Thursday 26 November 2009

Menempuh zaman fitnah

Sepertimana yang telah dikhabarkan kepada kita beribu tahun lalu, di dalam kitab suci Al-Quran bahawa akan tibanya zaman di mana fitnah akan bermaharajalela.

Akibat fitnah yang begitu luas tersebar, pemimpin yang baik telah tidak lagi dihormati, sementara pemimpin yang korup jualah yang disanjungi. Ramai yang 'tidak' menolak agama, tetapi tidak berminat untuk mengamalkannya lagi.

Ramai yang bising tentang halal-haram makanan di kopitiam, berbanding menegur perbuatan dosa anak-isteri sendiri yang tidak menjaga aurat mereka.

Perkara mengenai hak-batil serta halal-haram dilihat tidak lagi tertegak di atas landasan kepatuhan kepada tuntutan agama yang suci, melainkan berpandukan menerimaan majoriti (yang menolak ajaran agama).

Inilah yang mula terjadi dan kesannya begitu menganggu setiap kita kerana garis yang memisahkan yang hak dengan yang batil (benar dengan palsu; halal dengan haram) nampaknya begitu kabur dan hampir saja mulai hilang.



Tuesday 24 November 2009

Khabar kepulangan

Menyampaikan pesanan rakan-rakan dan bekas pelajar buat sesiapa yang mungkin melayari dan membaca blogspot ini.

Pada 22/11/09 jam 11.49 malam, saya menerima satu s.m.s memaklumkan bekas guru / rakan seperjuangan Dr. Amiruddin Abu Bakar (Bapak) telah dijemput pulang Allah SWT.

Sumber foto: sini

Sebagai salah seorang daripada anak murid yang pernah menerima didikan bapak kira-kira 7 tahun yang sudah, dan dengan ilmu yang beliau curahkan sehingga saya menjadi manusia (dan akhirnya berjuang bersama bapak sebagai pendidik anak bangsa), kepulangan bapak begitu saya rasai.

Tambah mendukacitakan saya kerana saya kini telah pulang (seketika) ke tanah air, dan hajatnya memang ingin menziarah rakan-rakan (bekas guru), namun dek kesibukan tugas, banyak perkara perlu dianjak-anjak hingga beginilah kesudahannya.

Apapun, pesan dan nasihat serta segala tunjuk ajar bapak akan saya ingat, kenang dan amalkan. Mudah-mudahan ilmu yang bermanfaat ini akan terus tercatat dalam buku amalan kebaikan dan pahalanya sampai buat bekalan bapak di alam sana.

Al-fatihah....

nota:

Semalam (malam Rabu selepas Isya, kami sekeluarga menghadiri majlis tahlil yang dibuat di kediaman arwah - bantuan Pn Azina dan suami. Di majlis tersebut juga saya sempat meluangkan masa bertemu dan berbual dengan beberapa guru (kini jadi kawan) termasuklah Dr Ibrahim, Hj Mahadi (Pengarah Jab. Perancangan Bandar DBKL), Prof. Mansur Ibrahim (UIAM) dan beberapa tetamu yang lain.

Begitu cepat masa berlalu dan kelihatannya guru-guru saya mula meniti waktu 'lama'. Apapun di kesempatan yang singkat itu pelbagai isu dan input terkini berkaitan bidang PBW dan IPT telah dikongsi dan banyak nasihat serta motivasi telah saya terima.

Bak kata pelajar saya di blog beliau, pemergian Bapak bukanlah untuk berterusan kita tangisi, tetapi gunakanlah segala ilmu yang kita dapat sepanjang mendapat tunjuk ajar arwah untuk dipraktikkan bagi manfaat ummah. Itu yang menjamin kebahagiaan dan manfaat yang berkekalan.

Wassalam.

Saturday 21 November 2009

Bayangkan dunia ini selepas kepupusan manusia

Pernahkah anda bertanya kepada diri sendiri - bagaimanakah keadaannya bumi dan alam ini setelah seluruh manusia pupus dari muka bumi ini?

Inilah yang cuba diselami para saintis di dalam dokumentari bertajuk "Life after people" - iaitu kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku kepada alam ini setelah manusia lama pupus.

