lumpuh dan kepercayaan kepada kemampuan kerajaan memimpin juga akan turut terjejas.

Pada saya, ini bukanlah caranya untuk sesiapa jua menyuarakan perasaan bantahan terhadap insiden yang berlaku. Mana-mana anutan sekalipun tidak pernah menyuruh dan menyeru para pengikutnya bertindak secara di luar kewarasan.

Mungkin juga ianya (kebakaran) ini bukan berpunca tindakan penganut Islam dan Kristian, mungkin ada pihak lain di luar yang ingin mengambil kesempatan untuk mencetuskan huru-hara, demi mencapai agenda dan cita-cita mereka tersendiri.

Apapun, hal siapa dalang yang cuba menimbulkan kacau-bilau dan huru-hara ini, kita kena tunggulah dulu hasil siasatan dan tindakan pihak berkuasa.

Usahlah rakyat cepat melatah kerana jika rakyat terus berperasangka, makanya agenda mereka (sesiapa jualah mereka ini) untuk mengulang kembali (menyucuk jarum) peristiwa 13 Mei akan lebih mudah dijalankan.

Justeru, setiap rakyat perlu berperanan memastikan tidak akan ada ruang untuk dieksploitasi pihak-pihak yang jahat bagi menggugat keharmonian antara agama dan di antara masyarakat kaum di negara ini.

Bersederhanalah dalam setiap perbuatan dan janganlah kita melampaui batas. Kerana sesungguhnya Allah Taala amat membenci orang-orang yang melampaui batas.

Tuesday 5 January 2010

Hari ini kita main salji!

Macam masin je mulut ni. Baru semalam cakap sedang menunggu kalau-kalau turunnya salji, tup-tup malam tadi turunlah ia (salji).

Rezeki lagi buat kami tahun ini - nampaknya sudah tiga tahun berturut-turut merasa main salji kat Oxford ni.

Riuh-rendah seperti biasa apabila negara UK ini dilanda salji. BBC News jam 6.00 am sibuk melaporkan keadaan semasa kawasan-kawasan yang terjejas teruk dengan salji tebal ini.

Di sesetengah kawasan di utara, malah di selatan seperti Bath dan Reading juga turut terjejas. Perkhidmatan lapangan terbang di Soton, Gatwick dan Birmingham terpaksa ditutup, jadual perjalanan keretapi terpaksa dipinda (kelewatan dijangka) dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat apa-apa perjalanan, melainkan perlu sahaja.

Turut dipaparkan adalah perbualan telefon dengan Keith yang tersangkut selama 12 jam dalam kereta beliau di utara London akibat salji tebal. Kesian ooo, dalam kereta dari jam 6.30 pm semalam, hingga 6.30 am masih kat atas jalan lagi.

Seperti biasa juga dipaparkan kisah bekalan garam di Harrow (utara London) yang hanya mampu bertahan untuk kegunaan 4 hari lagi, kerana pesanan garam baru tidak dihantar kepada majlis daerah.

Beratus buah sekolah juga telah ditutup semalam, dan dijangka banyak lagi bakal ditutup hari ini.

Saya juga sempat merakam beberapa foto awal salji di sekitar rumah kami. Insya-Allah siang sikit nanti nak keluar jalan-jalan bawa Mawaddah merasa main salji.

Maklumlah, salji tahun lepas (bulan Feb) kami semua sibuk berulang-alik ke hospital untuk mengeluarkan si budak comel ni!

Lewat petang semalam - kat parking di belakang rumah (sebelum)

Ada sikit-sikit, tapi belum tebal- tengok atap rumah

Kat laman belakang pun ade sikit (sebelum)

Laman tepi rumah (sebelum)

Ini foto jam 3 pagi tadi

Kat depan rumah jagaan orang tua Headington

Itupun salji masih turun

Laman tepi rumah (selepas)

Parking belakang rumah (selepas)

Laman belakang rumah (selepas)

Nanti jika ada foto terbaharu, akan dimasukkan!

Coret-coret: P.D

Dua hari sebelum kami dijadualkan pulang ke UK, atuk dan nenek telah 'membelanja' kami bercuti ke Port Dickson (PD), bandar peranginan terkenal di Negeri Sembilan.

Destinasi kami adalah di Corus paradise and bla..bla..bla..(agak panjang nama dia).

Melupakan segala kepayahan menguruskan penginapan petang itu, kunjungan kali ini memang memuaskan hati kerana bukan sahaja unit apartmen yang diberi terletak terus menghadap Selat Melaka, tetapi kesempatan di sini juga dimanfaatkan untuk mandi laut dan kolam renang sepuas hati.

Foto yang dirakam dari anjung apartmen...

Petang tu jugak kami 'mengecutkan diri' dengan mandi laut

Mak Usu dan Mak 'Chick' menemani Mawaddah

Hello girls!

Sejukkkk...nak berehat kejap ni

Gelilah tapak kaki...



Dah senja ni, jom balik dulu!

:-)

Tak tahulah ape fungsi lagun ni..

Hari mulai gelap, esok kita sambung mandi...

Dah siang balik

Hari ini, aktiviti renang terkawal - dalam kolam



Seronok dok main, sampai hampir lena atas pelampung tuh!



Mak dan ayah datang lewat petang, selepas ayah pulang dari kerja. Alhamdulillah, makan ape semua memang memuaskan hati (sebab dapat cari restoran yang kena pada selera).

Terima kasih daun keladi kerana belanja kami, tahun depan boleh belanja lagi...hoho...Sekian.