Penduduk bumi = 0 orang

Berikut adalah perkara-perkara yang diramal oleh para saintis boleh berlaku kepada bumi:

1) Dengan tiada lagi manusia untuk menghidupkan suis lampu, pancaran lampu buatan manusia ke langit (spotlight) di waktu malam tidak lagi berlaku. Pencemaran langit/cahaya tidak lagi menggugat atmosfera.

2) Stesen janakuasa tidak akan diisi dengan bahan api fosil (kerana tiada pekerja dah), dan dengan ketiadaan kuasa, tiada apa yang akan beroperasi lagi - kilang, mesin dan jentera, pam air, loji rawatan kumbahan, etc. Kincir angin dan penjana solar yang turut menjanakan kuasa turut akhirnya musnah kerana tiada sesiapa yang menyelenggaranya.

KLCC di Malaysia turut tidak terkecuali

3) Tanpa pam air, stesen keretapi bawah tanah (subways) dan jalan raya akan ditenggelami banjir. Bagi negara beriklim sejuk, pembekuan dan pencairan akan turut merosakkan konkrit yang tidak dijaga.

4) Disebabkan pencemaran tidak lagi berlaku (kerana tiada manusia), rumpair dan tumbuhan menjalar akan mula menyelaputi kawasan-kawasan bandar.

5) Tiada lagi pencemaran daripada kereta dan perindustrian/kilang. Sesetengah bahan cemar yang berada di atmosfera akan dineutralkan dalam tempoh 1 minggu. Sesetengah yang lain seperti chlorofluorocarbons dioxins and juga racun DDT, akan mengambil masa lebih lama untuk dineutralkan. Perkara yang paling memeningkan kita, kandungan gas karbon dioksida (CO2), akan perlahan-lahan diserap oleh lautan ke tahap maksimanya dalam tempoh 1000 tahun. Namun, kira-kira 15% CO2 akan terus kekal di atmosfera bumi, untuk mempengaruhi iklim bagi tempoh hingga 1000 tahun selepas manusia berhenti mencemarinya.

Mercu tanda Paris ini mula melalui 'tempoh tua'

Alam akhirnya mengambil semula 'haknya' dari tangan manusia

6) Pancaran kilat akan menyebabkan pejabat yang penuh dengan kertas mengalami kebakaran disebabkan wayar/rod bumi yang telah berkarat dan usang. Binaan konkrit juga mulai runtuh dan merosakkan struktur sedia ada bangunan, namun tinggalannya masih betahan untuk beribu tahun yang mendatang - sama sepertimana kita menjumpai kota-kota lama hasil tamadun silam / purba seperti di Mesir, Indo-China, Aztec dan Mayan, etc.

7) Peti kebal di bank pula boleh terus bertahan lebih lama dengan wang kertas dan ketulan emas kita masih selamat di dalamnya. Sesetengah bahan plastik pula dijangka akan terus kekal untuk tempoh beberapa ratus ribu tahun, sehinggalah mikroorganisma pengurai berevolusi da mampu menguraikannya.

Tiada lagi istilah haiwan peliharaan - semuanya menjadi haiwan liar yang kembali mendominasi alam

8) Sisa buangan nuklear buat masa ini akan kekal selamat dalam simpanan untuk beratus ribu tahun yang mendatang tanpa pengawasan, yang dalam tempoh itu, risiko radiasi juga akan turun secara drastik. Reaktor yang aktif, bagaimanapun, mungkin akan bocor, terbakar atau mencair, membebaskan jumlah pencemar radiasi yang tinggi. Namun, setelah diperhatikan kes Chernobyl, di mana alam dengan cepat 'merawat diri', menjadikan kesan radiasi tidak begitu membunuh.

9) Sesetengah ekosistem mungkin tidak akan kembali pulih kepada keadaan yang sama sebelum manusia mengolah alam ini.

10) Haiwan yang dijinakkan dan dibiak dalam sangkar dan tumbuhan juga, akan berevolusi untuk kembali kepada sifat semulajadi nenek-moyang mereka. Tiada lagi 'cute little poodle' berjalan-jalan di taman.

Jambatan dengan wayar besi keluli akan runtuh, begitu juga kerosakkan pada konkrit

11) Spesis yang diancam bahaya kepupusan akan kembali mendominasi kerana kembali mendapatkan habitat asal mereka. Namun, sesetengah spesis turut tidak terkecuali daripada kepupusan tanpa bantuan dan perlindungan manusia disebabkan ketidakpelbagaian spesis (jumlah semasa terlalu kecil) dan mengalami gangguan ekologi yang kritikal sewaktu tempoh penyembuhan tersebut.

12) Populasi tikus, biarpun bukan spesis diancam kepupusan akan 'hilang' disebabkan tiada lagi sampah yang dibuang manusia. Begitu juga dengan lipas yang mana tiada lagi bangunan dengan pemanas suhu di dalamnya.

Bangunan-bangunan mula diselaputi rumpair dan tumbuhan menjalar

13) Populasi ikan akan perlahan-lahan mengalami pemulihan (bertambah) daripada kegiatan 'overfishing' sebelum ini. Terumbu karam dan lain-lain organisma juga akan turut kembali menghuni dan membiak di dasar lautan.

14) Selepas beberapa juta tahun, hampir setiap jejak dan bukti (ketamadunan) yang menunjukkan kehadiran dan kewujudan kita, manusia di bumi ini, akan lenyap sepenuhnya......

Sumber: terjemahan dari Astroview/October 2009, pp. 24.

Thursday 19 November 2009

Mawaddah: Apa cite saya?

Assalamualaikum semua...

Setelah sekian lama menyepi dari dunia penulisan blog ini (di atas faktor-faktor kesibukan bermain di rumah), saya kini tampil dengan perkhabaran terkini aktiviti-aktiviti saya setakat hari ini di tanah air.

Mula-mula...

Alamak, gatal pulak hidung ni!

Pulang kali pertama ini, Mawaddah banyak menghabiskan masa di jalan raya (bukan merempit, tetapi dikurung di dalam kereta) memandangkan ayah dan ibu perlu melawat ke pelbagai lokasi di 3 negeri pantai timur - untuk keperluan penyelidikan mereka.

Banyak kali jugalah mawaddah dibawa mengikut mereka berulang-alik dari Subang Jaya ke Kuala Terengganu (KT), Kota Bahru (KB), Johor Bahru (JB) dan pelbagai tempat lagi.

Apapun, jauh berjalan luas pemandangan. Tengok tempat orang. Tidur pun sedap juga dalam kereta!

Inilah kereta (baru) yang membawa kami semua ke hulu dan ke hilir - juga praktikal untuk meredah banjir di beberapa buah kawasan

Telah agak lama ayah dan ibu tidak ke Kota Bahru, KB Bandaraya Islam. Pemerhatian kasar mendapati KB nampaknya membangun lebih pesat berbanding KT (secara fizikalnya).

Namun, selari dengan perubahan fizikal, perubahan dan kemodenan turut mengubah corak sosio-budaya masyarakat Melayu di KB (mulai setara dengan golongan moden lain di bandar-bandar besar di Pantai Barat).

Pakaian anak-anak muda dan cara pergaulan (bebas) mereka juga mencerminkan betapa 'kemodenan' telah tiba.

Untuk menyedapkan cerita, sewaktu kami tiba di Bachok, terserempak dengan Pak Ngoh yang dalam perjalanan pulang ke KT.

Terkejut kami apabila diberitahu yang kereta beliau telah dipecah masuk pencuri - di waktu tengah hari dan keretanya diletak di bahu jalan besar dalam bandar KB (diulang, pecah kereta di tengah hari, di tengah bandar), apa nak jadi!

Kesihan Pak Ngoh, pulang bertugas dalam keadaan sehelai-sepinggang!

Apapun di KB, nama Mawaddah memang glamour rupanya...tengok beberapa foto yang sempat ibu rakamkan.

Eh! Eh! Sejak bila Mawaddah bukak tadika nih?

Kat kedai jual kain baju pun ade juga...

Selesai urusan di KB, kami bertolak pulang ke Terengganu. Dalam perjalanan tu, sempat juga kami singgah di Pantai Rhu Spuluh, Setiu.

Pantai ini memang tempat kegemaran ayah dan ibu untuk singgah sebentar, mendengar deruan ombak, merasa tiupan angin laut, membasahkan kaki dan bermain pasir serta merakamkan foto sebagai tanda kenang-kenangan.

Kini, obsessi mereka turut dikongsi dengan Mawaddah.

Yahuuuu.... Nyaman sungguh angin laut nih!

Gelilah tapak kaki...pasir yang halus dan putih

Ibu angkat Mawaddah

Mungkin ada yang tak tahu yang Mawaddah ada Mak Teh yang kini sedang menuntut di UiTM Dungun.

Makanya, di kesempatan yang ada, Ibu dan ayah membawa Mawaddah melawat Mak Teh di 'sekolahnya' - juga berhadapan dengan pantai...

Kereta yang sama ni lagi...

Bersama Mak Teh (mesti rasa letih layan kerenah Mawaddah, kan?)

Pemandangan yang mendamaikan...

Banyak sudah bercerita ni, nak dengar sikit lagi?

Sewaktu di kampung, Ayah sempat 'pulang ke sekoah' lamanya (SK Peroh), menghadiri majlis penyampaian hadiah Pok Chek dan Pok Su Mawaddah.

Ayah sedang buat-buat sibuk membaca buku aturcara...

Pok Chek menerima sijil penghargaan

Pok Su ngan Mat Alih sedang mengacau pelajar yang ingin naik ke pentas

Sememangnya Mawaddah menjadi insan yang paling sibuk di rumah tok. Mujurlah ramai pak cik yang sudi melayan.

Mawaddah bersama To'ki dan Pok Cik

Rasanya, cukuplah sekadar itu dahulu. Sebenarnya banyak lagi cerita dan foto yang hendak dikongsi, tetapi biarlah dikeluarkan 'beransur-ansur'.

Bye-bye!!!

Tuesday 3 November 2009

Perancangan Kampus Mapan: Idea awal

Minggu lepas sewaktu menemani John di UTMJB, beliau ada berbincang dengan saya, rentetan pertemuannya dengan Dato' NC UTM, yang inginkan pandangan beliau - "bagaimana untuk merancang ke arah persekitaran kampus yang mapan" (planning for sustainable campus).

John nampaknya tertarik dengan aspirasi NC yang berfikiran jauh dan terkehadapan dalam hal sebegini.

Namun, tidak kurang juga John melihat 'banyak bakal-bakal' cabaran yang perlu didepani pelbagai lapisan warga kampus jika UTM bersungguh untuk bergerak ke arah persekitaran kampus yang mapan di masa hadapan.

1) Cabaran persekitaran fizikal

Tidak dinafikan kampus UTMJB begitu luas, dan kawasan-kawasan Desa Siswa didirikan agak jauh dan berselerak dari zon pentadbiran (centre area) dan fakulti-fakulti.

Kesannya, pelajar memerlukan suatu mod pengangkutan yang 'terbaik' buat mereka berulang-alik dengan bebas dari Desa Siswa ke fakulti.

Makanya, dengan membayar RM2, para pelajar akan memperoleh satu pelekat kenderaan untuk 'mengesahkan' penggunaan kenderaan (motosikal atau kereta) di dalam kawasan kampus.

Bilangan kenderaan dalam kampus saban tahun makin bertambah, hinggakan setiap TLK (tempat letak kenderaan) yang disediakan, masih tidak mencukupi bagi menampung jumlah kenderaan yang masuk ke kampus ini.

Akhirnya, kampus sesak dengan kenderaan, jalan raya sudah tidak selamat buat pejalan kaki dan penunggang basikal. Malah, selain kawasan kilang, kampus UTM sendiri kini menjadi menyumbang utama pencemaran udara di sekitar Skudai!

Malah, jika diperhatikan keadaan topografi kampus sendiri begitu berbukit sehingga menyukarkan pembinaan laluan berbumbung yang menyeluruh. Malah, banyak kawasan dan fakulti terputus laluan pejalan kaki (fakulti kejuruteraan kimia dan gas asli, kejuruteraan elektrik, pusat sukan, etc) yang mengurangkan minat warga kampus untuk berjalan kaki.

Selain itu, faktor cuaca juga tidak dapat tidak perlu diambilkira. Ini kerana apabila hujan, bukan sahaja 'air hujan' yang perlu kita berhati-hati, malah kilauan 'petir' juga perlu diawasi.

2) Cabaran perubahan minda dan sikap

Aspek ini sebenarnya yang wajar diubah jika mahu memastikan prinsip kemapanan dapat diaplikasikan di dalam idea perancangan kampus yang mapan.

Kata orang, jika sedari awal lagi telah diwujudkan 'mental-block', maka berbuih mulut berceramah pun tidak akan mampu menyelesaikan sebarang permasalahan.

Contoh, apabila ditanya staf dan pelajar, akan sebab mereka gemar berkenderaan ke fakulti (berbanding menggunakan perkhidmatan bas awam yang disediakan), antara jawapan mereka:

- inginkan waktu yang lebih fleksible (naik bas kena ikut jadual) dan kurang menunggu.
- tidak suka berebut.
- kena buat banyak kerja di lapangan (luar kampus).
- ingin keluar malam (atau ada keperluan kerja hingga waktu malam).
- tiada perkhidmatan bas ke bandar (Skudai dan JB).
- mampu untuk berkenderaan (wang PTPTN ada) dan menjimatkan (masa).
- kelemahan kemudahan bas (sering penuh - terlewat tiba di kuliah, bas tidak selesa, hari hujan selalu basah kerana pondok bas kecil, etc.).
- laluan berbumbung tidak menghubungkan kuliah dengan Desa Siswa.
- tidak mahu berpenat semata-mata ingin ke kafeteria (tempat makan).

Idea ke arah kampus mapan

"Tidak kenal, maka tidak cinta".

Namun, bagaimana untuk ada rasa cinta jika awal-awal lagi perhubungan itu meletakkan perbezaan (pendapat) di depan, sedangkan sepatutnya meletakkan persamaan (dan keterbukaan) sebagai permulaan mencari titik tolak.

Makanya, carilah potensi dahulu. Dari potensi itu barulah difikirkan bagaimana untuk mengembangkannya demi kebaikan. Kemudian masukkan cabaran dan lihatlah bagaimana ianya wajar diatasi sejajar dengan pelan pembangunan potensi yang sebelumnya.

John gemar mencari dan melihat potensi kampus semasa. Menurutnya, potensi besar yang akan mendorong ke arah perubahan sikap yang positif bagi idea kampus mapan adalah:

"kesemua pelajar UTMJB kini menetap di semua Desa Siswa di dalam kawasan kampus".

1) Jadikan perkhidmatan bas lebih menarik

Justeru, perkhidmatan bas dalam kampus wajar dinaiktaraf supaya lebih menarik dan beroperasi secara lebih berkesan (mengikut jadual dengan kekerapan lebih tinggi).

UTM juga untuk jangka panjang tidak boleh bergantung kepada 'bas sewa'. UTM harus melabur dengan membuka GLC/anak syarikat milik UTM yang berperanan menyediakan bas UTM sendiri dalam kampus.

Inilah yang dibuat di Oxford Brookes University, tempat John berkhidmat.

Oxford Brookes University Bus - lengkap dengan WIFI
(boleh dibayar secara kad/pas semester, bulanan, mingguan atau tunai untuk setiap trip)

Dengan cara itu, bukan sahaja universiti dalam menjimatkan banyak wang untuk membayar sewa kepada syarikat luar (kroni) dalam jangka panjang, malah boleh menjadi permulaan untuk UTM melebarkan sayap pelaburannya sendiri.

Dengan wang yang dijana bas milik sendiri, UTM, dalam jangka panjang boleh melabur bagi menaiktaraf dan membaikpulih segala kemudahan awam di dalam kampus.

Malah, bas UTM juga boleh didaftarkan untuk perjalanan dari UTM ke bandaraya JB, dan turut mengambil penumpang orang awam bermula dari Skudai-JB.

2) Memperkenalkan pendekatan 'Park n Ride'

Dulu, ramai orang ketawa apabila mendengar idea Park n Ride ini. Alasan mereka adalah sama sebagaimana alasan yang saya berikan di atas (mengapa anda guna kenderaan dalam kampus?)

Namun hari ini di Lembah Klang, banyak TLK di stesen-stesen LRT (komuter) hampir tiada ruang kosong kerana begitu ramai orang yang bekerja di pusat bandar Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan Park n Ride ini.

Setelah agak lama tinggal di luar (terutama di Oxford), saya mendapati jika bandar Oxford yang luasnya berganda lebih besar dari kampus UTMJB ini berjaya mengaplikasikan perlaksanaan sistem P&R, saya tidak nampak mengapa kampus UTMJB tidak mampu untuk menerapkan idea seumpama ini ke dalam perancangan kampus mapan.

Berbanding Oxford yang penduduknya tinggal berselerak, semua pelajar UTM tinggal DI DALAM KAMPUS, di Desa-Desa Siswa yang ada.

Justeru, 3-4 Desa Siswa perlu berkongsi satu kawasan TLK yang dilengkapi 1 pusat transit (transit-point) perkhidmatan bas ke zon utama (pentadbiran dan fakulti).

3) Perkenalkan sistem perundangan baru dalam yuran pelajar & staf

Apa yang boleh dilakukan adalah dengan memperkenalkan sistem caj membawa kenderaan peribadi dalam kadar (%) tertentu di dalam slip yuran pelajar, atau slip gaji staf universiti.

Dalam bahasa mudah, setiap staf yang mendapat pelekat kenderaan secara automatik masuk dalam sistem rekod di mana setiap bulan %tertentu akan dipotong dari gaji mereka untuk sumbangan tidak menyokong polisi kampus mapan (bawa kereta sendiri) dan sebagai sumbangan (pollution-pays) - bayar sebab cemarkan alam.

Bagi pelajar pula, %potongan adalah lebih rendah, tetapi menurut prosedur yang sama - masukkan dalam slip pembayaran yuran sekali dalam 1 semester.

Kadar potongan juga boleh berbeza di antara pengguna (pemegang pelekat) kereta atau motor - kadar ditentukan pihak universiti sendiri.

Semua ini tidak mustahil jika istilah 'kepimpinan melalui teladan' dapat ditunjukkan, bermula dengan Dato' NC sendiri.

4) Kupon untuk pengguna basikal

Apabila 'menyusahkan' penggunaan kenderaan persendirian, universiti hendaklah 'menyenangkan' pengguna perkhidmatan awam, penunggang basikal dan pejalan kaki.

Pengenalan sistem kupon - untuk mendapat diskaun membeli basikal, diskaun membaiki basikal, loker khas untuk menyimpan basikal di fakulti, pas untuk berbasikal di zon pentadbiran, etc., akan menggalakkan lagi minat staf dan pelajar untuk berbasikal.

Dengan insentif ini juga (P&R dari Desa Siswa dan berbasikal di fakuti), alasan cuaca tidak lagi menjadi halangan yang besar (kerana tidak berbasikal jauh, dan tidak perlu berbasikal untuk pulang ke Desa Siswa).

Hanya mencadang

Apa yang ditulis panjang lebar itu hanyalah pengembangan idea hasil sembang-sembang dengan John.

Mungkin ada yang logik, mungkin ada yang 'belum masanya' lagi untuk dilaksanakan.

Apapun, kepala ini harus terus berputar dan berfikir serta menampilkan idea-idea yang harapnya dapat direalisasikan bagi menjayakan perancangan kampus UTM yang mapan di masa hadapan.

Sekian.

MCA: 1Parti, 2 Timbalan Presiden

Krisis dalaman MCA (parti komponen ke-2 terbesar dalam BN) kini kian menarik untuk diikuti. Semalan, Pendaftar Pertubuhan atau ROS mengeluarkan surat pengesahan bahawa D.S. Chua Soi Lek masih merupakan Timbalan Presiden (TP) MCA yang sah.

Surat pengesahan tersebut telah dilihat oleh pelbagai pihak sebagai telah 'mengebom' pelan damai, atau pelan perpaduan yang dirintis selepas EGM MCA minggu yang sudah di antara Tee Keat (Presiden) dan Soi Lek (yang ketika itu tidak berjawatan dalam MCA).

Dan turut menjerut kedudukan seorang lagi 'Timbalan Presiden' MCA yang baru dilantik selepas keputusan EGM, D.S. Leow Tiong Lai.

Berita lanjut dari Astro Awani juga menyebut bahawa 4 anggota jawatankuasa kerja pusat (CC) yang rapat dengan Tiong Lai turut dipecat dari parti.

Empat anggota CC yang dipecat oleh Presiden
Foto (sumber)

Reaksi

Keputusan ROS tersebut telah menimbulkan pelbagai rekasi dan maklum balas.

Dari dalam parti:

- Presiden, Tee Keat menerima keputusan ROS dan dengan itu telah mengembalikan semula jawatan TP kepada Soi Lek, kerana menganggap ianya selaras dengan tuntutan perlembagaan parti.

- TP (ROS), Soi Lek ketika diserbu wartawan menyatakan bahawa selama ini beliau sememangnya memiliki hak untuk terus menjalankan tugas sebagai TP parti dan keputusan ROS tersebut adalah tepat dan mengikut perjalanan perlembagaan parti.

- TP (EGM), Tiong Lai pula turut tidak berganjak daripada kerusi TP parti kerana menganggap pelantikan beliau adalah di atas kesepakatan dan persetujuan anggota MCA sendiri, sebagai menuruti keputusan resolusi EGM baru-baru ini. Malah, beliau akan memfailkan kes / rayuan di mahkamah terhadap keputusan terbaru ROS tersebut.

Dari luar parti:

- TP BN (T.S. Muhyiddin) menyifatkan keputusan ROS itu adalah berpandukan undang-undang dan sewajarnya ahli MCA menerimanya, selaras dengan peruntukan yang termaktub pada perlembagaan parti mereka.

Taufan dalam cawan

Jika akhbar sebelum ini begitu riuh dengan 'EGM' PAS (yang kemudiannya ditukar kepada Seminar politik), kini krisis kepimpinan MCA kembali 'menenggelamkan' perkembangan terbaru dalam PAS.

Jika sebelum EGM MCA, krisis dalaman ini hanya dianggap sebagai 'ribut dalam cawan' - jangan masuk campur kepada MCA mampu selesaikan sendiri masalah mereka.

Dan sangkanya, selepas EGM dan 'perdamaian' yang dicapai kononnya, telah mengakhiri 'ribut tersebut, namun dalam diam rupanya ia merupakan detik bermulanya 'taufan' dalam MCA.

Jika selepas EGM Soi Lek masam mencuka dan Tiong Lai bertambah ceria, kini keadaan sebaliknya berlaku. Tiong Lai pula nampaknya perlu bekerja keras untuk sedaya mungkin mempertahankan 'kuasa' yang (sementara) dinikmatinya.

Tapi perlu diingat, salah percaturan, bukan sahaja karier politik beliau akan pupus, sebagaimana nasib 4 'kawan baik' beliau dalam CC semalam, malah tidak dinafikan boleh mengheret MCA ke kancah perpecahan yang lebih teruk.

Lebih teruk lagi, MCA dan kesemua calon yang diletakkannya dalam Pilihanraya kelak akan ditolak pengundi.

Lemah membawa rebah

Sebagaimana merumus kata-kata Tun M, EGM ke-2 MCA tidak lebih hanya akan terus melemahkan parti, dan parti yang lemah akan mudah goyah dan akhirnya rebah akibat kehilangan dokongan dan sokongan ahli dari akar umbi.

Simpton penyakit kudis buta (gila nak kekalkan juga kuasa dan kedudukan) dalam MCA ini jika terus dibiarkan (oleh pengerusi BN) kelak akan turut berjangkit dan dideritai seluruh susuk tubuh yang dipanggil Barisan Nasional (BN).

Waktu itu jugalah, semua ahli politik dan menteri-menteri akan sibuk 'bersilat' mempertahankan kedudukan dan hayat politik masing-masing (diri didahulukan).

Dan akhirnya, rakyat akan kembali merenung apakah perancangan dalam Bajet 2010 dan Rancangan Malaysia ke-10 (2010-2015) akan terlaksana dan mencapai apa yang diikrarkan memanda Perdana Menteri bersama barisan 1Malaysia-nya sebagai "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

Sekian.

Sunday 1 November 2009

Bersih Sawang

Alhamdulillah, telah 10 hari saya berada di tanah air. Bermula dengan kesemua kami diserang demam dan batuk, kini keadaan bertambah baik.

Selama 10 hari jugalah blog ini penuh sawang, yang kena jugalah dicuri sedikit masa untuk membersihkannya.

Urusan bersama John juga telah selesai, dan setakat yang termampu, rasanya dia seronok mempelajari pelbagai benda baru mengenai Malaysia, susur galur rakyatnya, adat dan budaya serta persekitaran negara yang berbilang kaum ini.

Mentaliti

Mungkin perkara ini tidak begitu signifikan bagi kebanyakan orang, namun kepada saya secara peribadinya amat penting. Mentaliti.

1) Mentaliti yang ditunjukkan melalui cara pemanduan kenderaan.

Bukan saya saja yang kecut perut, malah John juga. Hampir sahaja kereta yang dipandu pemandu UTM tidak menyondol 'bontot' kereta sewaktu dalam perjalanan ke UTMKL tempoh hari.

Mana tidaknya, pemandu 'kami' itu memecut hingga 150km/j di atas jalan 110km/j, dalam keadaan terhangguk-hangguk (John kata dia kira berapa kali pemandu tu terhangguk kepalanya - mengantuk).

Lepas yang itu, saya turut memandu sendiri di jalan-jalan sekitar Subang dan Kuala Lumpur dan memang menakutkan budaya pemanduan rakyat Malaysia.

Tiada tolak-ansur, semua tidak sabar, berebut memotong barisan semata-mata mahu menjimatkan 5 saat daripada orang lain. Kalau 1-2 kereta sekali mencelah masuk barisan itu tidak mengapa, tetapi ini maunya 4-5 buah kereta 'menyelit' secara mengejut di depan tanpa beri lampu.

Melayu, India sama sahaja. Cina lebih lagilah. Macam tidak pernah masuk kelas belajar memandu. Hantu betul. Bila kita bagi jalan, tiada yang nak angkat tangan, malah yang di belakang pula hon kita sebab kita bagi jalan pada orang lain.

2) Mentaliti menjaga kebersihan.

Ini satu lagi parkara yang mendukacitakan saya. Tengok bangunan cantik, moden, tapi lalu di kaki-kaki lima dan lihat dalam longkang, berlonggok sampah-sarap. Di dalam universiti pun sama.

Tandas? Sinki? Sedih aku pedih.

Banyak lagi perkara berkait dengan mentaiti, atau 'mind-set' orang Malaysia kita yang saya rasa begitu suar diubah. Saya tidak begitu nampak bagaimana kita ingin bergerak ke arah negara maju menjelang 2020 jika majoriti kita masih berfikiran sebegini.

Bukan semuanya teruk, ada ramai juga yang baik. Penyantun dan pembersih.

Sebaiknya, semua didikan untuk memperbetulkan mentaliti dan gaya hidup ini perlu ditekankan di rumah (keluarga) dan di sekolah juga janganlah terlalu menekankan aspek akademik semata, dengan kurang menekankan aspek pembinaan sahsiah dan mentaliti yang positif.

Apapun, mahu tidak mahu saya perlu segera menyesuaikan diri dengan "keadaan ini" sepanjang berada di sini. Doa saya biarlah kami selamat sewaktu di jalan raya dan moganya perangai yang baik dapat terus dikekal dan diamalkan.

Perkara baik

Bersama keluarga adalah perkara yang baik dan mengembirakan hati.

Nak makan senang.

Pertama kali mendengar laungan azan secara bebas - nikmatnya.

It's good to be home!.... Again!